20 November, 2012

Penubuhan Jawatankuasa Khas Bagi Mengkaji Pengagihan Wang Ehsan Kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang


i. Sebagaimana yang diumumkan pada 4 Ogos lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

ii. Jawatankuasa Khas ini akan dipengerusi oleh bekas Ketua Hakim Negara, YBhg Tun Abdul Hamid Mohamad. Ianya akan dianggotai oleh pakar undang-undang antarabangsa dan tempatan dan wakil-wakil dari Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang yang diperkenan Kebawah DYMM Sultan negeri-negeri berkenaan.

iii. Penubuhan Jawatankuasa Khas ini bertujuan mengkaji secara menyeluruh isu bayaran tunai dengan mengambil kira semua aspek yang dibangkitkan oleh negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa ini dijangka akan menamatkan tugasnya dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

iv. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah menerima calon-calon dari Negeri Kelantan dan Pahang untuk menganggotai Jawatankuasa tersebut. Calon dari Negeri Terengganu masih dalam pertimbangan kerajaan negeri.

v. Mengikut laporan media, Kerajaan Negeri Kelantan telah membuat tuntutan sebanyak RM 10.4 billion dari hasil petroleum dan gas yang dikeluarkan. Sehubungan ini, memandangkan Kerajaan Negeri Kelantan telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas ini dan telah pun menamakan calon untuk mewakilinya, maka adalah wajar segala isu dan tuntutan dikemukakan kepada Jawatankuasa khas tersebut.

20 November 2012
Pejabat Perdana Menteri

Shares Share Kategori : Press Statement