Perutusan Nuzul Quran 1434H/2013M YAB Perdana Menteri

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, Saudara Saudara Sekelian,

1. Alhamdulillah, segala pujian dan kesyukuran hanya untuk Allah SWT. Selawat serta salam buat baginda Rasulullah SAW. Sesungguhnya, kita merasa sangat bertuah, dikurniakan sekali lagi bertemu dengan bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan.

2. Maka, antara keberkatan yang dikandung oleh Ramadhan ialah peristiwa Nuzul al-Quran. Peristiwa agung ini merupakan rahmat abadi yang dikurniakan buat umat ini. Al-Quran merupakan pedoman yang tidak bertepi, cahaya yang tidak akan padam, pembimbing yang tidak pernah jemu; bagi membawa umat manusia menuju kehidupan yang mulia di dunia mahupun kehidupan akhirat.

3. Sesungguhnya benarlah firman Allah SWT yang menceritakan tentang kitab-Nya melalui surah al-Israa’ ayat 9 yang bermaksud:

“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”

4. Oleh yang demikian, marilah kita semua berusaha untuk mendekatkan diri kita dengan pedoman qurani ini. Hayatilah keindahan setiap lafaz kalimahnya, setiap pengertian dan maknanya. Sesungguhnya, al-Quran ini adalah pedoman tertinggi dalam kita menata diri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

5. Dengan berpandukan petunjuk wahyu ini, kerajaan sentiasa memastikan bahawa segala pelaksanaan dalam pentadbiran negara sentiasa menjunjung Maqasid Syariah yang memandu kita semua menuju kejayaan, kemakmuran dan kemajuan. Kemajuan yang didorong oleh kitab suci ini ialah kemajuan yang berimbang, holistik dan adil kepada semua tanpa mengira kaum, bahasa dan agama.

6. Saya menyeru kepada semua umat Islam di Malaysia agar dapat mengambil al-Quran ini sebagai landasan islah diri, ummah dan negara. Marilah kita berusaha dengan sebaik mungkin dalam menterjemahkan pedoman al-Quran yang ada kepada program-program transformasi yang akan melonjakkan martabat ummah di persada dunia.

7. Akhir perutusan ini, saya berdoa agar dengan keberkatan Nuzul al-Quran di bulan Ramadan yang agung ini, Allah SWT sentiasa menyatukan hati kita semua, menyuntik semangat motivasi untuk menjaga agama dan negara. Mudah-mudahan segala amalan kita diterima oleh Allah SWT jua.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.