1 , 2011

Majlis Memandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga di antara Sarawak Hidro Sdn Bhd dan Secso Bhd


1.            Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita berkumpul di majlis yang penuh bermakna pada petang ini. Terlebih dahulu, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak di atas segala kerjasama dan komitmen padu yang diberikan sehingga termeterainya Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement) Projek Hidroelektrik Bakun (Projek Bakun) di antara Sarawak Hidro Sdn Bhd(SHSB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan dan Sesco Bhd (Sesco), syarikat milik penuh Sarawak Energy Bhd (SEB) dan Kerajaan Negeri Sarawak.

2.            Sesungguhnya, majlis menandatangani perjanjian ini mencerminkan kejayaan usaha sama strategik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam membangunkan dan mentransformasikan Negeri Sarawak kepada negeri berasaskan perindustrian serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi nasional.

3.            Saya dengan ini, turut berbesar hati mengalu-alukan kedatangan Dif-Dif Kehormat dan wakil daripada Negeri Sarawak. Diucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua terutamanya seluruh rakyat Negeri Sarawak yang sedang menyambut perayaan tersebut pada hari ini.

4.            Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan khazanah alam yang dikurniakan Tuhan di bumi bertuah ini. Sungai misalnya, merupakan sumber alam semula jadi yang berpotensi tinggi menghasilkan pembekalan sumber tenaga elektrik yang terjamin, tiada pencemaran dan pada kos efektif. Justeru, Kerajaan semenjak tahun 1970-an telah menjalankan beberapa siri kajian kemungkinan dan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) terhadap Projek Bakun yang terletak di Sungai Balui di hulu Limbungan Sungai Rejang.

5.            Tenaga elektrik yang dijana dari Projek Bakun akan digunakan untuk pembangunan industri di bawah agenda Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) terutamanya bagi kegunaan industri berat yang telah dikenal pasti. Dengan kapasiti terpasang (installed capacity) sehingga 2,400MW, Projek Bakun merupakan penyumbang terbesar ke arah kejayaan pembangunan SCORE yang memerlukan bekalan tenaga elektrik yang terjamin dan berdaya maju (sustainability).

Hadirin yang dihormati,

6.            Dalam usaha merealisasikan pembangunan Projek Bakun, ingin saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat Sarawak terutamanya kaum peribumi yang sanggup berpindah dari kawasan tapak projek dan kawasan tadahan air ke penempatan semula yang telah disediakan di Kampung Sungai Asap, Bakun. Seramai 11,000 orang penduduk dari kaum pribumi Orang Ulu di hulu dan hilir Sungai Balui telah terlibat dan dipindahkan secara berperingkat dari 15 buah rumah panjang ke kawasan penempatan semula yang disediakan.

7.            Suku kaum ini juga telah memberikan pengorbanan yang besar serta sokongan yang tidak berbelah bagi kepada Kerajaan kerana sanggup berpindah ke kawasan baru serta mengizinkan Kerajaan memindahkan pusara nenek moyang mereka serta pusara pahlawan yang gugur dalam era Konfrantasi. Sesungguhnya jasa dan budi mereka ini akan sentiasa dikenang dan dihargai.

8.            Kerajaan bagaimanapun tidak mensia-siakan pengorbanan penduduk peribumi yang dipindahkan ini. Sebanyak RM534 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi menampung kos pemindahan, pampasan dan pembinaan penempatan semula kepada penduduk yang terlibat. Di samping itu, Kerajaan turut menyediakan kemudahan asas seperti klinik, sekolah dan dewan serba guna bagi meningkatkan lagi tahap kualiti hidup masyarakat Orang Ulu tersebut. Rumah-rumah yang didiami oleh mereka kini diberikan oleh Kerajaan secara percuma dan dibekalkan sumber air bersih.

9.            Pampasan turut diberikan dalam bentuk nilaian tunai serta tanah kepada setiap keluarga sebagai tapak untuk mereka bercucuk tanam mahupun menternak binatang bagi memastikan sumber asas pendapatan penduduk Orang Ulu tersebut terjamin. Jelas terbukti, Kerajaan memandang serius serta mengambil berat terhadap kebajikan penduduk yang terlibat di dalam menjayakan dan merealisasikan pembangunan projek mega Kerajaan ini.

