29 Mac, 2016

Kenyataan Media Di Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

1. Saya ingin mengumumkan satu dasar baharu di mana terdapat projek-projek mega dan ikonik, sebahagian daripada nilai kontrak akan dikhaskan kepada kontraktor-kontraktor Bumiputera secara kompetitif.

2. Inisiatif ini mula diperkenalkan di dalam pembinaan MRT di Lembah Klang dan juga Lebuhraya Pan Borneo Sarawak.

3. Merujuk kepada projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. telah menyatakan komitmen mereka terhadap penyertaan syarikat-syarikat Bumiputera dalam pembinaan projek tersebut.

4. Perkara ini telah digariskan di bawah pelan “Program Penyertaan Bumiputera” atau BPP yang telah diterangkan secara terperinci kepada Ahli Majlis Ekonomi Bumiputera oleh Syarikat Lebuhraya Borneo Utara selaku Rakan Penyampaian Projek atau “Project Delivery Partner”.

5. Sehubungan itu, pakej-pakej kontrak bernilai di antara RM5.0 kepada RM8.0 bilion bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dari negeri Sarawak bagi membolehkan lebih banyak penyertaan mereka dalam projek mega tersebut. Program ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif TERAJU dibawah pelan pelaksanaan “Carve Out & Compete”.

6. Di bawah inisiatif yang sama, UDA Holdings Berhad turut memaklumkan status terkini projek pembangunan semula tapak bekas Penjara Pudu yang kini diberi nama sebagai “Bukit Bintang City Centre” atau BBCC. Peruntukan sebanyak 50 peratus atau RM1.6 bilion daripada kontrak pembinaan projek bakal diagihkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera dalam rancangan pembangunan dan pembinaan projek tersebut.

7. Merujuk kepada Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau “SUPERB” pula, yang dilancarkan dua tahun lepas yakni pada Januari 2014, dengan sukacitanya saya dimaklumkan, program ini telah melahirkan 90 usahawan Bumiputera baharu dari pelbagai industri.

8. Program SUPERB ini diwujudkan bertujuan untuk membantu syarikat “start-up” dan usahawan muda Bumiputera membawa idea perniagaan kreatif dan inovatif mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Ia juga merupakan antara langkah proaktif kerajaan dalam menggalakkan lebih banyak penyertaan golongan belia Bumiputera ke dalam bidang keusahawanan.

9. Selain daripada sokongan geran perniagaan, usahawan-usahawan SUPERB ini turut menerima manfaat bimbingan dan “mentoring”. TERAJU turut memantau perkembangan kumpulan usahawan ini selama 3 tahun agar mereka berada di landasan yang betul.

10. Atas dasar ini, TERAJU juga telah memeterai kerjasama dengan pihak Celcom Axiata Berhad dan “Touch & Go Sdn Bhd” bagi pelaksanaan program “Adopt & Grow”. Kita akan saksikan Pertukaran Dokumen Perjanjian di antara mereka sebentar lagi.

11. Menerusi kolaborasi strategik ini, syarikat-syarikat yang terlibat akan bertindak sebagai mentor dalam memberi bimbingan kepada usahawan SUPERB khususnya dalam bidang yang berkaitan dengan industri syarikat tersebut.

12. Celcom Axiata Berhad dan Touch & Go Sdn Bhd akan memberi panduan serta menyokong pelaksanaan perniagaan usahawan SUPERB hingga ke peringkat komersil. Kerjasama ini mampu memberi manfaat yang optimum kepada usahawan dan penerima geran SUPERB dalam mengembangkan potensi diri dan perniagaan mereka ke peringkat seterusnya.

13. Selain itu juga, saya dan ahli-ahli MEB turut dimaklumkan bahawa Saudara Muhamad Shahril Bin Shahbudin, pemenang SUPERB Siri 1 tahun 2014 telah berjaya menghasilkan “Working Prototype” untuk pembersihan enjin pesawat yang menggunakan teknologi “Ais Kering”. Produk dan inovasi ini telah mendapat perhatian Air Asia Berhad.

14. Maka pada hari ini, kita juga akan saksikan syarikat beliau, Aiis Solutions Sdn Bhd bertukar dokumen perjanjian bersama Air Asia Berhad. Menerusi kolaborasi ini, Aiis Solutions Sdn Bhd dibenarkan untuk mengaplikasikan teknologi dan produknya ke atas enjin pesawat untuk menguji keberkesanannya.

15. Air Asia Berhad juga akan membantu Aiis Solutions Sdn Bhd dalam aspek-aspek peraturan sebelum teknologi ini dikomersialkan dan digunakan sepenuhnya oleh pihak AirAsia Berhad. Syarikat ini juga akan dibantu dari segi sokongan teknikal, kemudahan latihan serta penyelidikan pasaran.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

photo-1
photo-2
photo-3

Shares Share Kategori : Press Statement