1
1

Transformasi industri teksi di Malaysia adalah salah satu keutamaan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Ia adalah sebahagian daripada Program Transformasi Nasional Perdana Menteri Najib Razak untuk menambah baik Pengangkutan Awam di Bandar.

Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, industri teksi telah melalui Pelan Transformasi Teksi (TTP) yang memperlihatkan pelaksanaan Teksi 1Malaysia (TEKS1M), sebuah penjenamaan semula bagi teksi untuk meningkatkan piawaian kenderaan dan operasi mereka; semakan semula tambang pada 2015 dan juga Teksi Rakyat 1Malaysia(TR1MA) – di mana 76,000 pemandu teksi menerima perlindungan kemalangan diri dan baucar berjumlah RM520 untuk tayar baharu bagi mengurangkan beban kewangan untuk menyelenggara kenderaan mereka. SPAD juga telah mengendalikan Makmal Teksi pada 2015 untuk kajian menyeluruh bagi meningkatkan lagi mutu industri teksi, yang menjadi asas bagi Program Transformasi Industri Teksi (TTIP) yang telah diluluskan pada bulan Ogos 2016.

TTIP adalah sejajar dengan visi Perdana Menteri untuk menerima arus perubahan dan menambah baik sistem pengangkutan awam di Malaysia agar seiring dengan kemajuan teknologi.

Perkhidmatan teksi, yang kini turut meliputi e-hailing, memainkan peranan penting dalam menyediakan kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir bagi penumpang, melengkapkan perkhidmatan pengangkutan awam lain dengan menyediakan perkhidmatan berterusan dan perkhidmatan ke lokasi kurang liputan.