8 , 2012

Majlis Malam Kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1. Alhamdulillah, marilah memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir dalam majlis Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu pada malam yang ceria ini.

2. Seperti mana kita maklum sejak 2007, saban tahun pentas Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini, telah menggamit penyertaan yang sangat memberangsangkan. Saya berasa sukacita, apabila diberitahu jika pada edisi pertama bermula dengan hanya 24 orang peserta, setelah lima tahun, kali ini jumlahnya melonjak kepada 69 orang peserta dari 64 negara.

3. Maka saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada penganjur yakni pihak Kementerian Pengajian Tinggi, atas usaha mulia ini demi membuana dan memperketengahkan bahasa Melayu di peta dunia. Mengambil sudut pandang ini, kata-kata hikmat Pendeta Zaaba sewajarnya kita susuri setiap masa. Beliau menfatwakan “patutlah bahasa Melayu dilayakkan dari selangkah ke selangkah bagi penggunaan yang lebih maju, lebih besar dan lebih tinggi pula.”

Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Sememangnya Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini bukanlah semata-
mata mencari siapa yang paling petah berbicara, malah bukan juga untuk menjana keuntungan jika memenanginya. Akan tetapi, ini merupakan salah satu wadah terbaik untuk kita memperkenalkan inti pati bahasa dan bangsa Melayu itu sendiri.

5. Oleh yang demikian, jika disebut bahasa Melayu, adalah tidak sah jika tidak mengenali penuturnya sendiri. Maka secara tidak langsung, mereka yang mengkaji bahasa kita ini, akan turut jua menyelidik apakah ciri-ciri orang Melayu itu dengan mempelajari budaya, menyelami tatacara kehidupan serta pentadbiran Kerajaan semasa.

6. Hakikatnya pun, upaya orang asing mempelajari bahasa Melayu telah bermula berabad-abad lalu, seawal kurun ke-15 apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut meliputi bahasa Melayu dan hasil awalnya ialah penyusunan daftar kata China-Melayu.

7. Usaha orang Barat, seperti yang dirintis oleh Antonio Pigafetta dengan penyusunan daftar kata Itali-Melayu pada abad ke-16 dan diikuti usaha menyusun buku pelajaran bahasa Melayu oleh orang Belanda pada abad ke-17, telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

8. Meneropong dari perspektif lebih besar, perihal taraf kedudukan dan peranannya sebagai bahasa dunia atau bahasa antarabangsa, memang telah terpahat dalam fakta sejarah perkembangan dan kebangkitan tamadun Melayu sejak zaman Sriwijaya pada abad ke-7 Masihi lagi dan kemudiannya memuncak dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka.

9. Namun demikian, dengan kesan penjajahan yang telah memadamkan sebahagian kegemilangan bahasa Melayu, usaha memartabatkan semula sebagai bahasa dunia memerlukan perancangan yang rapi dan berkesan serta menuntut sedikit tempoh secara beransur-ansur.

10. Dalam konteks Malaysia, langkah para pendahulu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, telah menjunjungnya sebagai bahasa perpaduan yang telah merakyat dari Padang Besar, Perlis sehingga ke Tanjung Piai, Johor. Dari Ulu Tembeling, Pahang, hinggalah ke Pulau Sebatik, Sabah.

Tuan-tuan dan puan-puan,

11. Meskipun pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang tersohor sebagaimana halnya dengan bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing sekalipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris.

12. Jelasnya, bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang paling pesat berkembang di dunia. Malah, James T. Collins, seorang sarjana dan penyelidik bahasa, menegaskan bahawa bahasa Melayu sebenarnya tidak perlu diantarabangsakan kerana bahasa Melayu memang sudah pun bertaraf antarabangsa.

13. Oleh itu, semangat mempersadakan bahasa Melayu yang kita bincangkan kini sebetulnya, merupakan kesinambungan kepada kisah kemahsyuran bahasa Melayu selama ini. Pendek kata, ikhtiar kita kini sebenarnya lebih merupakan salah satu kaedah meningkatkan “taraf antarabangsa” yang telah dicapai oleh bahasa Melayu dahulu.

