22 Mac, 2016

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Ekonomi Pada 22 Mac 2016


KENYATAAN AKHBAR
YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Ekonomi
Selasa, 22 Mac 2016

Kedudukan Ekonomi Semasa

1. Bagi memastikan kestabilan ekonomi negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan, saya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) pada 26 Ogos 2015 dengan keahlian terdiri daripada individu ternama di sektor swasta berserta ahli ex-officio yang terdiri daripada pegawai tinggi Kerajaan dan dipengerusikan oleh YB Senator Dato’ Sri Abdul Wahid Omar.

2. Pada ketika itu, kedudukan pasaran kewangan dunia tidak stabil. Kadar tukaran wang Ringgit Malaysia berbanding Dollar Amerika ketika itu telah merosot dari kadar RM3.18 pada bulan Ogos 2014 kepada kadar RM4.24 pada pada 24 Ogos 2015. Pasaran saham juga telah jatuh daripada paras indeks 1,892 pada 8 Julai 2015 kepada 1,532 dan Credit Default Swap (CDS) spread telah mencecah 195 mata asas pada tarikh yang sama menunjukkan sentimen pasaran terhadap risiko pasaran sekuriti hutang telah meningkat.

3. Kini, pasaran kewangan adalah lebih stabil dengan Ringgit mengukuh 6.5% sejak 1 Januari 2016 berbanding Dollar Amerika daripada RM4.32 kepada RM4.04 pada 21 Mac 2016. Begitu juga dengan pasaran saham telah mengukuh ke paras index 1,718 dan CDS spread juga telah menyederhana kepada 163 mata asas pada tarikh yang sama. Kedudukan rizab antarabangsa BNM juga adalah pada tahap stabil sejak bulan Ogos 2015. Setakat 15 Mac 2016, rizab antarabangsa adalah berjumlah US$96.1 bilion (RM412.3 bilion), cukup untuk menampung 8.4 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Jawatankuasa Khas Ekonomi

4. Sejak JKE ditubuhkan, ia telah pun menyumbang kepada pembentukan langkah-langkah pro-aktif yang telah diumumkan pada September 2015 dan penyesuaian Bajet pada Januari 2016. Setelah bermesyuarat sebanyak 19 kali, tidak termasuk perbincangan bersama pihak-pihak yang berkepentingan, JKE pada hari ini telah membentangkan laporan yang mengandungi cadangan-cadangan dan langkah-langkah tambahan bagi menentukan ekonomi negara terus berdaya tahan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan berada di landasan pertumbuhan yang disasarkan.

5. Laporan JKE berkenaan merangkumi empat bidang utama, iaitu
a. Menstabil pasaran kewangan;
b. Mengukuh integriti institusi dan sentimen;
c. Menangani pasaran hartanah; dan
d. Menangani isu pekerja asing.

6. JKE juga telah mengemukakan cadangan bagi menangani aspek untuk meningkatkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), menangani isu pengangguran siswazah serta pemberhentian kerja, merancakkan pelaburan swasta, dan menentukan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan meneliti cadangan-cadangan berkenaan dengan lebih lanjut lagi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesesuaiannya dilaksanakan.

7. Di sini, saya ingin memaklumkan bahawa JKE akan terus memantau keadaan ekonomi dunia dan serantau serta memberi pandangan kepada saya, berasaskan keperluan dari semasa ke semasa.

8. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi JKE, YB Senator Dato’ Sri Abdul Wahid bin Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan juga ahli-ahli JKE di atas sumbangan mereka meneliti isu ekonomi semasa dan membantu merangka cadangan-cadangan berkenaan.

eb86e086-f2ab-439e-aff1-e830ce5eca60

Shares Share Kategori : Press Statement