22 April, 2009

Liberalisasi Sektor Perkhidmatan


KENYATAAN MEDIA 

LIBERALISASI SEKTOR PERKHIDMATAN 

 

Semasa membentangkan bajet mini di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua pada 10 Mac 2009, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan mengambil langkah-langkah dalam meliberalisasikan sektor perkhidmatan, bagi menarik lebih banyak pelaburan, membawa masuk profesional dan teknologi, serta memperkukuhkan daya saing  sektor ini.

 

  1. Sektor perkhidmatan merupakan komponen penting dalam ekonomi negara, menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008, di mana, sebanyak 47.6 peratus merupakan sumbangan daripada perkhidmatan bukan kerajaan. Sektor ini juga mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia.

 

  1. Dalam melengkapkan pertumbuhan dan pembangunan dalam sektor perkilangan, Kerajaan telah meningkatkan usaha-usaha untuk mempromosi dan membangunkan sektor perkhidmatan.  Kerajaan mensasar untuk meneroka potensi sepenuhnya sektor perkhidmtan dan meningkatkan sumbangan KDNK melebihi 60 peratus, seperti yang disasarkan di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3).

 

  1. Menyedari potensi pertumbuhan di dalam sektor perkhidmatan, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk meliberalisasikan 27 sub-sektor perkhidmatan secara serta-merta, tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan. Sub-sektor ini adalah di dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, perkhidmatan pelancongan, perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan perniagaan dan perkhidmatan komputer dan yang berkaitan. Butir-butir terperinci sub-sektor tersebut adalah seperti di Lampiran I. Kerajaan akan mengambil langkah untuk meliberalisasikan sub-sektor perkhidmatan yang lain secara progresif dari masa ke semasa.

 

  1. Liberalisasi sektor perkhidmatan diambil dengan tujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi, serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Usaha-usaha ini dijangka dapat meningkatkan tahap daya saing sektor perkhidmatan di negara ini.

 

  1. Initiatif liberalisasi tidak akan menjejaskan industri perkhidmatan tempatan. Kerajaan akan terus menyokong industri melalui pembangunan kapasiti dan pembukaan pasaran eksport. Satu dana pembangunan kapasiti sektor perkhidmatan yang berjumlah RM100 juta telah diwujudkan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Pertama. Tabung ini diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), terutamanya, bagi memperkukuhkan industri tempatan dalam menghadapi persekitaran sektor perkhidmatan yang lebih terbuka.

 

  1. Bagi mempermudahkan pelaburan dalam sektor perkhidmatan, satu Jawatankuasa Kebangsaan bagi Kelulusan Pelaburan Sektor Perkhidmatan di bawah MIDA telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini akan bertindak sebagai pusat yang akan menerima dan memproses permohonan pelaburan bagi sektor perkhidmatan, kecuali perkhidmatan kewangan, pengangkutan udara, utiliti, Koridor Pembangunan Ekonomi, syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Bionexus, dan perdagangan pengedaran.

 

  1. Pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkhidmatan berjumlah RM50.1 bilion pada 2008, melangkaui sasaran tahunan pelaburan sebanyak RM45.8 bilion di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga. Peratusan pelaburan asing dicatatkan pada 11 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan. Dengan liberalisasi sektor perkhidmatan, Kerajaan menjangka lebih banyak aliran masuk pelaburan dalam sektor ini.

 

  1. Dari segi eksport, pada 2008, sektor perkhidmatan telah menyumbang RM102.1 bilion, manakala import berjumlah RM99.8 bilion. Pada 2007, Malaysia buat pertama kalinya telah mencatatkan lebihan dagangan perkhidmatan dan ini masih berterusan pada 2008. Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia  (WTO), Malaysia merupakan di antara 30 pengeksport perkhidmatan utama di dunia. 

 

  1. Dengan fokus diberikan kepada perkhidmatan pada masa ini, usaha-usaha promosi barangan pembuatan akan dilengkapi dengan lebih tumpuan diberikan kepada promosi eksport perkhidmatan. Sehubungan dengan ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah ditugaskan untuk menyelaras dan menerajui semua usaha-usaha  promosi eksport.

 

  1. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk membangunkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa, profesion perundangan akan diliberalisasikan dengan membenarkan lima firma guaman antarabangsa dengan kepakaran dalam kewangan Islam antarabangsa untuk menawarkan perkhidmatan mereka di Malaysia. Firma tersebut hanya dibenarkan memberi perkhidmatan perundangan dalam bidang kewangan Islam anatarabangsa. Firma perundangan yang berjaya akan ditentukan berdasarkan kelayakan dan pelan perniagaan bagi pejabat yang akan ditubuhkan di Malaysia.

 

  1. Sektor perkhidmatan disasarkan sebagai sektor pertumbuhan baru ekonomi. Liberalisasi sektor ini akan mewujudkan ransangan bagi meningkatkan sumbangannya kepada pertumbuhan eknomi.