14. Buktinya, UNESCO mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi pada abad ke-19 kepada kerajaan Inggeris suatu ketika dahulu sebagai salah satu warisan dunia. Begitulah, peristiwa yang terakam dalam lembaran sejarah itu menjadi saksi kepada ketertinggian bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi.
Tuan-tuan dan puan-puan,

15. Benarlah kata orang, bahasa itu memperlihatkan bangsa. Susunan kata-kata dalam suatu bahasa yang penuh puitis dengan lenggok liuknya, melalui madah puisi dan gurindam, berupaya meruntun jiwa serta hati nurani. Dari aspek lain, bahasa jugalah menjadi wahana perhubungan, membawa bersamanya ilmu pengetahuan yang mampu membina sesebuah tamadun. Maka yang demikian, bahasa Melayu yang dikenalpasti dengan keindahan serta kehalusan santun serta langgamnya, juga pasti berkemampuan sebagai bahasa ilmu, ikhtisad dan sains.

16. Sehubungan itu, kita berasa gembira apabila Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) yang dulunya dipanggil Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah menerbitkan beberapa karya agung antaranya, karya Jalaludin Rumi yang telah diterjemahkan oleh ahli akademik tempatan.

17. Karya ini, sejumlah 6 jilid mengandungi lebih daripada setengah juta patah perkataan. Saya turut dimaklumkan tentang kerja ilmiah ini tidak menggunakan apa-apa perkataan Bahasa Inggeris yang diMelayukan demi menunjukkan bahawa peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, mampu mengutarakan fikiran-fikiran yang rumit dan runcit. Semestinya ini adalah contoh usaha untuk memartabatkan bahasa tercinta kita sebagai bahasa perantara di kalangan umat Melayu mahupun bukan Melayu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

18. Ramai orang menyebut, kalau tak kenal, maka tak cinta. Begitu juga dengan bahasa Melayu. Apabila mula mempelajarinya, barulah dapat dirasa kemolekannya. Justeru, saya menaruh harapan tinggi terhadap potensi besar bahasa Melayu yang diangkat menjadi salah satu sukatan pengajaran kepada penutur asing. Saya juga menyanjung usaha beberapa pihak yang merencanakan serta memulakan usaha merancakkan pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu dengan mewujudkan pusat-pusat pengajian di seluruh dunia bagi tujuan mengajar bahasa Melayu. Kini subjek pengajian bahasa Melayu sudah diajar dan dikaji di puluhan universiti seluruh pelosok dunia, baik di Eropah, Asia, Afrika, Amerika Selatan, Amerika Utara dan juga Oceania.

Tuan-tuan dan puan-puan,
19. Sebagai tanda komitmen Kerajaan untuk melihat tersebar luasnya bahasa Melayu, sukacita diumumkan SAYEMBARA NOVEL 1Malaysia. Sayembara yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia atau ITBM ini terbuka kepada semua penulis dari seluruh pelosok dunia dari pelbagai lapisan usia dengan hanya bersyarat hasil karya perlu dihasilkan dalam bahasa Melayu. Saya mengharapkan sayembara ini akan menghasilkan lebih banyak karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu yang bercitrakan keharmonian kehidupan, pentadbiran ekonomi, sistem pemerintahan dan pendidikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pihak yang terlibat dalam perencanaan dan pelaksanaan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini. Bagi saya, pertandingan ini bukanlah hanya sanya berbentuk pertandingan semata-mata bahkan ia adalah asas yang kukuh untuk menjadikan bahasa Melayu bertaraf supranasional supaya berkembang subur bukan sahaja di bumi Malaysia, malah meliputi seluruh negara yang terlibat.

21. Kepada para peserta, saya mewakili Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan
rasa terima kasih kami kerana anda telah membantu kami memperkembangkan dan memperkasa bahasa Melayu ke seantero dunia. Sekalung penghargaan diucapkan kepada saudara dan saudari.

22. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Malam Kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012.

Shares Share Kategori : Speeches