31 , 2009

Majlis Pelancaran Amanah Saham 1Malaysia


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

YABhg Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid,
Pengerusi PNB;

YBhg Tan Sri Dato’ Hamad Kama Piah bin Che Othman,
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB;

Ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB;

Ahli-ahli Lembaga Pengarah ASNB;

Ahli-ahli Lembaga Pengarah Kumpulan PNB;

Dif-dif Kehormat;

Ahli Media Massa;

dan Hadirin sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan berkat limpah dan kurnia Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di hari yang penuh bermakna ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan majlis pelancaran dana Amanah Saham 1Malaysia hari ini.

Hadirin sekalian

2. Saya begitu gembira hari ini kerana sekali lagi dapat melancarkan suatu skim pelaburan khas untuk seluruh rakyat Malaysia. Amanah Saham 1Malaysia, suatu produk dana ekuiti berharga tetap RM1 seunit dan mempunyai saiz 10 billion, lahir dari visi 1Malaysia yang menjadi gagasan pentadbiran saya. Pelancaran hari ini memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia yang diharap dapat mencapai sasaran tebaran pelabur yang lebih luas dan saksama. Saya juga begitu tertarik kerana warga emas diberi perhatian istimewa sebagai anugerah kepada sumbangan mereka ke atas pembangunan ekonomi negara selama ini. Selaras dengan objektif pelaburan tabung Amanah Saham 1Malaysia untuk mendapatkan peluang pelaburan yang menjana pendapatan yang konsisten dan berterusan di samping mengekalkan modal pelaburan para pemegang unit di dalam tempoh jangka panjang, adalah diharapkan agar golongan pesara akan menerima pulangan yang berpatutan dari pelaburan mereka di dalam Amanah Saham 1Malaysia.

3. Selain itu, bagi merealisasikan aspirasi gagasan 1Malaysia yang ingin melihat semua rakyat Malaysia dapat menyertai Amanah Saham 1Malaysia ini, sepanjang tempoh tawaran awal selama 30 hari, 50% daripada unit-unit AS 1Malaysia yang ditawarkan akan diperuntukkan kepada golongan Bumiputera, 30% kepada golongan Cina, 15% kepada golongan India dan 5% kepada rakyat Malaysia yang lain. Penetapan peruntukan ini dibuat berdasarkan polar kependudukan rakyat Malaysia. Selepas tamat tempoh tersebut, unit-unit Amanah Saham 1Malaysia yang masih ada akan dibuka untuk langganan semua rakyat Malaysia. Saya berpendapat, bahawa cara ini adalah yang paling adil dan telus untuk PNB mendapatkan pelabur-pelabur yang benar-benar berminat, sementara rakyat Malaysia semua mempunyai peluang yang sama untuk melabur.br />
4. Sementara itu, kita juga tidak melupakan kepentingan generasi muda di dalam membina bangsa akan datang. Sebagai pewaris negara, kita mahu melihat golongan muda ini mendapat pendidikan sekurang-kurangnya peringkat ijazah agar mereka menjadi warganegara yang berwawasan dan progresif. Mereka harus bijak membuat keputusan terutama di dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan. Oleh yang demikian, sebagai insentif terhadap golongan ini, sukacita saya mengumumkan bahawa PNB dan ejen-ejen ASNB iaitu Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan Pos Malaysia Berhad telah bersetuju untuk menyumbang pemberian 100 unit Amanah Saham 1Malaysia secara percuma kepada hampir 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama yang mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada sesi pendaftaran pertengahan tahun 2009 baru-baru ini.

5. Saya berterima kasih kepada PNB kerana dengan pelancaran ini telah dapat merealisasikan janji saya kepada rakyat yang dibuat semasa ucapan sempena 100 hari saya sebagai Perdana Menteri tiga minggu yang lalu. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam apa jua yang dijanjikan. Saya yakin, dana Amanah Saham 1Malaysia ini akan mendapat sambutan menggalakkan dari pelabur rakyat Malaysia, sama seperti dana-dana di bawah pengurusan PNB yang lain seperti Amanah Saham Wawasan 2020 dan Amanah Saham Malaysia sebelum ini yang telah habis dilanggan dalam waktu yang singkat.

