22 Mac, 2016

Kenyataan Media – 22 Mac 2016


KENYATAAN MEDIA

Saya memandang berat kes penyelewengan melibatkan pegawai kanan kerajaan di Kementerian Belia dan Sukan yang kini sedang dalam siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ini kerana kita telah pun mengambil langkah-langkah untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan dan pembaziran dalam urusan pentadbiran serta kewangan kerajaan. Kes ini amat mengecewakan kerana ia berlaku sejak beberapa tahun lalu tanpa dikesan.

Satu siasatan menyeluruh perlu dijalankan dengan serta-merta dan kes ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan tindakan undang-undang. Jabatan Audit Negara juga akan mengkaji dan memperketatkan lagi prosedur berkaitan tatacara pengurusan kewangan kerajaan.

Saya mahu perkembangan kes ini dipaparkan dalam Auditor General’s Dashboard di laman web https://agdashboard.audit.gov.my bagi tatapan umum. Dashboard ini mula diperkenalkan pada tahun 2013 bagi memantau tindakan yang telah diambil terhadap kes-kes yang dikenal pasti bermasalah oleh Jabatan Audit Negara.

Semua Kementerian dan agensi Kerajaan perlu sentiasa memantau setiap perbelanjaan bajet yang telah diperuntukkan pada tahap ketelusan dan akauntabiliti yang tertinggi.

Kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi dalam sebarang kes penyelewengan dana kerajaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terbabit.

Dato’ Sri Mohd Najib
Putrajaya
22 Mac 2016

Shares Share Kategori : Press Statement