2 , 2011

Majlis Memandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pulau Pinang


1.            Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan limpah kurnianya serta rahmatnya kita dapat bersama di Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Pulau Pinang pada petang ini.

2.            Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada semua pegawai-pegawai dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Kewangan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Peguam Negara, Pengurusan Aset Air Berhad dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah bertungkus lumus dalam merealisasikan proses Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Pulau Pinang.

3.            Sesungguhnya majlis ini menandakan kemuncak kejayaan terhadap usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat.

4.            Penstrukturan Semula Industri Air ini adalah satu inisiatif daripada pihak Kerajaan Persekutuan, untuk membantu dan memodenkan Industri Bekalan Air di Negara ini. Maka pada petang yang bersejarah ini kita akan menyaksikan satu lagi pencapaian kejayaan usaha sama bersepadu di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi merealisasikan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negara ke arah satu industri yang holistik, efisien, dan yang paling utama Kerajaan dapat menyediakan bekalan air bersih dan berkualiti kepada rakyat pada harga yang berpatutan.

5.            Inisiatif yang telah dimulakan pada tahun 2005 iaitu apabila Kerajaan telah meminda Perlembagaan Persekutuan di mana perkara berkaitan bekalan dan perkhidmatan bekalan air dipindahkan dari Senarai Negeri ke Senarai Bersama. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan bekalan air dengan cekap, bermutu dan pada harga yang berpatutan kepada rakyat.

6.            Dalam aspek kawal selia Perkhidmatan air, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 telah digubal bagi menjamin industri ini lebih berdaya maju dan efisien. Selaras dengan Akta ini semua entiti bekalan air negeri-negeri akan dikawal selia dan dilesenkan oleh SPAN.

7.            Inisiatif Kerajaan Persekutuan ini telah menghasilkan satu model industri perkhidmatan air negara yang saya percaya akan menjadikan industri ini sebagai satu industri yang efektif, berdaya saing dan mapan.

Hadirin Yang dihormati,

8.            Dengan termeterainya perjanjian penstrukturan semula industri bekalan air Pulau Pinang pada hari ini, Negeri Pulau Pinang merupakan negeri yang ke 5 yang telah memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula selepas Negeri Melaka dan Negeri Sembilan yang menandatanganinya pada bulan Disember 2008, Negeri Johor pada Mac 2009 dan Negeri Perlis pada Ogos 2010 yang lalu.

9.            Bagi negeri-negeri yang telah terlebih dahulu menandatangani perjanjian penstrukturan semula, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah memperuntukkan bajet bagi menjalankan kerja-kerja pembangunan atau CAPEX lebih dari RM1bilion untuk sepanjang tahun 2010 sehingga April 2011. Penghijrahan Negeri Pulau Pinang ke rejim baru industri air negara ini sesungguhnya akan menjana pembangunan yang pesat dan dinamik bagi Negeri Pulau Pinang, khasnya di dalam industri air.

10.         Penstrukturan semula ini melibatkan pemindah milikan secara pajakan aset air Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM655.2 juta kepada PAAB. Sebagai balasan, PAAB akan mengambil alih liabiliti air Kerajaan Negeri Pulau Pinang daripada Kerajaan Persekutuan berkaitan bekalan air pada nilai yang sama. PAAB seterusnya akan menyewa pajak aset air ini kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada kadar sewa tahunan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

11.         Walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memindah milik aset-aset seperti yang disebutkan diatas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih lagi memiliki sebahagian aset – aset bagi membolehkan kelancaran operasi harian PBAPP.

12.         Bagi pembangunan aset air yang baru, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang mempunyai opsyen sama ada untuk membiayai pembangunan aset air tersebut melalui PAAB atau pembiayaan berasingan. Ini adalah satu fleksibiliti yang diperuntukan didalam perjanjian ini memandangkan prestasi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang memberangsangkan dan keupayaan kewangannya yang mapan.

13.         Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Pulau Pinang ini pada julung kalinya melibatkan sebuah syarikat operator air diberikan lesen perkhidmatan dan lesen kemudahan di bawah rejim pelesenan baru. Perkembangan positif dalam penstrukturan semula kali ini menunjukkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk mengambilkira semua aspek perkhidmatan bekalan air negeri seperti keperluan permintaan air, operasi, kewangan dan lain-lain bagi mewujudkan industri air yang berdaya maju, holistik dan efisien.

14.         Pengurusan perkhidmatan bekalan air secara holistik dan “partial asset-light” oleh PBAPP yang dimiliki oleh PBA Holdings Berhad serta kelulusan pembiayaan bagi Projek Pembesaran Empangan Mengkuang secara geran oleh Kerajaan Persekutuan akan memastikan kemampanan industri perkhidmatan bekalan air negeri Pulau Pinang serta dapat memastikan para pengguna mendapat bekalan air bersih yang berterusan dengan kadar tarif yang berpatutan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

15.         Majlis pada hari ini merupakan rentetan kepada contoh kerjasama dan muafakat yang berjaya di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pelaksanaan dasar penstrukturan semula industri perkhidmatan air negara. Ia jelas menunjukkan teladan kerjasama yang kukuh dan cemerlang di antara kedua pihak bagi kemajuan negara serta demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat.

16.         Sememangnya, kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan bagi Kerajaan. Saya berharap agar negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia akan segera turut serta dalam pelaksanaan Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air oleh Kerajaan Persekutuan ini agar dapat meraih faedah yang sama bagi negeri masing-masing.

17.         Di samping itu, dengan penyertaan semua negeri di Semenanjung Malaysia di bawah rejim pelesenan, semua agensi dan entiti yang terlibat boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada fungsi dan tanggungjawab masing-masing di bawah Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negara.

18.         Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha murni Kerajaan Persekutuan ini beserta kerjasama Kerajaan Negeri sepertimana yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini akan menjadi mangkin bagi usaha-usaha memuktamadkan rundingan penstrukturan perkhidmatan bekalan air di negeri-negeri lainnya yang diterajui oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dengan satu matlamat yang dikongsi bersama iaitu demi kesejahteraan rakyat.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches