25 Jun, 2014

Kenyataan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sempena Pelantikan Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri-Menteri Persekutuan


  1. Seperti yang kita sedia maklum, selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13, telah menyaksikan buat pertama kalinya tiada wakil masyarakat Cina dari MCA dilantik sebagai Menteri Persekutuan.
  2. Ia sebagai menghormati keputusan parti tersebut pada ketika itu yang tidak mahu wakil mereka dilantik di dalam Kabinet berikutan keputusan pilihanraya yang kurang memberangsangkan.
  3. Namun, keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa MCA yang telah diadakan baru-baru ini yang mahu wakil parti itu dilantik ke dalam Kabinet menyaksikan kerajaan telah mengambil kira hasrat tersebut demi mengukuhkan kembali konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran yang melibatkan semua kaum di negara ini.
  4. Sejajar dengan itu, perubahan perlu dilakukan untuk melonjakkan lagi pendirian Barisan Nasional (BN) yang mendukung prinsip perpaduan, kerjasama dan kesatuan dalam memerintah negara.
  5. Lebih-lebih lagi sejarah negara ini sejak dahulu telah menyaksikan penglibatan pemimpin-pemimpin dari kaum Cina, India dan lain-lain kumpulan minority yang mewakili parti komponen BN yang turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran Negara.
  6. Negara kita memiliki kepelbagaian dari segi kaum, agama dan budaya tetapi perbezaan ini dapat kita tangani menjadi kekuatan kepada kita.
  7. Kebolehan kita bertolak ansur, menghormati antara satu sama lain dan berjaya menyelesaikan konflik dengan aman adalah antara teras bangsa kita, sekali gus menjadi antara resepi kejayaan masa depan kita.
  8. Pengumuman pelantikan anggota baru Kabinet pada hari ini sudah tentu berkait rapat dengan hasrat kita untuk membentuk pasukan yang jitu untuk memimpin rakyat dari pelbagai kaum dan ragam dengan jayanya.
  9. Saya merasa gembira kerana wakil dari MCA yang mewakili kaum Cina telah dapat kembali dalam Kabinet. Begitu juga dengan wakil dari parti Gerakan.
  10. Sehubungan itu, pada hari ini sukacita saya ingin mengumumkan bahawa selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan-pelantikan berikut:
    1. YB Dato’ Ser Liow Tiong Lai, Presiden MCA sebagai Menteri Pengangkutan;
    2. YB Dato’ Mah Siew Keong, Presiden GERAKAN sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
    3. YB Datuk Ir. Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
    4. YB Senator Lee Chee Leong, Naib Presiden MCA sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri;
    5. YB Datuk Chua Tee Yong, Naib Presiden MCA sebagai Timbalan Menteri Kewangan; dan
    6. YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun, Naib Presiden MCA sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
    7. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Ahli Dewan Negara selama 3 tahun mulai 25 Jun 2014.
  11. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan YB Senator Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Ahli Dewan Negara selama 3 tahun mulai 25 Jun 2014.
  12. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Menteri dan Timbalan Menteri
  13. Persekutuan di hadapan Baginda diadakan pada Jumaat, 27 Jun 2014, jam 11.30 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur.
  14. Saya yakin barisan Kabinet ini merupakan satu pasukan yang mampu menterjemah akujanji kita kepada rakyat seperti yang dilafazkan semasa pilihan raya umum lalu, seterusnya membawa kemajuan yang lebih besar kepada negara.

minister-amend

Shares Share Kategori : Press Statement