31 Disember, 2014

Perutusan Penghujung Tahun 2014 YAB Perdana Menteri


Dalam Perutusan Tahun Baru saya dua belas bulan yang lalu, saya menyatakan hasrat saya untuk melihat Malaysia yang ‘makmur dan bersatu padu’. 2014 memang telah membawa kemakmuran kepada Malaysia – ekonomi kita berkembang kukuh. Namun, ia juga adalah tahun yang mana kita dilanda kesedihan.

Dalam masa beberapa bulan sahaja, kita kehilangan 93 orang rakyat Malaysia. Dan kita juga telah menjadi tumpuan mata dunia – bukan sekali, tetapi dua kali.

Kehilangan MH370, dan juga kemalangan MH17 kini telah menjadi sebahagian daripada sejarah kita. Saya ucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan orang tersayang, dan saya juga berkongsi kesedihan mereka. Sama seperti rakyat Malaysia lain, keluarga saya turut sama dibayangi tragedi ini.

MH17-2

Tahun ini adalah tahun paling mencabar dalam kerjaya saya – dan antara tahun paling mencabar dalam sejarah Malaysia. Namun saya amat bangga dengan kebersatuan kita, sebagai sebuah negara, untuk sama-sama memohon #doauntukMH370 dan #doauntukMH17.

MH17

Di masjid, gereja dan kuil, di pasar raya dan atas talian, rakyat Malaysia bersatu hati dalam menghadapi tragedi ini. Kita menemui kebersatuan dalam menghadapi dua bencana yang dahsyat ini. Saya percaya kita mampu menjadikan dua tragedi ini sebagai pengalaman yang akan menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat. Kita telah diuji dengan bencana, tetapi semangat kita sebagai sebuah negara masih kekal utuh.

Saya bangga dengan cara kita menghadapi tragedi-tragedi ini. Tidak semua yang kita buat adalah tepat, namun bila MH370 hilang, kita berjaya menyatupadukan 26 negara – termasuk China dan Amerika Syarikat – dalam misi pencarian yang merangkumi hampir separuh dunia. Apabila Malaysia memohon bantuan, seluruh dunia menghulurkan tangan persahabatan.

China visit 1

Dan beberapa bulan kemudian, apabila kita berada di tengah-tengah zon konflik, Malaysia berjaya apabila pihak yang lain gagal untuk mendapatkan kembali jenazah serta kotak hitam dari MH17. Diplomasi senyap telah membantu membawa kita lebih dekat untuk mengetahui apa yang berlaku kepada MH17, dan seterusnya menuntut keadilan untuk mereka yang telah terkorban.

Pada penghujung tahun, kita dilanda cabaran baru pula. Negeri-negeri di Pantai Timur dilanda banjir yang teruk, dengan kehilangan nyawa, kediaman dan sumber pencarian.

Di Malaysia, banjir sudah menjadi kebiasaan. Namun saya amat terkejut dengan bagaimana ia menjadi begitu teruk. Skala kerosakan amat besar, dengan begitu ramai melalui penderitaan.

Keutamaan kerajaan adalah memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukannya sekarang – seperti bekalan dan bantuan kepada mereka yang terkandas – serta bantuan kewangan supaya mangsa-mangsa banjir dapat kembali kepada kehidupan mereka seperti sedia kala.

Tahun hadapan, keutamaan kita adalah pembaikpulihan: untuk membina semula infrastruktur, perniagaan dan kediaman yang musnah atau hilang. Kita perlu memastikan pembangunan yang ingin kita lakukan adalah mesra alam, agar ia tidak menyumbang kepada kebarangkalian banjir di masa hadapan lebih kerap berlaku – atau membawa kepada lebih banyak kerosakan.

Banjir2

Dalam kita meneruskan operasi menyelamat dan membaikpulih, saya berdoa untuk mereka yang masih dalam keadaan bahaya. Dan saudara mara kita di Indonesia sentiasa dalam fikiran dan doa kita dalam mereka meneruskan operasi pencarian penerbangan Air Asia Indonesia QZ8501.

Namun, di sebalik tragedi-tragedi yang melanda, kita juga telah mencapai banyak kejayaan. 2014 juga adalah tahun di mana kita menyambut ulangtahun ke-40 hubungan diplomatik bersama China. Di Beijing, saya berdiri dalam dewan sama yang ayahanda saya lawati pada tahun 1974, dan berjanji bahawa China dan Malaysia akan kekal sebagai ‘rakan dalam kemakmuran; berhubungkait melalui sejarah, dan komited kepada keamanan.’

