Keberkesanan Perlaksanaan Strategi Dan Langkah Bajet 2010

By November 6, 2009 Press Statement

Buat julung kalinya, YAB Perdana Menteri telah menetapkan tugasan dan tanggungjawab serta jangka masa pelaksanaan semua strategi dan langkah Bajet 2010 kepada kementerian dan agensi untuk memastikan strategi dan langkah Bajet 2010 dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Ini adalah untuk memastikan semua langkah dapat dilaksanakan demi faedah dan manfaat rakyat. Tindakan susulan akan diambil untuk memastikan semua objektif dicapai dalam masa yang ditetapkan.

Unit Pengurusan Projek (PMU), Kementerian Kewangan, akan memantau pelaksanaan semua langkah Bajet 2010 dalam memastikan ianya berjalan dengan lancar dan berkesan.

Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), yang mempunyai cawangan di negeri dan daerah akan bertindak sebagai penyelesai masalah (troubleshooter) bagi projek yang sedang dilaksanakan.

Jawatankuasa Teknikal Pakej Rangsangan Ekonomi di Kementerian Kewangan yang bermesyuarat setiap minggu akan memantau keseluruhan pelaksanaan langkah Bajet 2010 serta mencari jalan untuk mengatasi semua masalah bagi memastikan kejayaan pelaksanaan langkah Bajet 2010.

Pada petang ini, bertempat di Kementerian Kewangan, YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak telah memberi taklimat kepada semua Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Jabatan dan Agensi serta stakeholders mengenai tindakan yang harus diambil. Mereka diingatkan agar memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat dan pencapaian objektif Bajet 2010.

Dato’ Sri Najib telah membentangkan Bajet 2010 di Parlimen pada 23 Oktober 2009 yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” yang memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat. Ia digubal untuk menjadi asas untuk melonjak negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.