26 Jun, 2015

Perutusan Hari Antidadah Antarabangsa 2015 YAB Perdana Menteri


Rakyat Malaysia yang Dikasihi Sekalian.

1. Tema Sambutan Hari Antidadah Antarabangsa yang ditetapkan oleh UNODC pada tahun ini ialah “A Message Of Hope: Drug Use Disorders Are Preventable and Treatable”. Mesej global ini memberi harapan bahawa penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh dicegah dan dirawat.

2. Penagihan dadah merupakan penyakit kronik. Penyalahgunaan dadah mengubah cara dan sistem otak berfungsi. Perubahan-perubahan ini menyebabkan berlakunya kerosakan kepada fungsi-fungsi otak dan seterusnya menjejaskan tingkah laku normal seseorang.

3. Pepatah ada mengatakan mencegah lebih baik daripada merawat. Isu penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh ditangani melalui empat strategi iaitu:

3.1 Kejayaan membanteras masalah dadah memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh.

3.2 Penglibatan seluruh masyarakat dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam memerangi isu dadah di komuniti masing-masing adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah. Ini termasuklah ibu bapa dan keluarga yang merupakan entiti paling kecil dalam komuniti yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala penagihan dadah. Elakkan dari bersikap “not me syndrome” kerana masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja. Ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang.

3.3 Dasar yang relevan. Sudah sampai masanya kita menentukan dasar berkaitan dadah yang dinamik mengikut perkembangan masalah dadah semasa. Ancaman dadah berbahaya dan bahan-bahan yang mengkhayalkan berubah dengan pesat mengikut arus perkembangan teknologi dan cara hidup manusia. Dasar yang relevan perlu berdasarkan amalan – amalan terbaik dan evidence-based.

3.4 Pelaburan sosial yang strategik. Pembangunan ekonomi negara perlu selari dan seimbang dengan pembangunan sosial dan modal insan. Kerajaan telah melihat perkara ini dengan teliti. Matlamat kita untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 akan terbantut sekiranya masalah keruntuhan moral dan sosial menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda kita. Oleh itu, pelaburan sosial perlu dipertingkatkan segera meliputi pendidikan, pembangunan individu dan keluarga, pembangunan rohani dan jasmani serta peningkatan daya tahan dalam semua program dan aktiviti.

4. Oleh itu, pada hari ini, saya menyeru kepada semua pihak untuk memainkan peranan dalam membanteras penyalahgunaan dadah. Perkara pertama yang mudah adalah dengan bercakap dan memberi peringatan mengenai bahaya akibat dadah kepada orang yang paling dekat dengan kita.

5. Guru bercakap dengan murid-murid, ibu bapa bercakap dengan anak-anak, majikan bercakap dengan para pekerja dan rakan. Bercakaplah dengan rakan – rakan anda pada hari ini, bahawa dadah membawa bencana, dadah sangat merbahaya, dadah boleh menjatuhkan produktiviti dan dadah melemahkan tamadun sesuatu bangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

6. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu ke arah Malaysia yang selamat dan bebas dari ancaman dadah agar anak-anak kita dapat membesar serta menjadi generasi yang berdaya saing dan berjaya pada masa akan datang.

Drug use disorders are preventable and treatable. Ambil kisah. Ambil tindakan.

Shares Share Kategori : Official Addresses