4 November, 2010

Perutusan Hari Deepavali 2010 YAB Perdana Menteri


Sempena sambutan hari Deepavali oleh masyarakat Hindu tahun ini, kita berpeluang lagi untuk mempertimbangkan makna sebenar perayaan Deepavali, iaitu kejayaan cahaya mengatasi kegelapan, dalam konteks hari ini.

Sepertimana yang diketahui rakyat Malaysia, negara kita telah muncul dengan prospek pembangunan yang baik daripada kemerosotan ekonomi dunia hasil kerja dan inisiatif kita semua. Kita tidak berfikir secara berpanjangan tentang kegelapan prospek ekonomi kerana kita tahu bahawa ia adalah dalam kuasa kita sendiri untuk menggubal kejayaan yang ketara, atau pun dalam erti kata yang lain, untuk membuat cahaya sendiri.

Pendekatan tersebut membawa makna yang sama untuk individu dan keluarga yang bertungkus-lumus untuk mengecap kejayaan dan berdepan dengan pelbagai rintangan dalam usaha mereka mencapai cita-cita. Dalam menghayati makna perayaan Deepavali, kita tidak harus risau atas kegelapan kerana kita semua berupaya untuk menjanakan cahaya tersendiri dan mencapai kejayaan yang diingini. Saya juga ingin menggalakkan masyarakat Hindu untuk mengakui semula kejayaan individu dari komuniti anda dan jadikan kejayaan tersebut, yang berunsurkan usaha bersungguh-sungguh serta ketabahan, sebagai inspirasi.

Kerajaan akan tetap berada di sisi anda ketika anda berusaha demi mencapai cita-cita masing-masing. Kami akan menyambut perayaan dengan anda dan kami juga akan tetap bersama anda apabila pertolongan diperlukan. Kerajaan sedang bekerjasama dengan pelbagai kumpulan kaum India untuk menyalurkan perkhidmatan serta kemudahan-kemudahan kepada komuniti-komuniti tempatan. Saya yakin bahawa kita boleh mencapai penyelesaian kepada isu-isu dan masalah-masalah yang di hadapi di peringkat akar umbi jika kita tabah dan saling bertolak-ansur.

Demi pendekatan 1Malaysia, saya pasti bahawa masyarakat Hindu bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang lain akan bekerjasama untuk mencapai pembangunan yang berterusan dan kejayaan untuk Negara kita semua. Semangat kerjasama dan kekitaan yang dimaksudkan adalah juga jelas di lihat ketika rakyat Malaysia membuka pintu dan menyambut satu sama lain ke dalam rumah mereka untuk menyambut hari keutamaan, termasuk hari Deepavali.

Dengan itu, saya ingin mengucapkan Selamat hari Deepavali kepada keseluruhan masyarakat Hindu. Saya harap anda akan dapat menyambut musim perayaan ini dengan ahli keluarga serta dengan sahabat-sahabat daripada semua kaum. Di waktu kita menyambut perayaan Deepavali, kita tidak harus lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik – khususnya warga Malaysia yang, baru-baru ini, dilanda banjir dan mengalami kehilangan harta dan pelbagai kesusahan yang lain. Marilah kita sekarang sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

Selamat Hari Deepavali.

Shares Share Kategori : Official Addresses