10.         Komitmen tinggi oleh pemaju Projek Bakun, SHSB dapat dilihat melalui penyaluran pelbagai bantuan kepada penduduk setempat yang terlibat termasuk empat buah sekolah berasrama antaranya menyediakan bekalan air melalui saluran air bawah tanah dan kemudahan tandas berjumlah RM1.5 juta.  Seramai 5,340 penduduk yang mendiami 21 rumah panjang di hilir Sungai Balui dan 292 keluarga di hulu Sungai Balui menikmati kemudahan yang disediakan oleh SHSB ini semenjak ia dilaksanakan mulai tahun 2010. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Sarawak melalui Sesco dengan kerjasama Kementerian Luar Bandar dan Wilayah sedang merangka pelan untuk menyalurkan bekalan elektrik dari Similajau ke Kampung Sungai Asap supaya masyarakat setempat turut menikmati hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

11.         Mengimbas kembali, kerancakan pembinaan Projek Hidroelektrik Bakun telah terhenti pada tahun 1997 berikutan kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia. Kerajaan terpaksa menghentikannya bagi memberi ruang kepada pembangunan projek lain yang lebih mendesak. Kerja-kerja pengalihan aliran Sungai Balui (river diversion work) telah disambung semula pada Oktober 1999. Mulai tahun 2000, momentum Projek Hidroelektrik Bakun kembali pulih setelah Kerajaan melalui penubuhan SHSB untuk menggalas tanggung jawab menyambung pelaksanaan projek ini.

12.         Sehingga 30 April 2011, status pembangunan Projek Bakun telah mencapai 98% siap dan paras air di empangan Bakun kini telah mencapai 202 meter atas paras laut. Sehubungan itu, stesen hidroelektrik Bakun dijangka memulakan penjanaan dari turbin pertamanya mulai Ogos 2011 diikuti turbin seterusnya bagi setiap 3 bulan sehinggalah turbin yang ke 8 pada 2013.

13.         Keluasan permukaan kawasan tadahan air Projek Bakun adalah seluas 695 km persegi dan bakal menjadi sebuah tasik buatan manusia yang terbesar di Malaysia yang terletak di kawasan pergunungan tengah Sarawak. Dengan keunikan flora dan fauna yang terdapat di kawasan ini dilihat berpotensi menjadi kawasan industri pelancongan berasaskan ekologi. Kerajaan Negeri Sarawak boleh mengambil peluang ini dengan menjadikan kawasan tadahan Projek Bakun seperti mana Empangan Kenyir, Terengganu dan Empangan Batang Ai, Sarawak.

Hadirin yang dihormati,

14.         Dengan termeterainya Perjanjian Pembelian Tenaga ini, ia bakal menjadi tulang belakang kejayaan projek SCORE di Sarawak iaitu satu pelan transformasi raksasa Sarawak sebagai negeri maju dan pemangkin pembangunan luar bandar dengan mengeksploitasi sumber tenaga dari kawasan tengah Sarawak sebagai perangsang pertumbuhan industri di Sarawak khususnya.

15.         Suka saya menyatakan di sini, bahawa penetapan kadar tarif asas sebanyak 6.25 sen/kWh bagi Projek Bakun dengan kenaikan sebanyak 1.5% setiap tahun adalah kadar yang munasabah dan kompetitif untuk menarik minat para pelabur ke Malaysia khususnya di SCORE. Sesungguhnya, Kerajaan Persekutuan komited dalam membantu Kerajaan Negeri Sarawak mencapai objektif ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mapan di masa akan datang.

16.         Jelas sekali, begitu banyak manfaat yang akan diperoleh rakyat dan negara dengan pembinaan Projek Bakun. Saya percaya semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan Projek Bakun dan agenda SCORE terutamanya Kerajaan Negeri Sarawak dapat mengambil peluang ini untuk bersama-sama menarik pelaburan asing ke Malaysia sekali gus dapat menyokong objektif Model Ekonomi Baru yang menjurus kepada status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

17.         Akhir kata, saya doakan agar operasi Projek Bakun ini berjalan dengan lancar demi kebaikan rakyat dan negara. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Kementerian Kewangan, SHSB, SEB dan semua pihak yang terlibat kerana menunjukkan kerjasama yang padu dalam memuktamadkan pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga ini yang sangat penting dan bermakna kepada rakyat dan negara.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches