Sidang Media Mesyuarat Kabinet Di Kuching, Sarawak

kabinetswk1

Mesyuarat Jemaah Menteri baru sahaja selesai pada tengah hari tadi. Tujuan kita mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri di Kuching pada kali ini adalah sebagai tanda sokongan dan kerjasama yang begitu padu dan erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan negeri Sarawak di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

kabinetswk1

Dalam mesyuarat hari ini, kita telah membuat beberapa keputusan dan ketetapan.

Pertama, Jemaah Menteri menolak sekeras-kerasnya dakwaan parti pembangkang kononnya sekiranya kerajaan Barisan Nasional menang di Sarawak, kadar GST akan dinaikkan. Ini satu pembohongan yang tidak berasas sama sekali. Malah tidak ada di dalam perbincangan sama ada di peringkat Kementerian Kewangan mahupun di peringkat Jemaah Menteri untuk menaikkan kadar GST walau dalam apa jua keadaan. Ini merupakan salah satu taktik untuk menimbulkan kemarahan rakyat. Saya berharap rakyat tidak akan tertipu dengan dakwaan-dakwaan yang palsu dan rekaan semata-mata oleh parti pembangkang.

Kedua, saya juga mengingatkan anggota Jemaah Menteri bahawa janji-janji yang telah mereka berikan di negeri Sarawak hendaklah disusuli dengan tindakan pelaksanaan. Pelaksanaannya akan dipantau oleh Kerajaan dan kita akan memastikan kesemuanya dapat disempurnakan mengikut jadual yang telah ditentukan.

kabinetswk2

Dari sudut taktik berkempen yang telah dilakukan pembangkang untuk memenangi pilihanraya ini, para pengundi wajarlah mempertimbangkan apa sahaja yang diketengahkan secara rasional. Apa-apa dakwaan mahupun putar belit yang dilakukan adalah di dalam konteks untuk cuba meraih sokongan dalam waktu pilihanraya.

Rakyat mesti berhati-hati dalam isu-isu tertentu yang akan dilontarkan dalam saat akhir sepertimana yang berlaku dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13) yang lalu. Pembangkang pada saat akhir, iaitu pada hari pembuangan undi telah menyebarkan bahawa kita mengimport seramai 40 ribu pengundi daripada Bangladesh untuk mengundi dalam PRU 13.

Isu itu sangat hangat ketika itu dan telah mengakibatkan orang marah dengan Barisan Nasional, walhal apabila selepas pilihanraya mereka semua sedar bahawa itu merupakan satu penipuan yang besar. Oleh sebab itu, saya ingin mengingatkan pengundi-pengundi di Sarawak supaya berhati-hati dengan taktik kotor pembangkang yang bertujuan untuk menimbulkan kemarahan dan mengelirukan rakyat semata-mata.

Jika mengikut kepada strategi perang psikologi yang telah diamalkan pembangkang, mereka tahu sekiranya mereka tidak boleh meyakinkan pengundi untuk memilih mereka, sekurang-kurangnya mereka akan mengelirukan pengundi. Hal ini telah terbukti dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

Kepada semua jentera Barisan Nasional pula, saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional bersama dengan Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi Barisan Nasional Sarawak, berharap agar semua parti komponen BN akan bekerja keras dan tidak menganggap kemenangan itu sudah di dalam tangan kita. Berusahalah untuk memenangi setiap undi, setiap kerusi.

kabinetswk3

Dalam isu larangan kepada pemimpin pembangkang untuk masuk ke Sarawak, kita perlu faham bahawa ia merupakan kuasa mutlak yang diberikan kepada kerajaan negeri Sarawak dan tertakluk kepada budi bicara mereka. Saya percaya bahawa kerajaan negeri mempunyai pertimbangan tertentu dan tidak mahu suasana politik negeri dikeruhkan dengan ucapan-ucapan yang boleh menyentuh perasaan dan sebagainya. Kita mesti menghormati keputusan yang telah diambil oleh kerajaan negeri Sarawak. Hakikatnya demokrasi masih berjalan, kerana jika kita mementingkan soal rakyat Sarawak, maka ketentuan perlu dibuat rakyat Sarawak sendiri, termasuklah oleh pemimpin-pemimpin mereka.

Dari sudut pemerkasaan kerajaan negeri Sarawak, kita telah pun menerangkan bahawa ia akan dilakukan secara berperingkat. Perkara pertama yang kita lakukan adalah dalam soal pentadbiran. Mana-mana perkara yang boleh dipindahkan dalam sudut pentadbiran telah dilaksanakan terutamanya dalam 13 perkara yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dalam penurunan kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri. Selepas ini, kedua-dua pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sarawak telah mencapai persetujuan untuk melihat soal-soal yang lebih kompleks berdasarkan kepada aspek perundangan dan berdasarkan kepada perjanjian Sarawak Merdeka dalam Malaysia. Perkara ini akan diperhalusi dan kita masih mempunyai masa. Fasa pertama sudah pun selesai dan kita akan memasuki peringkat kedua yang akan memerlukan pakar undang-undang untuk bersama kita bagi meneliti perkara ini.

Berkenaan keadaan ekonomi pula, kita telah bersetuju bahawa royalti minyak tidak sesuai untuk diberi apa-apa pertimbangan setelah menilai situasi semasa. Akibat kejatuhan harga minyak, Malaysia sudah kehilangan hampir RM 40 bilion. Namun demikian, kerajaan tetap akan terus menampung keperluan dan menyokong agenda pembangunan di Sarawak. Kita telah mendapat menambah peruntukan misalnya, peruntukan di luar bajet telah banyak diluluskan di Sarawak. Lawatan saya dan YAB Timbalan Perdana Menteri, setakat ini, telah meluluskan RM3.5 bilion untuk pembangunan di Sarawak berdasarkan keperluan dan permintaan tempatan. Tambahan kepada ini, tentu sekali projek pembangunan Lebuhraya Pan Borneo berjumlah RM16 bilion juga merupakan contoh yang baik bahawa komitmen kita untuk Sarawak sangat tinggi dan akan diteruskan.

Anggota Jemaah Menteri yakin Barisan Nasional akan diberi mandat untuk terus menerajui agenda pembangunan di Sarawak daripada rakyat negeri Sarawak dan boleh mencapai kejayaan sekali lagi. Insya-Allah.

kabinetswk4