26 Mei, 2016

Kenyataan Media Di Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera


SYARIKAT-SYARIKAT PELABURAN BERKAITAN KERAJAAN (GLIC) & SYARIKAT-SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN (G20)

1. Salah satu Prinsip Dasar Program Transformasi GLC (Program GLCT) yang dilaksanakan di antara tahun 2005 hingga 2015 adalah Agenda Pembangunan Negara yang meliputi prinsip pertumbuhan secara saksama dan pembangunan masyarakat Bumiputera.

2. Sungguhpun program yang berjalan selama 10 tahun tersebut tamat pada tahun lepas, Kerajaan masih mengekalkan inisiatif-inisiatif utama di bawah Agenda Pemerkasaan Bumiputera (BEA) oleh Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (G20) sejak pengenalannya pada tahun 2014.

3. Meskipun Program GLCT telah ditauliahkan pada tahun 2015, Khazanah Nasional Berhad selaku mantan urus setia program akan terus berperanan sebagai urus setia bagi pelaksanaan BEA yang melibatkan GLIC dan G20 sehingga tahun 2020.

WhatsApp-Image-20160526

PENCAPAIAN KPI BEA PADA TAHUN 2015

4. Alhamdulillah, setelah dua tahun pelaksanaannya, kejayaan ketara telah dicapai dalam tujuh bidang utama, iaitu berkaitan:

(1) program pembangunan vendor;
(2) syarikat-syarikat utama (anchor) untuk rantaian bekalan;
(3) pengagihan khusus (carve out);
(4) modal insan;
(5) pemilikan aset bukan kewangan;
(6) pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor Korporat; dan
(7) pemerolehan.

5. Lima buah GLIC dan 17 GLC utama (G20) secara keseluruhannya berjaya mencatatkan pencapaian 91.5% di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif utama di bawah BEA bagi tahun 2015. GLIC dan G20 telah mencatatkan nilai inisiatif keseluruhan sebanyak RM44.7 bilion berbanding RM43.8 bilion pada 2014, yang merupakan tahun pertama pelaksanaan KPI untuk BEA.

6. Antara kejayaan GLIC dan G20 pada tahun 2015 adalah pemerolehan berjumlah RM11.8 bilion daripada syarikat Bumiputera manakala RM2.3 bilion dari nilai pengagihan khusus (carve out) untuk syarikat Bumiputera.

7. Selain itu, GLIC dan G20 turut melantik 49 vendor baharu di bawah program-program pembangunan vendor, mewujudkan 2 konsortium rangkaian runcit dan ternakan, serta melatih 9,544 siswazah di bawah program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).

WhatsApp-Image-201605261

KPI BEA BAGI TAHUN 2016

8. Dalam meneruskan agenda ini, sasaran KPI BEA bagi GLIC dan G20 terus dipertingkatkan bagi tahun 2016.

9. Saya bersama beberapa Menteri, turut terlibat dalam menggubal KPI BEA bagi GLIC dan G20. Juga, menerusi sesi ‘White Room’ bersama Pengerusi-pengerusi dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif GLIC dan G20, komitmen syarikat-syarikat akan dipertingkatkan untuk meneruskan pelaksanaan BEA di syarikat masing-masing.

10. Di antara inisiatif-inisiatif yang dirancang:
• GLIC dan G20 mensasarkan pelantikan 70 vendor baharu, 8 jaguh nasional dan 1 jaguh serantau melalui Program Pembangunan Vendor (PPV); sementara sasaran pemerolehan syarikat Bumiputera pula ditetapkan pada RM11.0 bilion dan;

• Seramai 15,000 siswazah bakal dilatih di bawah Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M).
11. Khazanah Nasional Berhad, selaku urus setia program, akan terus memperkemaskan lagi mandat dan struktur pelaksanaan BEA agar dapat memberikan lebih banyak manfaat kepada masyarakat Bumiputera dan negara.

Shares Share Kategori : Press Statement