Perutusan Israk Dan Mikraj 1437H/2016M YAB Perdana Menteri

israkmikraj

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana sekali lagi kita dapat bertemu dengan bulan Rejab yang mulia ini. Sekian kalinya, kita diperingatkan lagi dengan peristiwa Israk dan Mikraj yang telah berlaku ke atas baginda Nabi Muhammad SAW, biarpun peristiwa hebat dan menakjubkan ini telah berlaku lebih seribu tahun dahulu.

2. Sesungguhnya, peristiwa Israk dan Mikraj ini jelas menggambarkan betapa kemuliaan diri baginda di sisi Allah SWT. Makanya, kita sebagai umat baginda, menjadi pewaris kepada kemuliaan dan rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW ini.

3. Kita akan berusaha dengan sebaik mungkin, untuk menjadi sebuah negara contoh dalam meneruskan status sebagai ‘khaira ummah’ sebagaimana yang telah diwariskan kepada kita. Disebabkan itulah, kita telah merancang dengan sebaik mungkin untuk menjadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara yang maju dan makmur.

4. Kemakmuran ini sudah tentu untuk dikecapi dan dinikmati oleh setiap individu rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan warna kulit, bahasa mahupun kepercayaan. Kemajuan ini mestilah menyeluruh dengan meliputi setiap inci bumi Malaysia yang tercinta ini baik negeri-negeri di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Malah, kita berdoa agar kemajuan dan kemakmuran Malaysia ini dapat dikongsi sama manfaatnya di peringkat serantau malah dunia.

5. Saya melihat, peristiwa Israk dan Mikraj ini mempunyai dua sisi yang sangat menarik, iaitu sisi kerohanian dan sisi teknologi. Peristiwa ini akan sangat mengujakan walau daripada dimensi mana kita membicarakannya. Oleh itu, saya juga percaya, dalam usaha kita membangunkan negara kita ini, kedua-dua bidang ini perlu diberikan perhatian dan dijadikan asas pembangunan dan kemajuan negara.

6. Di samping Program Transformasi Nasional yang telah berjalan dengan baik, kita juga telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia untuk mengukur pencapaian negara. Insya-Allah, bagi memperkasakan lagi bidang pendidikan dan pembangunan sumber modal insan negara, kerajaan akan membangunkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara bagi menjayakan impian kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden, maju dan berpendapatan tinggi namun masih kental berpegang dengan jati diri dan nilai kita yang tersendiri.

7. Semoga inspirasi Israk dan Mikraj ini akan benar-benar dapat kita hayati dalam usaha kita mencorakkan kemakmuran negara Malaysia yang tercinta ini.