Perutusan Ramadan 1437H/2016M YAB Perdana Menteri

1. Alhamdulillah, segala puji-pujian kita rafakkan ke hadrat Allah SWT yang sekali lagi telah memilih kita untuk menerima anugerahnya yang istimewa dengan mempertemukan kita lagi dengan Ramadan al-Mubarak yang penuh kemuliaan ini.

2. Sebagai umat Islam yang sangat mengharapkan ihsan, keampunan dan bantuan dari Ilahi dalam menghadapi ujian kehidupan ini, kehadiran Ramadan 1437 Hijrah ini kita sambut dengan penuh syukur dan gembira kerana sememangnya bulan ini datang sarat dengan kurniaan dan keberkatannya.

3. Dalam membina kekuatan sebagai sebuah negara bangsa yang merupakan sebahagian dari tuntutan Islam, kita perlu menjaga keseimbangan dan ikatan dengan nilai-nilai ukhrawi sebagai asasnya. Justeru, Madrasah Ramadan merupakan suatu peluang untuk kita semua, sebagai individu dan secara kolektif, mengukuhkan dimensi kerohanian dalam kehidupan kita bagi mencapai kejayaan dalam setiap aspek kehidupan yang lain.

4. Sememangnya ibadah puasa dapat melatih kita supaya sentiasa bersabar untuk menghadapi sebarang bencana dan pergolakan hidup. Bahkan, puasa juga melatih kita agar menepati masa terutamanya ketika bersahur dan berbuka puasa.

5. Sesungguhnya, Ramadan bukan hanya menekankan hubungan kita secara khusus dengan Tuhan. Ia juga adalah bulan di mana kita digalakkan untuk mempertingkatkan sumbangan kita kepada sesama insan. Sebab itulah, kita dituntut untuk mempertingkatkan sumbangan dan khidmat kita kepada mereka yang lebih memerlukan di bulan ini. Kita bersyukur kerana umat Islam di Malaysia sentiasa dapat menyumbang dan membantu saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik dari dalam dan luar negara. Melalui sumbangan ini, kita bersama dapat merasai kesusahan golongan yang tidak berkemampuan dan puasa ini sebenarnya mampu meningkatkan tahap insan manusia untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada mereka dengan golongan yang kurang berkemampuan.

6. Semoga Ramadan kali ini benar-benar mengangkat tahap ketakwaan kita yang merupakan matlamat asasi pensyariatan fardu puasa di bulan Ramadan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, diwajibkan kepada kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada umat terdahulu agar kamu bertakwa”. Semoga negara kita mendapat bahagian yang maksimum daripada limpahan rahmat, barakah dan maghfirah yang dijanjikan Allah SWT di bulan ini. Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa.