26 Mei, 2008

Majlis Makan Malam Sempena Sambutan 40 Tahun Bernama


Bismillahirrahmanirrahim

YBHG DATO’ ISMAIL SABRI ABD YAAKOB,
MENTERI BELIA DAN SUKAN;

YB DATUK TAN LIAN HOE,
TIMBALAN MENTERI PENERANGAN;

TIMBALAN-TIMBALAN MENTERI,

TUAN YANG TERUTAMA DUTA-DUTA DAN PESURUHJAYA TINGGI,

YB AHLI-AHLI PARLIMEN,

YBHG DATUK SERI PANGLIMA MOHD ANNUAR BIN ZAINI, PENGERUSI BERNAMA

YBHG TAN SRI-TAN SRI, DATUK-DATUK,

PARA HADIRIN YANG DIRAIKAN DAN DIKASIHI WARGA BERNAMA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam sejahtera.

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan penentuan-Nya jua, dapat kita bersama pada Majlis Makan Malam yang penuh bermakna ini, bagi meraikan 40 tahun usia Agensi Berita Nasional Malaysia atau BERNAMA. Izinkan saya merakamkan penghargaan kepada BERNAMA kerana sudi menjemput saya pada malam ini, dan kepada seluruh warga BERNAMA, saya juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas sambutan ulang tahun yang amat bererti ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

2. Dari segi sejarahnya, BERNAMA ditubuhkan pada tahun 1968, bertujuan memenuhi keperluan sebuah negara muda yang baru melangkau usia 11 tahun Merdeka ketika itu, sementara Sabah dan Sarawak pada waktu itu, baru lima tahun menyertai persekutuan Malaysia. Salah satu misi utama yang dipertanggungjawabkan kepada BERNAMA adalah untuk memupuk integrasi nasional dalam negara yang secara geografinya terbahagi kepada dua wilayah yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan.

3. Kita semua sedia maklum bahawa BERNAMA mempunyai misi, wawasan, peranan dan tanggungjawab khusus sebagai sebuah agensi media kerajaan. BERNAMA kini bukan sekadar mencatat usia 40 tahun, tetapi usia itu turut didukung dengan satu imej kematangan, yang terkandung di dalam sanubarinya satu khazanah pengalaman, meletakkannya sebagai sebuah agensi berita nasional yang matang dengan memiliki kredibiliti serta integriti. Sebagai sebuah agensi Kerajaan, BERNAMA wajar senantiasa mendukung dasar-dasar negara. BERNAMA mempunyai tanggungjawab yang perlu dipenuhi terhadap kerajaan dan juga rakyat. BERNAMA tidak mempunyai ruang untuk bersifat sensasi atau cuba berlumba mencari populariti dalam pengurusan beritanya.

4. Namun kebijaksanaan barisan pemimpin dan barisan wartawan di BERNAMA sejak ia mula ditubuhkan hingga sekarang, telah membina kekuatan BERNAMA atas tiang fakta dan atas lantai kebenaran, melalui persembahan berita secara berhemah dan teliti, serta melalui penulisan berita secara bertanggungjawab dan berintegriti. Inilah yang telah memberikan kekuatan meletakkan BERNAMA sebagai sebuah agensi berita rasmi yang unik, dihormati dan diiktiraf.

5. Gagasan kekuatan yang telah berjaya disemadikan sebagai etika dan dipupuk sebagai budaya kerja dalam BERNAMA, hendaklah terus diperkukuhkan. BERNAMA tidak harus rasa tersisir atau tertinggal dalam arus pemberitaan hanya kerana ia kelihatan lebih berhati-hati dan lebih teliti. BERNAMA tidak harus bimbang jika dianggap kurang “trendy”, jika terus menjadi suara dan lidah yang memberikan keutamaan kepada berita kerajaan. BERNAMA harus kekal sebagai institusi berita negara yang mementingkan aspek kebenaran fakta dan menekankan aspek kesahihan berita, dengan senantiasa mengutamakan tanggungjawab untuk memperkukuhkan perpaduan warga dan menjamin kestabilan negara.

6. Kejayaan mengurus berita secara faktual, secara tepat wajiblah dipertahankan, ditingkatkan dan diperkukuhkan. Dalam konteks ini saya ingin mengucapkan syabas kepada BERNAMA di atas kejayaan melancarkan saluran berita televisyen 24 jam iaitu BERNAMA TV dengan motonya berbunyi “BARU – BENAR” atau versi inggerisnya “RIGHT NOW” dan juga saluran radio bercorak berita sepanjang masa (all-news radio) iaitu Radio 24 dengan slogan “SEBENAR – SEMASA” (REAL LIFE – REAL TIME). Inilah contoh inovasi dalam dunia pemberitaan tanah air, untuk menyampaikan segala berita dan perkembangan mutakhir dari seluruh pelusuk tanah air, malah dari seluruh dunia, bagi tatapan rakyat sepanjang masa.

7. Dengan perkembangan positif ini, BERNAMA wajar membentuk imej sebagai rangkaian berita dan maklumat yang memiliki jati diri sendiri. BERNAMA tidak perlu terikut-terikut, cuba bereksperimen atau mahu meniru-niru gaya mana-mana pihak lain hingga mengakibatkannya terbabas dari landasan falsafah penubuhannya. BERNAMA hendaklah terus kukuh dan kekal teguh sebagai sumber berita rasmi, terutamanya ketika negara menghadapi ujian dan mengharungi dugaan.

8. Namun begitu, perlu diingat bahawa kredibiliti BERNAMA juga perlu dijaga, yakni dengan memastikan bahawa berita yang dipaparkan melalui media BERNAMA tidak diragui pengguna secara amnya, dan tidak dituduh mencerminkan sebarang agenda, selain dari menjadi saluran berita rasmi dan sahih.BERNAMA sebaik-baiknya hendaklah berikhtiar menjadi penanda aras kepada piawaian etika, profesionalisme, akauntabiliti dan moraliti media dan kewartawanan di negara ini.

9. Dalam menghadapi saingan, para petugas BERNAMA hendaklah terus merintis usaha menjadi warga-berita yang proaktif, memperlihatkan perasaan tanggungjawab sosial, tanggungjawab moral dan tanggungjawab politik yang tinggi. BERNAMA akan mencipta nama lebih terhormat jika warga BERNAMA berjaya memegang tanggungjawab itu sebagai satu amanah; amanah yang perlu dipenuhi dengan segala keikhlasan, dan kesungguhan, demi membantu membina tamadun negara bangsa yang merdeka. Tanggungjawab perlu dilaksanakan secara berani dan tegas dalam hasrat dan usaha membantu membina keagungan negara bangsa yang kekal berdaulat.

Tuan-tuan dan puan-puan,

10. Negara perlu terus mara ke hadapan, dan dalam hal ini rakyat harus bersedia menempuhi segala cabaran untuk membolehkan kita terus berada di hadapan. Maka rakyat harus dibawa bersama memahami dan menghayati wawasan negara. Peranan media untuk membantu rakyat mentafsir dengan tepat, hingga dapat memahami dan turut menghayati wawasan negara amatlah penting dan amatlah dihargai.

11. Justeru itu, hubungan antara kerajaan dan media perlulah dilihat sebagai satu perkongsian atau “partnership” dalam satu persepakatan dan permuafakatan. Dari hubungan inilah perlu dilahirkan doktrin media yang lebih relevan dengan suasana dan keperluan semasa. Pada hemat saya doktrin media nasional yang dirangka perlu mengambilkira faktor-faktor seperti:-

1. Era teknologi maklumat yang didukung oleh teknologi komunikasi canggih, cekap, moden dan pantas yang berupaya menembusi sempadan negara, sempadan politik, sempadan budaya dan sempadan usia.
2. Rakyat yang memiliki tahap literasi yang semakin tinggi serta pendedahan yang lebih luas, lalu menuntut berlangsungnya budaya pemberitaan yang lebih profesional dan menyeluruh.
3. Keperluan membina jati diri rakyat agar memiliki daya tahan, kekuatan moral dan kekuatan rohani dalam menghadapi pengaruh globalisasi melalui usaha mengukuhkan prinsip-prinsip asas ketuhanan dan keagamaan.
4. Tanggungjawab membantu merealisasikan wawasan membina sebuah negara merdeka yang maju lagi gemilang, stabil dari segi politik serta makmur dari segi ekonomi.
5. Pentingnya disemai nilai-nilai patriotisme terhadap Raja dan Negara di kalangan rakyat yang kukuh bersatu – kekal berpadu, hidup rukun damai dalam kepelbagaian agama, kaum, budaya dan bahasa.
6. VI. Membina kesetiaan rakyat yang cekal mempertahankan maruah dan kedaulatan negara bangsa di peringkat antarabangsa.

12. Faktor-faktor yang dinyatakan ini, pada pandangan saya, wajar dijadikan paksi rujukan dalam usaha menggaris doktrin media yang lebih relevan di era teknologi maklumat dan teknologi komunikasi, untuk memastikan akan adanya perimbangan, dan demi menjamin bahawa rakyat tidak akan hanyut dalam arus globalisasi yang begitu kencang melanda dan mempengaruhi hampir setiap aspek kehidupan.

13. Dalam hasrat mengejar kemajuan, kita semua perlu berwaspada, supaya tidak sampai ke peringkat mencantas khazanah adat dan budaya yang selama hari ini merupakan akar tunjang kekuatan negara bangsa. Kita perlu terus berpaut kepada prinsip-prinsip yang telah sekian lama membantu mengukuhkan kedudukan negara kita, dan Insya-Allah, berbekalkan prinsip-prinsip itu, Malaysia akan terus maju ke hadapan dalam keadaan stabil, makmur dan harmoni.

Hadirin yang dihormati

14. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada BERNAMA atas kejayaan yang telah dicipta selama ini. Sesungguhnya negara amat menghargai peranan yang telah dipenuhi oleh para petugas di BERNAMA. Saya ingin merakamkan penghargaan khas kepada barisan perintis BERNAMA; mereka yang telah mengambil tanggungjawab berat, mengatasi segala rintangan di hari-hari awal penubuhan BERNAMA, hingga dapat merealisasikan impian dan hasrat Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan ayahanda saya sendiri Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein. Barisan perintis inilah yang telah berjaya melahir dan mendewasakan BERNAMA menjadi satu institusi media yang dihormati.

15. Semoga khidmat bakti mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagai amal soleh yang diberikan ganjaran dunia dan akhirat. Kepada barisan petugas BERNAMA hari ini, binalah kejayaan lebih gemilang atas tapak kejayaan terdahulu; laksanakanlah yang terbaik supaya anda pula dapat meninggalkan satu legasi, satu khazanah berharga kepada generasi akan datang.

16. Sekali lagi saya ucapkan selamat menyambut ulang tahun ke 40 bagi BERNAMA. Sama-samalah kita berdoa kepada ILAHI semoga BERNAMA terus mencipta kejayaan lebih hebat. Sama-samalah kita berdoa semoga negara kita terus sentiasa dilindungi, diberkati dan dilimpahi rahmat. Sekian.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches