Perutusan Maulidur Rasul 1437H/2015M YAB Perdana Menteri

By December 23, 2015 Official Addresses
maulidurRasul

Bismilahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera & Salam 1 Malaysia.

Marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana di atas rahmat-Nya pada tahun 2015 ini, kita dapat menyambut sambutan Maulidur-Rasul berganda. Pada 3 Januari yang lalu, kita menyambut Maulidur-Rasul bagi tahun 1436H.

Dan pada hari ini, 24 Disember kita meraikan sambutan Maulidur-Rasul bagi tahun 1437H. Alhamdulillah.

Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan Rasulullah SAW begitu besar kepada kita umat Islam.Baginda bersama para Sahabat telah menanggung pelbagai kesusahan dan penderitaan dalam memartabatkan syiar dan syariat Islam serta membina ummah ini.

Ummah bukanlah nama bagi satu kaum yang bermastautin di satu-satu tempat; bahkan apabila berjuta insan daripada kaum yang pelbagai, tinggal di kawasan yang berlainan. Apabila mereka hidup harmoni dan bersatu-padu, maka jadilah mereka sebagai satu ummah. Perasaan keumatan inilah asas sejati perpaduan, silaturahim dan ukhuwah Islamiah. Manakala perpaduan pula adalah teras kekuatan dan kemuliaan umat ini.

Justeru, amatlah penting kita hayati perpaduan ini dan terjemahkan ia dalam bentuk kesatuan kasih sayang dan tindakan praktikal. Bermula dengan unit asas seperti keluarga, kejiranan hatta ke peringkat negara malah antarabangsa.

Kita meyakini bahawa di dalam Sunnah Rasulullah SAW pasti ada petunjuk Rabbani yang membawa kemuliaan. Dan, membina perpaduan merupakan antara Sunnah terpenting yang telah diwariskan oleh baginda kepada kita semua.

Atas asas ini, kita sentiasa istiqamah dan berusaha untuk memakmurkan negara tercinta ini. Transformasi menuju negara Islam yang maju dan berpendapatan tinggi dengan wasatiyyah bersendikan Maqaasid Syariah sebagai prinsip pentadbirannya, serta Ahlu Sunnah wal Jamaah sebagai pegangannya akan terus menjadi keutamaan kita.

Semoga dengan barakah Maulidur-Rasul dan komitmen perpaduan kita, Allah akan menjadikan Malaysia, sebuah negara yang menepati ciri-ciri seperti yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud :
“negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun.”