Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1436H/2015M YAB Perdana Menteri

perutusan-raya

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.

1. Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah SWT, kerana saban tahun, apabila terbitnya fajar syawal yang mulia, umat Islam di Malaysia dan serata dunia, dengan penuh kesyukuran dan rasa gembira, menyambut hari kemenangan yang ditunggu-tunggu, setelah sebulan kita berpuasa, mujahadatun nafsi, yakni berjihad melawan hawa nafsu.

2. Sesungguhnya, Ramadan, adalah bulan yang penuh keberkatan dan begitu istimewa. Padanya diturunkan Al-Quran dan terkandung Lailatul Qadar, yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan.

3. Benarlah bahawa, ramadan itu bulan untuk mentarbiyyah jiwa dan mensuci hati, membina akhlak serta membangun peribadi.

4. Menunaikan ibadah puasa, tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, atau mengekang hawa nafsu semata-mata.

5. Bahkan, ia mampu mendidik rohani dan menginsafi diri, supaya sentiasa berasa belas serta lebih prihatin, khususnya terhadap nasib golongan yang serba kekurangan dan dihimpit pula kesempitan hidup.

6. Meskipun umat Islam di beberapa negara-negara lain sedang bergelut menempuh rintangan, negara ini pula berdepan dengan pelbagai cabaran dan musibah yang tidak terduga, masyarakat Islam di Malaysia, tetap merayakan Aidilfitri dengan keriangan dan penuh kemeriahan, tanpa diganggu oleh sesiapa pun.

7. Ini semua hanya boleh berlaku, sekiranya negara ini ditadbir dan diuruskan melalui kepemimpinan yang cekap serta berkesan.

8. Sebab itulah, baru-baru ini Fitch Ratings, sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa telah meningkatkan unjuran Malaysia daripada ‘negatif’ kepada stabil’.

9. Sekaligus meletakkan Malaysia pada asas ekonomi yang kukuh dan berada di landasan yang betul, dalam usaha menuju sebuah negara High Income Advanced Economy menjelang tahun 2020.

Saudara dan Saudari,

10. Kira-kira beberapa minggu yang lalu, kita dikejutkan dengan serangan pengganas di Tunisia, Kuwait dan Perancis. Tindakan kejam angkara kumpulan militan Negara Islam atau IS itu, telah mengakibatkan ramai orang awam yang tidak berdosa terbunuh dan mencederakan ratusan yang lain.

11. Semestinya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan tindakan terkutuk itu benar-benar bertentangan serta terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

12. Sedangkan ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah, yakni kesederhanaan, dengan tidak terlalu ekstrem dalam kefahaman, bukan pula sangat liberal atau longgar akidahnya dalam beragama.

13. Sememangnya, kita sentiasa mengutuk sebarang tindakan yang tidak berperikemanusiaan, waima dilakukan oleh sesiapapun tanpa mengira agama, keturunan dan sempadan geografi.

14. Lantaran, Kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan keselamatan, agar fahaman ekstrem seperti militan IS ini, tidak akan merebak serta menular masuk ke negara ini.

15. Seterusnya, Malaysia akan terus beristiqamah bagi membantu dan memperjuangkan nasib golongan yang tertindas, di seluruh dunia.

16. Apatah lagi, jika ia menimpa saudara seakidah kita seperti yang berlaku di Palestin, atau mana-mana sudut di arena global ini.

17. Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, Malaysia juga turut bersimpati akan nasib malang kaum pelarian Rohingya dan berperanan dengan menawarkan bantuan-bantuan yang sewajarnya kepada mereka.

Saudara dan Saudari,

18. Mutakhir ini, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam progresif dan menjadi contoh di kalangan negara membangun serta negara Islam yang lain. Tambah mengukuhkan kedudukan tersebut, kita telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015.

19. Indeks ini, merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di Malaysia, yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara. Ia menjadi satu kaedah pengukuran saintifik, bagi menentukan ukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran negara, berdasarkan kepada prinsip Maqasid Syariah.

20. Pada sisi lain, saya mendengar dan amat memahami keluh kesah rakyat masa kini, terutama berhubung dengan kos sara hidup yang kian meningkat.

21. Sebab itulah, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban kehidupan mereka, antaranya menambah kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia, untuk tahun ini.

22. Berkaitan hal ini, rakyat patut membuat aduan terhadap peniaga-peniaga yang mengenakan harga yang tidak berpatutan dan keuntungan berlebihan.

23. Malah, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas yang dibentangkan baru-baru ini, selain berusaha mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, ditekankan juga tentang keperluan membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, yakni B40.

24. Namun, saya mengambil maklum, ini semua masih belum mencukupi. Yakinlah, apabila hasil pendapatan negara bertambah, Kerajaan akan terus mencari jalan untuk melakukan lebih banyak lagi inisiatif, bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

Saudara dan Saudari,

25. Berbekalkan kepada mafhum pengertian surah Al-Anfal ayat 60, yang menyeru umat Islam supaya sentiasa bersiap siaga dengan sepenuh kekuatan dan terus berwaspada, untuk berdepan dengan segala kemungkinan serta realiti semasa.

26. Ini termasuk ancaman dari dalam dan luar, ataupun campurtangan kuasa asing, yang sering cuba untuk mengganggu-gugat kestabilan, kerukunan serta kedaulatan negara, yang kita telah kecapi selama ini.

Saudara dan Saudari,

27. Kini, Ramadan telah pun berlalu, syawal pula kunjung tiba. Tatkala menyambut kemeriahan perayaan ini, marilah kita merakamkan takziah dan simpati kepada semua mereka yang pernah ditimpa bencana.

28. Ingatan ini, turut dipanjangkan kepada para anggota keselamatan yang sedang bertugas di perbatasan mahupun di mana-mana inci bumi bertuah ini.

29. Termasuklah juga kepada wira-wira yang tidak didendang dan turut sama mempertaruhkan jiwa serta raga, demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanahair tercinta.

30. Pada hari baik di Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita kembali kepada fitrah. Jernihkan hubungan yang telah layu, perkukuhkanlah persaudaraan yang hampir lesu. Bukalah seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela silaturrahim 1Malaysia.

Saudara dan Saudari,

31. Di hari raya, ziarahilah ayah dan ibu, yang mungkin lama tidak bertemu. Ingatlah, apabila semua itu sudah berlalu, yang tinggal adalah kenangan dan sebuah kerinduan.

32. Di hari raya ini, kunjungilah sanak dan saudara, tak kira dekat atau nun jauh di sana, dengan mengajak rakan taulan berbilang bangsa dan agama, berkunjung ke kediaman anda, bermaaf-maafan serta menjamu selera.

33. Pada kesempatan ini juga, saya dengan kerendahan hati, ingin menyusun jari nan sepuluh, mohon ampun dan kemaafan dipinta, bagi pihak diri, isteri serta seisi keluarga, atas segala kesalahan dan khilaf yang mungkin tidak disengajakan.

34. Bersempena kedatangan bulan syawal ini, saya berazam untuk berusaha segigih mungkin, dalam mentransformasikan Malaysia ke mercu kejayaan.

35. Saya juga berdoa, semoga Allah SWT mengurniakan kerahmatan ke atas seluruh umat Islam, agar mereka menyambut hari lebaran ini, dengan gembira dan bahagia, bersama yang tersayang di sisi.

36. Akhir kalam, kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, bersatu padulah kita semua hendaknya, hentikan fitnah menfitnah sesama agama dan rakan sebangsa. Bersabarlah dengan ujian, teguhkanlah pendirian, kerana yang batil itu akan musnah, jalan kebenaran pasti muncul dan terbentang jua akhirnya.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.