Kita juga telah menyambut ketibaan Presiden Amerika Syarikat buat kali pertama dalam lima dekad. Pada tahun 1966, Lyndon B Johnson melihat ladang getah; kini, Presiden Obama bertemu dengan pengaturcara komputer serta usahawan muda. Ini adalah contoh terbaik kemajuan pesat yang Malaysia alami.

Obama & PM

Setiap tahun, negara kita makin disegani di mata dunia. Dan setiap tahun juga dunia memandang kepada Malaysia dengan penuh minat – rakyatnya, sejarahnya serta masa depannya. Dan perkara ini akan berterusan pada tahun 2015, dengan kita memegang peranan lebih besar di rantau ini serta di dunia.

Tahun depan kita akan mempengerusikan ASEAN, dalam persediaan kita untuk melancarkan Komuniti ASEAN. Ini adalah saat penting buat ASEAN, negara-negara yang menjadi ahlinya, dan untuk rakyat seluruh Asia Tenggara. Pada tahun 2015, di bawah kepengerusian Malaysia, kita akan menyemai benih kepada integrasi serantau yang lebih mendalam. Bagi rakyat ASEAN, ini bermakna lebih banyak peluang – dari segi pekerjaan dan kemudahan berurusniaga.

2015 juga melihat kita berperanan sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Keahlian ini bukanlah sekadar suatu gelaran untuk dibanggakan, ia juga adalah peluang bagi Malaysia untuk menyampaikan sokongan kepada objektif utama kita – antaranya masa depan dan keselamatan untuk rakyat Palestin – dan juga memberi sumbangan bermakna kepada isu keselamatan global.

Jelaslah bahawa Malaysia akan memainkan peranan yang lebih besar dalam isu antarabangsa di tahun-tahun yang akan datang. Adalah penting untuk kita menjadi penyumbang yang positif, membawa ke hadapan isu yang penting buat kita, dan menjadi wakil kepada rakyat, kepentingan serta perniagaan kita. Ini satu-satunya cara bagi kita memastikan bahawa suara Malaysia dan Asia Tenggara didengari.

Namun di sebalik segala tumpuan global terhadap kita, tumpuan saya adalah terhadap rakyat. Tahun hadapan saya berharap kita mampu membina masyarakat yang lebih selamat, makmur dan saksama.

Titik permulaannya adalah keselamatan. Tanggungjawab utama saya sebagai Perdana Menteri adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Kebelakangan ini kita dapat lihat ancaman lebih kerap muncul daripada kumpulan pengganas dalam Malaysia. Selain daripada program sedia ada untuk memerangi keganasan, kita juga telah membentangkan kertas putih baru mengatasi ancaman pengganas.

Kita juga akan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi perisikan asing, kerana ancaman keganasan ekstremisme melangkaui sempadan kita. Kumpulan Islamic State masih terus berusaha menyeru orang ramai menyertai perjuangan mereka. Walaupun kejayaan mereka merekrut kebanyakannya adalah dari negara barat, ada juga rakyat Malaysia yang terpengaruh dengan propaganda mereka.

Pendirian kita cukup jelas. Seperti yang saya ucapkan pada Perhimpunan Agung PBB tahun ini, ‘tindakan kumpulan militan ini… mencabuli apa yang diajar dalam Islam dan contoh yang diberikan Nabi Muhammad S.A.W. dan juga prinsip-prinsip perundangan Islam. Kami menolak konsep Negara Islam sebegini. Kami menolak negara yang diasaskan oleh ekstremisme, dan kami mengutuk kekejaman yang dilakukan di atas nama Islam.’

Walaupun begitu, keselamatan untuk rakyat Malaysia tidak hanya tertumpu kepada ancaman keganasan sahaja, tetapi juga keselamatan sosial dan ekonomi. Oleh yang demikian untuk tahun yang akan datang, fokus saya juga tertumpu kepada kelangsungan kecemerlangan rekod ekonomi kita, selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan rakyat.

Dalam ekonomi global, risiko boleh berkembang dengan pantas dan jauh. Tiada negara yang terkecuali daripada peristiwa-peristiwa global. Kita telah pun merasa sedikit daripada cabaran yang akan tiba pada tahun 2015, dengan kejatuhan harga minyak beberapa minggu kebelakangan ini memberi kesan kepada pelbagai perkara, dari nilai ringgit kepada harga getah.

