25 Disember, 2010

Felda Bayar Bonus Insentif Produktiviti RM100.92 Juta


1.       Sukacita saya ingin mengumumkan bahawa FELDA akan membayar Bonus Insentif Produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM100,916,600.00. Bonus ini adalah sebagai menghargai sumbangan peneroka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara dan insentif menghantar hasil melalui FELDA. Kadar bayaran bonus yang dibayar pada tahun ini ialah minimum RM400.00 dan maksimum RM1,200.00 bergantung kepada penghantaran hasil.
2.       Pembayaran bonus insentif ini melibatkan seramai 94,281 atau 83.70 peratus daripada 112,635 peneroka FELDA seluruh negara. Peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari 2010 hingga Oktober 2010. Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 17 tan/hektar ke atas. Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01 kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada yang menghantar hasil melebihi 1,400 kg/hektar. Bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 30,611 orang. Seramai 61,170 yang sedang menanam semula bersama FELDA akan menerima bayaran maksima RM1,200.00 seorang.
3.       Pada tahun ini,  FELDA turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula. Ini termasuk juga kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan. Termasuk juga dalam kategori ini ialah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain. Kira-kira 2,000 peneroka terlibat dalam kategori pertimbangan khas ini. Kadar yang diberi kepada peneroka terlibat adalah sebanyak RM400.00 seorang.
4.       Seramai 18,354 peneroka atau 16.29 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada FELDA dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan. Selain itu, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak dibayar bonus insentif ini.
5.       Bayaran Bonus Insentif Produktiviti Peneroka 2010 akan dibayar secara tunai di pejabat rancangan pada awal Januari 2011. Kerajaan berharap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih bagi meningkatkan produktiviti masing-masing.
6.       Saya juga ingin mengajak semua peneroka untuk menyertai program bersama dengan FELDA selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut bagi meningkatkan pendapatan mereka melalui penyelidikan dan khidmat nasihat yang disediakan.
Shares Share Kategori : Press Statement