Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan Bayaran Bantuan Khas Tahun 2013

By July 25, 2013 Press Statement

KENAIKAN GAJI TAHUNAN (KGT)

Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.7 bilion bagi pembayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan para pesara bagi membantu dan meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya.

Bagi tahun 2013, semua penjawat awam akan menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT). Pertama, adalah kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima pada 25 Julai 2013 sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13.  Ini adalah berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember 2013 dalam Sistem Saraan Transformatif.  Pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.3 bilion untuk 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.   Faedah ini akan diperolehi sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini.

BAYARAN BANTUAN KHAS HARI RAYA UNTUK MENJAWAT AWAM

Kerajaan telah bersetuju memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebagai persiapan hari raya sebanyak RM500 kepada penjawat awam yang berada dalam kelompok Gred 1 – Gred 54.  Bayaran ini akan dibuat pada 31 Julai 2013.  Peruntukan kewangan yang terlibat adalah sebanyak RM670 juta.

BAYARAN BANTUAN KHAS HARI RAYA UNTUK PESARA DAN MENERIMA PENCEN

Bagi menghargai jasa bakti penjawat awam yang telah bersara, kerajaan turut bersetuju memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 kepada 660 ribu orang penjawat awam yang bersara dan menerima pencen.  Bayaran ini akan dibuat pada 31 Julai 2013.  Ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM165 juta.