15 Jun, 2010

Istiadat Mengadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang dan Pingat-pingat Malaysia Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan SPB YDP Agong


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Mengadap Seri Paduka Baginda yang Dipertuan Agong,
Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah,

Mengadap Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,
Tuanku Nur Zahirah,

Ampun Tuanku.

1. Pertama-tamanya, patik bagi pihak kerajaan, para penjawat awam serta sekalian rakyat menyembah tahniah kepada Tuanku selaku Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sempena keputeraan rasmi ini. Patik sekalian seawalnya merafak kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala atas limpah taufik dan pekenan-Nya jua negara Malaysia dan seluruh warganya dapat sekali lagi merai’kan hari ulang tahun yang bermakna ini.

2. Begitulah sekalian rakyat juga sentiasa memanjatkan doa agar Tuanku berserta Raja Permaisuri Agong dilanjutkan usia, dipelihara dalam kea’fiatan, dilimpahkan hidayahNya, bersemayam atas takhta kerajaan dengan segala kebesarannya.

3. Seperti yang semua maklum, selama sejak lebih lima puluh tahun, sistem Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, falsafah persekutuan, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang merupakan elemen-elemen dasar yang menunjang berdirinya negara kita ini. Menela’ah pula titah ucapan Tuanku sempena hari keputeraan, yang dipancar kaca televisyen pada hari semalam, pada hemah patik, telah disimpul dan disulam beberapa makna yang tersurat lagi tersirat berkait tonggak-tonggak utama tersebut sebagai paksi kemajuan dan pembangunan Malaysia.

4. Segalanya perlu dipelihara dan difahami serta diterjemahkan oleh setiap seorang daripada warga Malaysia melalui kehidupan dan amalan harian. Lantaran itulah, di atas semuanya, seluruh rakyat negara ini, membulat ikrar dan taat setia yang tidak berbelah bahagi agar Tuanku terus berperanan sebagai lambang keutuhan negara, menaungi sekalian yang ada.

Ampun Tuanku

5. Sukacita disembah maklum bahawa sepanjang setahun yang lepas, kerajaan Tuanku di bawah kepimpinan patik selaku mamanda Perdana Menteri telah pun memacak pancang-pancang yang kukuh demi memastikan wawasan nasional untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 akan tercapai.

6. Menyedari juga peri penting bahawa tanpa perpaduan nasional yang mantap, wawasan nasional seperti diimpikan bersama tidak mungkin akan tercapai. Maka perkara pertama telah diberi perhatian oleh kerajaan Tuanku adalah soal pengukuhan perpaduan nasional. Sesungguhnya ikatan perasaan kebersamaan diantara rakyat berbilang kaum dan agama inilah asas teras sebagai penentu kepada kestabilan serta kemakmuran negara.

7. Sehubungan itulah, melalui falsafah induk 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang merentas dasar dan pelaksanaan sebagai panduan utama kerajaan Tuanku pelbagai inisiatif dan dasar telah, sedang dan akan dirangka demi kemaslahatan rakyat di bawah lembayung mahkota Tuanku.

8. Barang hendaklah diketahui sememangnya Kerajaan Tuanku sungguh peka terhadap hambatan perubahan dan pembaharuan. Maka itulah diakui dan diinsafi bahawa dalam pada usaha membina kemajuan di atas kejayaan yang lalu, namun, cara dan kaedah lama yang sekalipun dahulunya telah berjaya merubah wajah dan struktur ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi perlu dikaji semula secara komprehensif. Hakikatnya, ada diantara pendekatan-pendekatan yang ketinggalan zaman dan tidak lagi relevan lantaran perubahan persekitaran negara dan dunia.

9. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa selama ini, punca kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing adalah kerana, kita sentiasa berusaha berada di hadapan keluk kontemporari dan kekinian. Jadinya, Kerajaan Tuanku tanpa kunjung jemu bertekad untuk meneruskan strategi yang telah terbukti berkesan tersebut. Pendek kata, kita tidak akan berpaling dari jalan perubahan dan pembaharuan walau apa pun cabaran yang melentang kerana kerajaan Tuanku penuh yakin dan percaya bahawa inilah jalan yang akan membawa rakyat dan negara ke arah masa depan yang cemerlang.

10. Bertolak dari satu titik di garisan ini, dalam memeta perjalanan seterusnya bagi mentransformasikan Malaysia kepada sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kerajaan Tuanku berpendirian supaya tidak mengambil sikap dogmatik serta menolak pegangan bahawa hanya kerajaan tahu segala-galanya.

Ampun Tuanku,

11. Di noktah ini jua, segala syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana usaha-usaha mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat jelata telah mula menampakkan hasilnya. Angka pertumbuhan KDNK untuk suku pertama 2010 misalnya telah menunjukkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan yakni 10.1 peratus. Tambahan lagi, daya saing negara di peringkat global turut mempamerkan peningkatan yang bersifat lonjakan berganda. Bahkan dalam “ranking” “World Competitiveness Report 2010” Malaysia telah meningkat naik prestasi daya saingnya dari tangga 18 pada tahun 2009 ke tangga 10 pada tahun ini. Malah patik dan anggota pentadbiran kini beriltizam mahu menyaksikan pula Malaysia naik kepada lima kedudukan teratas dalam senarai daya saing dunia pada masa mendatang.

