3 , 2009

Perlantikan Ahli Lembaga Pengarah Dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas


Kerajaan hari ini mengumumkan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan untuk menerajui Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS), institusi pelaburan ekuiti swasta baru ditubuhkan bagi menggalakkan penyertaan Bumiputera yang lebih efektif, secara mapan dan mesra pasaran dalam bidang ekonomi.
 
YM Raja Tan Sri Dato’ Seri Arshad Raja Tun Uda, bekas Pengerusi Eksekutif PriceWaterhouseCoopers, telah dilantik sebagai Pengerusi Ekuinas. Abdul Rahman Ahmad, yang akan melepaskan jawatan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima, telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Ekuinas, berkuatkuasa 1 September 2009.
 
Dato’ Azman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Symphony House Berhad dan bekas Pengarah Urusan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Malaysia, dan Dato’ Noriyah Ahmad, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi juga telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
 
Perdana Menteri YAB. Dato‘ Sri Mohd Najib Tun Razak telah mengumumkan penubuhan Ekuinas pada 30 Jun 2009 sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan daya saing ekonomi Negara, dan pada masa yang sama mengekalkan komitmen Kerajaan kepada usaha menggalakkan penyertaan Bumiputera secara mapan, efektif dan bermakna melalui prinsip perkongsian tulen dan meritokrasi dalam bidang ekonomi.
Ekuinas akan diperuntukkan dana permulaan sebanyak RM 500 juta, yang bakal ditingkatkan kepada RM 10 bilion kelak. Ekuinas akan diuruskan secara komersil, di mana pelaburan akan ditumpukan kepada syarikat-syarikat tempatan yang berdaya maju dan berpotensi tinggi. Ekuinas juga akan memberi tumpuan kepada usaha menarik dan membangunkan modal insan berkeupayaan tinggi bagi pengurusan syarikat-syarikat tersebut. Ekuinas juga akan berkerjasama dengan firma ekuiti swasta dan menggunapakai tatacara best practice sepertimana yang diamalkan oleh firma ekuiti swasta bertaraf global.
Sepertimana Permodalan Nasional Berhad (PNB), Ekuinas akan ditubuhkan di bawah sebuah Badan Amanah, Yayasan Ekuiti Nasional. Badan Amanah ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan pemegang amanah yang lain termasuk Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kanan dan pegawai Kerajaan.
Menurut Perdana Menteri, “Ekuinas akan diterajui oleh para profesional yang berkeupayaan dan berpengalaman tinggi, dengan reputasi integriti yang baik. Dengan ini, saya yakin Ekuinas akan dibangunkan dan mencapai objektif yang ditetapkan dengan jayanya”.
Buat masa ini, Lembaga Pengarah Ekuinas sedang memuktamadkan struktur pelaburan dan operasi, dengan hasrat untuk mengumumkan rangka awal Ekuinas pada akhir Ogos 2009.
Shares Share Kategori : Press Statement