14 , 2013

Perutusan Hari Raya Aidiladha 1434H/2013M YAB Perdana Menteri


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1. Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan Hari Raya Aidil Adha. Hari Raya Korban ini, sudah tentu merupakan satu syiar yang besar untuk kita raikan dan syukuri. Tersirat padat riwayat, falsafah, semangat dan rahmat. Sesungguhnya, Hari Raya Korban atau Aidil Adha tahun 1434 Hijrah ini, masih membarakan kita dengan semangat pengorbanan Khalilullah Nabi Ibrahim a.s., Saiyidatina Hajar a.s. dan anakanda mereka Nabi Ismail a.s.

2. Apabila kita menyentuh berkenaan ibadah haji mahupun ibadah korban, maka sudah pasti ingatan kita di bawa mengimbau peristiwa agung pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang telah mengorbankan anak baginda semata-mata demi mentaati perintah Allah. Ketaatan ini disambut pula dengan kepasrahan penuh iman oleh Nabi Ismail a.s. Akhirnya disempurnakan kisah agung ini dengan kerelaan seorang isteri dan ibu dalam mendukung ketaatan seorang suami merangkap bapa dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

3. Sekarang ini, sekitar 28,000 orang rakyat Malaysia sedang mengerjakan ibadah haji, dan jutaan lagi di tanah air yang bersedia dengan ibadah korban. Semoga ibadah korban dan haji yang kita lakukan hari ini, benar-benar menyuburkan semangat pengorbanan kita demi memperjuangan agama dan meninggikan kalimah Allah.

4. Menghayati kemuliaan ini, sebagai sebuah negara yang memaktubkan Islam sebagai agama bagi negara, Malaysia tetap istiqamah dalam mendaulatkan kedudukan Islam di negara bertuah ini. Berpaksikan objektif-objektif syariah atau maqasid syariah, kita akan terus memacu negara ini menuju wawasan yang telah ditetapkan. Sesungguhnya, kita berazam seiring dengan program-program transformasi yang telah kita susun, kita juga akan terus memantapkan perkembangan syiar dan syariat Islam di negara ini.

5. Dalam masa yang sama, mengiktibari betapa jemaah haji Malaysia terkenal sebagai model jemaah terbaik di Tanah Suci yang telah diiktiraf oleh dunia, makanya Malaysia akan berusaha untuk muncul sebagai model sebuah negara Islam moden yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi.

6. Harumnya nama Malaysia ini telah menjadi sebutan di persada dunia. Lebih membanggakan lagi dalam pengertian semangat pengorbanan menurut Islam, maka negara Malaysia sentiasa komited menjadi penyelesai konflik umat Islam di negara-negara lain yang menuntut peranan Malaysia sebagai pendamai. Kita juga menerajui gerakan kesederhanaan dan keamanan di peringkat global bagi membendung gejala extriemisme agama dan sebagainya.

7. Di sini, saya dan keluarga mendoakan, buat mereka yang berada di Tanah Suci, selamat mengerjakan ibadah haji dan semoga mendapat haji yang mabrur. Manakala kepada yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid, sama-sama melaksanakan solat Aidil Adha serta melakukan ibadah korban. Semoga sembelihan korban kita ini benar-benar diterima oleh Allah SWT serta meneguhkan lagi takwa kita, sesuai dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:
“Daging-daging binatang korban dan darahnya itu sekali-kali tidak akan sampai kepada Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang akan sampai kepada Nya.”

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Official Addresses