Harga minyak yang murah adalah bersifat serampang dua mata. Ia membuatkan sebahagian barangan lebih murah untuk pengguna, tetapi ia juga mengurangkan hasil kerajaan – hasil yang dibelanjakan untuk pembangunan dan juga untuk rakyat.

Negara-negara lain turut mengalami cabaran serupa, dan ada yang kini berada dalam situasi yang amat tertekan. Malaysia amat bertuah kerana terlepas dari akibat yang teruk – kerana asas ekonomi kita masih kukuh.

Ekonomi kita di landasan tepat untuk berkembang 5.7% tahun ini, dan 4.7% pada 2015. Defisit kita berkurang, rizab kita kuat; kita mempunyai institusi kewangan yang kukuh, kadar pengangguran yang rendah, dan jumlah pelaburan asing tertinggi dalam sejarah. Ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk menghadapi sebarang cabaran.

Dalam mesej tahun lalu, saya berbicara mengenai bagaimana kita mengawal kewangan kita sementara ekonomi global masih kuat.

Saya menulis, ‘dengan bertindak secara bertanggungjawab sekarang, kita akan memperkukuhkan ekonomi Malaysia untuk jangka masa panjang – dan manfaatnya dapat dirasai dengan lebih meluas. Dengan mengambil langkah yang diperlukan untuk memperkuatkan ekonomi Malaysia, kita bukan sahaja melindungi negara dari ancaman krisis kewangan, tetapi kita juga membuka pekerjaan dan peluang baru’.

Kita perlu bersikap proaktif, bagi membina ekonomi berdaya saing yang bersedia untuk sebarang kemungkinan. Dengan peristiwa global menimbulkan pelbagai masalah kepada banyak negara, saya berbesar hati kerana kita telah pun mengambil langkah untuk melindungi ekonomi kita. Malah minggu lalu, Bank Dunia mengesahkan bahawa Malaysia kekal berada dalam posisi kukuh hasil daripada tindakan kita merasionalisasikan subsidi.

Namun untuk mengekalkan ekonomi berdaya tahan, kita harus sentiasa bersedia untuk menghadapi risiko, serta bertindak mengukuhkan ekonomi bila peluangnya muncul. Bertitik tolak dari itulah GST akan dilaksanakan tahun hadapan. GST akan menggantikan, dan bukannya menambah cukai jualan sedia ada – dan banyak barangan adalah terkecuali. Ini akan membantu mengukuhkan kewangan kerajaan, agar kita mampu membelanjakannya ke arah yang berfaedah – untuk jalan raya, sekolah dan hospital – ke arah kesejahteraan rakyat. Dan selain daripada GST, kita juga akan meneruskan pembaharuan untuk menjadikan ekonomi kita lebih berdaya saing, yang akan membawa kepada lebih banyak peluang untuk perniagaan kita dan menjana pendapatan lebih tinggi untuk rakyat Malaysia.

Walaupun kita terdedah kepada risiko global, kita mempunyai asas yang kukuh, serta polisi kerajaan yang jelas dan konsisten. Oleh itu, saya yakin bahawa ekonomi Malaysia akan terus berkembang, dan membawa lebih banyak pekerjaan dan standard kehidupan yang lebih baik.

Cabaran kita adalah untuk memastikan ia merangkumi bukan sebahagian tetapi kesemua rakyat Malaysia. Dalam bulan dan tahun yang mendatang, saya ingin kita fokus kepada bukan sahaja angka pertumbuhan KDNK, tetapi juga kepada kehidupan dan keperluan rakyat. Walaupun prestasi ekonomi Malaysia amat luar biasa, saya sedar bahawa kadangkala rakyat merasa seperti tidak menerima apa-apa daripada kejayaan nasional.

Oleh yang demikian, di samping usaha kita untuk memperkukuhkan ekonomi – dengan meningkatkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan, dan meningkatkan produktiviti – kita juga akan berusaha untuk mengurangkan ketidaksamaan dengan mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin.

Tahun lalu, saya menyatakan hasrat untuk melihat Malaysia yang makmur dan bersatu padu. Walaupun tahun ini amat mencabar, kita berjaya mencapai kedua-duanya. Pada tahun 2015, dalam kita bersedia untuk memainkan peranan lebih besar di persada antarabangsa, saya ingin kita bekerjasama untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera, makmur dan saksama. Saya doakan semoga tahun yang akan datang membawa kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia.

Shares Share Kategori : Official Addresses