31 Julai, 2009

Elaun Kenangan Kepada Anggota Pasukan Keselamatan


1.   Sempena sambutan Hari Pahlawan tahun ini, saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah meluluskan kenaikan Elaun Kenangan bagi pasukan anggota keselamatan yang telah dikurniakan pingat kebesaran negara kerana keberanian, keperwiraan dan semangat juang yang tinggi.
2.    Bagi anggota keselamatan yang dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.), kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Kenangan ini kepada RM2,000 sebulan berbanding RM400 sebelum ini. Sementara penerima Pingat Gagah Berani akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan berbanding RM300 sebelum ini. Kadar baru ini berkuat kuasa mulai 01 Julai 2009.
3.   Seramai 86 anggota keselamatan yang merupakan pemegang pingat S.P. dan P.G.B. yang mula diperkenalkan pada 29 Julai 1960 akan menerima kadar Elaun Kenangan baru ini.
4.   Kerajaan juga telah bersetuju agar penerima tunggal pingat keberanian anugerah kerajaan British, “George Cross”, Awang anak Raweng, diberi Elaun Kenangan sebanyak RM2,000 sebulan berbanding £100 sebulan dari kerajaan British.
5.   Elaun Kenangan RM1,500 sebulan juga akan diberikan kepada penerima pingat “Military Cross” dan “Military Medal”. Ketika ini mereka menerima pencen tambahan sebanyak RM76.00 setahun atau RM6.50 sebulan.
6.    Kenaikan kadar Elaun Kenangan ini adalah satu manifestasi pengiktirafan dan keprihatinan kerajaan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen jitu mereka dalam memelihara keamanan, ketenteraman awam dan mempertahankan kedaulatan negara.
7.    Kerajaan dan rakyat Malaysia amatlah menghargai jasa dan peranan yang dimainkan oleh pasukan anggota keselamatan negara dalam menjamin keamanan negara. Kita harap anggota pasukan keselamatan akan terus meningkatkan keupayaan dan profesionalisme mereka dalam menjalankan tugas.
Shares Share Kategori : Press Statement