17 Julai, 2014

Kenyataan Media di Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB)


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bumiputera Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)

Hari ini kita telah mengadakan mesyuarat kali kelapan Majlis Ekonomi Bumiputera. Pada mesyuarat ini kita telah membincangkan dan memperhalusi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Objektif utama KPI Bumiputera di GLIC, GLC dan Kementerian ialah untuk menentukan Agenda Ekonomi Bumiputera diterapkan selaras dengan pengumuman saya sebelum ini bahawa agenda ini adalah merupakan Agenda Nasional.

KPI GLIC dan GLC ini dibangunkan oleh Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (Putrajaya Committee on GLC High Performance atau PCG). PCG telah menetapkan prinsip dan arah tuju KPI dan “Game Changing Initiative” bagi GLIC dan GLC. Kesemua KPI GLIC dan GLC yang dibentangkan hari ini telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah masing-masing dan dibentangkan kepada saya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II.

KPI ini bersifat inklusif, berasaskan merit, telus, mesra pasaran, dan seterusnya akan membantu komuniti Bumiputera untuk bersaing secara kompetitif. Secara keseluruhan, KPI ini dijangka akan menyediakan peluang perniagaan bernilai RM7 bilion pada tahun 2014. Inisiatif-inisiatif baru bagi tahun 2014 ini juga antara lain termasuk mewujudkan 50 vendor baru melalui Program Pembangunan Vendor, sembilan konsortium atau syarikat anchor baru, tambahan RM700 juta melalui program Carve Out & Compete, peruntukan perolehan bernilai RM2 bilion, peruntukan pembiayaan berjumlah RM527 juta dan juga peruntukan pembangunan keusahawanan berjumlah RM100 juta.

Selain itu, projek seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan Graduate Employability Management Scheme (GEMS) bakal diperluaskan dan akan melatih 2,123 graduan pada tahun 2014. Adalah dianggarkan 1,166 biasiswa akan diberikan kepada Bumiputera pada tahun 2014 iaitu dua kali ganda dari 584 biasiswa yang diberikan pada tahun sebelumnya.

Saya juga ingin menarik perhatian bahawa selain dari inisiatif-inisiatif ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) bernilai RM10 bilion pada April lalu bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera.

KPI GLIC dan GLC juga memperuntukan dana tambahan bernilai RM1.3 bilion bagi pembiayaan lot komersil dan perumahan. GLC juga memperuntukan RM100 juta kepada Bumiputera dalam sektor perkhidmatan digital sebagai satu usaha untuk meningkatkan penyertaan mereka dan memperkayakan talent dan kapasiti.

Selain itu, GLIC dan GLC akan mengambil empat buah sekolah tambahan sebagai anak angkat di bawah program PINTAR dan mensasarkan 37 buah sekolah amanah baru di bawah Yayasan AMIR.

Garis Panduan Program Pembangunan Vendor (PPV)

Pada masa yang sama, mesyuarat turut bersetuju supaya Garis Panduan Program Pembangunan Vendor (PPV) yang dibangunkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dijadikan sebagai garis panduan nasional bagi program pembangunan vendor sebagai panduan dan rujukan mengenai tatacara perlaksanaan PPV untuk semua pihak yang terlibat.

Program ini yang akan dipengerusikan oleh Menteri MITI, YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed akan dapat membantu membangunkan usahawan tempatan Bumiputera terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjadi pengilang dan pembekal komponen/perkhidmatan yang kompetitif bagi pasaran domestik dan global bagi syarikat anchor.

Majlis Ekonomi Bumiputera yakin dengan adanya Garis Panduan ini, kita akan dapat memacu Program Pembangunan Vendor dengan lebih cepat dan terarah.

Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Bumiputera Kementerian

Sementara itu, berhubung dengan KPI Bumiputera di Kementerian-Kementerian, Majlis Ekonomi Bumiputera telah memutuskan untuk memantau sebanyak 133 KPI Bumiputera sepanjang tahun 2014 ini. Daripada keseluruhan jumlah KPI tersebut, 88 KPI atau 66% adalah berkaitan memantapkan keusahawanan dan perniagaan.

Ini termasuklah menentukan Bumiputera diberikan peluang mendapat kontrak pembinaan enam lebuh raya baru, syarikat Bumiputera mendapat sebilangan besar nilai perolehan vendor dari nilai keseluruhan syarikat-syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), dan dari jumlah keseluruhan kedai yang terlibat dalam program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), majoritinya adalah Bumiputera.

Majlis Ekonomi Bumiputera juga ingin melihat Kementerian turut melaksanakan program pembangunan industri sesuai dengan fungsi teras kementerian masing-masing. Ingin juga ditegaskan bahawa kita meletakkan sepenuh harapan dan kepercayaan kepada Jawatankuasa Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha atau Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, selaras dengan arahan Ketua Setiausaha Negara, agar memainkan peranan yang lebih agresif bagi menentukan sasaran yang ditetapkan ini dapat dicapai.

Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB)

Di mesyuarat MEB pada bulan April 2014 yang lalu, saya telah mengumumkan senarai pemenang bagi SUPERB Siri Pertama yang mana geran sebanyak RM6.5 juta telah diberikan kepada 13 orang peserta. Hari ini pula, kita akan mengumumkan seramai 15 lagi pemenang bagi SUPERB Siri Kedua bagi tahun 2014.

Siri kedua permohonan geran SUPERB telah bermula pada 1 Mei sehingga 16 Mei 2014. Bermula dengan hampir 2,000 idea perniagaan dari seluruh pelusuk Negara yang diterima, 30 peserta akhir telah terpilih melalui satu proses “business pitching” yang berlandaskan dua kriteria utama, iaitu inovasi dan kreativiti.

Di sini, saya ingin turut memaklumkan bahawa SUPERB Siri Ketiga akan dibuka pada 18 Julai 2014 ini dan saya dengan ini ingin menyeru agar lebih ramai usahawan muda Bumiputera menyertai program SUPERB, termasuklah dari Sabah dan Sarawak.

Saya berharap geran SUPERB ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk mengkomersilkan idea anda sehingga ke tahap seterusnya. TERAJU dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan yang terlibat dalam program ini akan terus memantau perniagaan anda dan menyediakan khidmat perundingan perniagaan untuk membolehkan anda mendapat dana lanjutan seterusnya.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Press Statement