1
1

Pada 10 Jun 2010, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan projek Aliran Transit Massa (MRT) semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-10 di Parlimen sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Nasional untuk membina sistem pengangkutan awam bersepadu di kawasan Greater Kuala Lumpur.

MRT – sebuah cadangan sistem Aliran Massa 3-laluan, akan membantu mentransformasikan Kuala Lumpur kepada sebuah bandar mesra pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar dan juga mengubah cara hidup penduduk di sekitar laluannya dengan menawarkan mod pengangkutan alternatif kepada kereta yang biasa digunakan, selaras dengan sasaran Kerajaan mencapai perkongsian modal pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang 2030.

Laluan MRT Sungai Buloh – Kajang (SBK) akan mula beroperasi dalam dua fasa. Fasa 1 operasi komersial Sungai Buloh – Semantan mula beroperasi pada 16 Disember 2016 manakala Fasa 2, Semantan – Kajang dijangka mula beroperasi secara komersial pada Julai 2017.

Fokus untuk meneruskan perkembangan pesat projek MRT diteruskan lagi dengan acara pecah tanah laluan kedua MRT, Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya (SSP) pada 15 September 2016, di mana laluan SSP ini dijangka mula beroperasi pada suku ke-2 tahun 2021.

Ini seterusnya akan diikuti pula oleh Laluan Ketiga MRT yang kini dalam peringkat perancangan dan pembangunan.