 

 

Dato Sri Mohd Najib

Putrajaya

22 April 2009

 

LAMPIRAN I

 

SUB-SEKTOR PERKHIDMATAN UNTUK DILIBERALISASIKAN 

 

Perkhidmatan Komputer dan yang Berkaitan

  1. Perkhidmatan Perundingan Berkaitan Pemasangan Perkakasan Komputer (CPC 841).

 

  1. Perkhidmatan Pelaksanaan Perisian – perkhidmatan perundingan sistem dan perisian; perkhidmatan analisis sistem; perkhidmatan rekabentuk sistem; sistem pengaturcaraan dan perkhidmatan penyelengaraan sistem (CPC 842).

 

  1. Perkhidmatan Pemprosesan Data – perkhidmatan penyediaan input, perkhidmatan pemprosesan data dan penjadualan, perkhidmatan time sharingdan perkhidmatan pemprosesan lain (CPC 843) (CPC 843).

 

  1. Perkhidmatan Pangkalan Data (CPC 844).

 

  1. Perkhidmatan Penyelengaraan dan Pembaikan Komputer Multimedia Super Corridor(CPC 845).

 

  1. Perkhidmatan Lain – perkhidmatan penyediaan data, perkhidmatan latihan, perkhidmatan pemulihan data; dan  pembangunan kandungan kreatif (CPC 849).

 

Perkhidmatan Kesihatan dan Sosial

 

  1. Semua Perkhidmatan Veterinar (CPC 9320).

 

  1. Perkhidmatan Kebajikan yang dijalankan melalui Institusi Kediaman kepada Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (CPC 93311).

 

  1. Perkhidmatan Kebajikan yang dijalankan melalui Institusi Kediaman kepada Kanak-kanak (CPC 93312).

 

  1. Perkhidmatan Penjagaan Harian Kanak-kanak, termasuk Perkhidmatan Penjagaan Harian bagi Orang Kurang Upaya (CPC 93321).

 

  1. Perkhidmatan Pemulihan Vokasional bagi Orang Kurang Upaya (CPC 93324).

 

Perkhidmatan Pelancongan

 

  1. TamanTema (CPC 96194).

 

  1. Pusat Konvensyan dan Pameran (kapasiti tempat duduk melebihi 5,000) (CPC 87909).

 

  1. Perkhidmatan Agensi Perjalanan dan Pengendali Pelancongan (bagi perjalanan dalaman sahaja) (CPC 7471).

 

  1. Perkhidmatan Hotel dan Restoran (CPC 64110 and CPC 64199).

 

  1. Perkhidmatan Hidangan Makanan (bagi perkhidmatan di hotel 4 dan 5 bintang sahaja) (CPC 642).

 

  1. Perkhidmatan Hidangan Minuman untuk diminum di premis (bagi perkhidmatan di hotel 4 dan 5 bintang sahaja) (CPC 643).

 

Perkhidmatan Pengangkutan 

 

  1. Pengangkutan Muatan Kelas C (Lesen Pengangkutan Persendirian – untuk mengangkut barangan sendiri) (CPC 7123).

 

 

Perkhidmatan Sukan dan Perkhimatan Rekreasi lain

 

  1. Perkhidmatan Sukan (CPC 9641).

          (Mengandungi Promosi dan Penganjuran Acara Sukan Bukan Kerajaan)

 

Perkhidmatan Perniagaan

 

  1. Pusat Pengedaran Serantau(CPC 87909).

 

  1. Pusat Perolehan Antarabangsa(CPC 87909).

 

  1. Perkhidmatan Ujian Teknikal dan Analisa – perkhidmatan ujian dan analisa komposisi dan ketulenan; perkhidmatan ujian and analisa harta benda fizikal, perkhidmatan ujian dan analisa sistem bersepadu mekanikal dan elektrikal; dan perkhidmatan penyeliaan teknikal (CPC 8676).

 

  1. Perkhidmatan Pengurusan Perunding – perkhidmatan am, kewangan (kecuali cukai perniagaan), pemasaran, sumber manusia, pengeluaran dan hubungan awam (CPC 8650). 

 

Perkhidmatan Sewaan/Pajakan tanpa Operator 

 

  1. Perkhidmatan Sewaan/Pajakan Kapal kecuali Kabotaj dan Perdagangan Persisiran (CPC 83103).

 

  1. Sewaan Kapal Kargo tanpa Anak Kapal (Bareboat Charter) untuk Pelayaran Antarabangsa (CPC 83103).

 

 

Perkhidmatan Pengangkutan Sokongan dan Bantuan

 

  1. Perkhidmatan Agensi Maritim (CPC 7454).

 

  1. Perkhidmatan Kapal Penyelamat dan re-floating (CPC 7454).
Shares Share Kategori : Press Statement