1
1

Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) merupakan sebahagian daripada pelaburan dan kerjasama bernilai RM144 bilion yang telah ditandatangani oleh YAB Perdana Menteri Najib Razak pada lawatan rasmi ke China pada bulan November 2016. Projek ECRL telah dikenal pasti sebagai projek infrastruktur berimpak tinggi yang akan menjadi pencetus pertumbuhan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang melingkupi kawasan seluas lebih 66,000km persegi sepanjang Pantai Timur.

Sebagai pencetus sosioekonomi utama ECER, ECRL diunjurkan berupaya mengangkat tahap kesalinghubungan antara kawasan-kawasan industri, pusat ekonomi dan pelabuhan, di samping menawarkan pilihan perjalanan alternatif kepada penumpang. Projek ini juga akan memberi akses lebih baik kepada 10 hab industri di Pantai Timur, sekali gus merapatkan jurang ekonomi berasaskan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta menyalurkan nilai modal yang lebih tinggi ke ECER.

Projek mega ini akan menjadi tunjang utama rangkaian infrastruktur pelbagai mod pengangkutan ECER dan menjadi pelengkap kepada lebuhraya sedia ada seperti Lebuhraya Pantai Timur dan Laluan Pantai Timur KTMB dan pelabuhan-pelabuhan yang ada. Projek ECRL dijangka mengambil masa 7 tahun untuk dibina.