12. Apa yang penting, kita tidak boleh berpeluk tubuh, bersimpuh dan membiarkan peluang berlalu begitu sahaja. Kita harus bertungkus-lumus untuk mencapai sasaran. Maka yang demikian, bagi meneruskan momentum ini, kerajaan Tuanku telah pun memperkenalkan dua prakarsa besar sebagai tujahan bagi memastikan wawasan nasional akan dapat direalisasikan mengikut takwimnya. Prakarsa besar ini bolehlah dibahagikan kepada dua yakni pertamanya: berhubung peranan dan fungsi kerajaan melalui program transformasi kerajaan atau GTP dan kedua: prakarsa bersabit ekonomi negara melalui program transformasi ekonomi atau ETP.

13. Kerajaan Tuanku setelah merundingi rakyat dan mendengar keluh kesah serta pandangan mereka, telahpun mengenalpasti enam bidang keberhasilan utama bagi dijadikan kayu ukur prestasi kerajaan. Enam NKRA yang telah dikenal pasti ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambahbaik perkhidmatan awam. Alhamdullilah, pucuk dicita ulam mendatang, kesemua enam bidang NKRA yang telah dikenal pasti telah mencapai Indeks Petunjuk Prestasi atau KPI yang telah ditetapkan.

14. Sebagai misalan, di bawah NKRA mengurangkan jenayah KPI yang ditetapkan adalah bagi menurunkan jenayah indeks sebanyak 5 peratus (5%) serta jenayah jalanan sebanyak 20 peratus (20%) menjelang penghujung tahun ini. Untuk merealisasikan matlamat ini langkah-langkah yang telah diambil dan diperkenalkan adalah bersifat berani dan di luar kelaziman pemikiran biasa.

15. Contohnya lagi, untuk memastikan NKRA ini tercapai anggota-anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) telah ditugaskan bersama-sama anggota Polis untuk melaksanakan tugas rondaan. Usaha terbaru yang patik sendiri telah turun untuk meninjau keberkesanannya adalah langkah menugaskan semula lebih 7 ribu pegawai dan anggota polis yang melaksanakan tugas di pejabat untuk ‘kembali’ kepada tugas hakiki mereka yakni dekat dengan orang ramai. Tugas-tugas mereka di pejabat pula diganti oleh lebih 4 ribu penjawat awam.

16. Ternyata, hasil daripada langkah-langkah yang diambil amat memberangsangkan. Pada suku pertama tahun ini jenayah indeks telah turun sebanyak 15.1% manakala jenayah jalanan sebanyak 39.6% berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Mudah-mudahan usaha untuk mewujudkan satu persekitaran hidup selamat, aman lagi tenteram kepada rakyat akan mencapai objektifnya.

17. Manakala, prakarsa besar kedua negara bagi merancakkan momentum ke arah tercapainya status sebuah negara maju ialah program transformasi ekonomi atau ETP. Di bawah prakarsa ETP kerajaan telah menggubal model baru ekonomi sebagai hala tuju yang akan menunjangi dua Rancangan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia yang Ke-10 dan Ke-11. Kedua-dua Rancangan Malaysia ini adalah jambatan terakhir yang perlu dilalui sebelum Malaysia tiba ke ambang 2020.

18. Atas tujuan ini, kerajaan Tuanku akan meneruskan langkah-langkah perlu untuk memastikan pertumbuhan yang memberangsangkan berterusan secara mapan. Bagi merealisasikan hasrat ini kerajaan Tuanku telah pun memulakan inisiatif untuk memastikan asas kewangan kerajaan berada dalam keadaan yang lebih baik. Hasil kerajaan perlu ditambah manakala perbelanjaan dibuat secara yang berhemah serta mampu mendatangkan impak yang paling maksimum kepada rakyat Tuanku. Dalam hal ini, dua prinsip utama yang dipegang utuh oleh kerajaan Tuanku untuk merealisasikan matlamat tersebut ialah, kita tidak akan membebankan generasi akan datang serta akan terus merundingi dan menyelami denyut nadi rakyat apabila mengambil sesuatu keputusan sesuai dengan falsafah rakyat didahulukan.

19. Kendatipun begitu, kerajaan Tuanku tidak akan sekali-kali lari dari tanggungjawab kepemimpinan. Kita tidak akan mengelak dari membuat keputusan sukar sekiranya dikala perhitungan genting sesuatu itu dirasakan wajar bagi meletakkan Malaysia di trajektori yang betul. Moga-moga tercatit kemas dalam lipatan sejarah kelak bahawa barisan kepemimpinan hari ini adalah generasi yang bertanggungjawab, jauh sekali hendak mensia-siakan amanah yang terjunjung di jemala, apa lagi meninggalkan negara yang longlai kepada pewaris kepemimpinan yang akan datang. Pucuk pangkalnya, kita mahu mewariskan kepada generasi hari muka, sebuah Malaysia yang bermartabat dan bermaruah lagi disegani sahabat maupun pesaing. Insya-Allah.

Ampun Tuanku,

20. Akhir kalam, sekianlah sahaja persembahan ucapan patik. Patik dan sekalian rakyat merafak kedua tangan mengangkat doa ke hadrat Allah Azza wa Jalla agar Tuanku berdua sentiasa dipelihara Allah SWT. Patik sekalian beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah halangan dan sengketa, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru serta penawar bagi memartabatkan sebuah negara aman makmur lagi dirahmati Tuhan seperti yang diidam-idamkan bersama.

Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh.

Shares Share Kategori : Speeches