Hadirin sekalian,

6. Selain dari untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat melalui pemegangan dana amanah, Skim Amanah Saham 1Malaysia ini juga diharap akan menolong merangsang ekonomi negara melalui pelaburan yang akan disalurkan oleh dana ini kepada pasaran saham tempatan dan instrumen-instrumen pelaburan yang lain. Melalui rangsangan ekonomi ini, Kerajaan berharap kegiatan di dalam sektor-sektor penting ekonomi negara dapat ditingkatkan melalui penerokaan modal-modal baru yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

7. Saya amat berbangga kerana sehingga hari ini, melalui tabung dana unit amanahnya PNB telah berjaya melaksanakan program perkongsian perniagaannya bersama semua rakyat Malaysia melalui syarikat-syarikat pelaburan PNB. Kaedah perkongsian ini juga telah menyediakan peluang pekerjaan langsung kepada lebih 135,000 orang dan ramai lagi rakyat Malaysia yang mendapat manfaat pekerjaan secara tidak langsung melalui syarikat-syarikat ini.

8. Kita juga berbangga apabila syarikat-syarikat terkemuka yang bernaung di bawah PNB seperti Maybank, Sime Darby, UMW dan lain-lain telah dan akan terus memperkembangkan aktiviti-aktiviti mereka melangkaui sempadan negara seperti pelaburan mereka ketika ini di negara-negara seperti China, Indonesia, Australia bahkan juga ke negara-negara Eropah. Ini sejajar dengan aspirasi negara seperti yang telah saya katakan sebelum ini untuk menjadikan negara-negara luar ini sebagai ”hinterland” untuk arena pelaburan baru bagi syarikat-syarikat Malaysia.

9. Pelancaran dana Amanah Saham 1Malaysia juga merupakan suatu ”significant milestone” untuk PNB menjangkau ke hadapan untuk menguruskan dana-dana yang jauh lebih besar setaraf dengan syarikat-syarikat pelaburan antarabangsa. Saya sangat yakin PNB mampu untuk menyahut cabaran ini kerana PNB mempunyai jenama yang kukuh dan dipercayai oleh masyarakat pelabur. Ini terbukti walaupun PNB kini menguruskan dana lebih RM100 billion, integriti dan kecekapannya sebagai pengurus dana yang amanah dan telus terus kekal di hati para pelaburnya. Sebagai perbandingan, banyak syarikat-syarikat pengurusan dana asing yang begitu dikenali dan telah wujud beratus tahun hancur akibat integriti pengurusannya yang rapuh. Kita berharap jenama integriti yang begitu sinonim dengan PNB ini terus diperkukuhkan untuk menarik dana-dana dari luar negara untuk diuruskan secara besar-besaran oleh PNB.
Hadirin sekalian,

10. Amanah Saham 1Malaysia ini adalah satu model yang unik, yang menyediakan peluang kepada seluruh masyarakat majmuk dan tidak hanya menjurus kepada sesuatu kaum. Saya berharap, penyertaan dari seluruh rakyat Malaysia tidak hanya terhad kepada dana ini sahaja, tetapi juga penyertaan dan penerimaan PNB dalam aktiviti perniagaan tempatan dapat dipertingkatkan. Adalah penting bagi semua pihak untuk melihat dan menganggap PNB sebagai suatu institusi yang ”friendly” dengan daya saing yang tinggi supaya setiap visi yang kita impikan untuk Amanah Saham 1Malaysia ini dapat dilaksanakan.

11. Sokongan yang saya maksudkan ialah supaya kalangan perniagaan dapat memberi ruang kepada PNB untuk melabur atau menambah pegangan dalam syarikat-syarikat baru yang berpotensi dan mampu memberi pulangan yang tinggi. Saya percaya jika model ini dapat dilaksanakan dengan saksama, penyertaan dari semua rakyat akan dapat dijalankan secara adil dan saksama. Saya benar-benar berharap konsep perkongsian seperti ini dapat diterima pakai dengan baik oleh semua untuk kepentingan kita yang satu. Saya juga berharap inisiatif yang diambil oleh PNB ini juga dapat dicontohi oleh syarikat-syarikat lain, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Hadirin sekalian,

12. Di sini, saya ingin mengucapkan syabas kepada semua pelabur-pelabur awal PNB yang telah mengambil langkah bijak dengan mengambil peluang keemasan pada sekitar 80’an untuk melabur dalam dana Amanah Saham Nasional. Saya juga percaya, pelabur-pelabur awal ini telah pun menikmati hasil pengagihan pendapatan yang lumayan berkat titik peluh mereka ini Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menunjukkan sokongan yang padu terhadap PNB yang terbukti dengan kejayaan besar PNB pada hari ini.

13. Sungguhpun demikian, sepanjang 30 tahun penubuhan PNB, keadaan ekonomi dunia telah banyak berubah dan saling bergantung dalam satu proses yang kita kenali sebagai liberalisasi dan globalisasi. Kita tidak ada pilihan melainkan untuk terus maju ke hadapan dan berani menjelajah menjangkau sempadan yang baru. Dana-dana yang baru seperti Amanah Saham 1Malaysia ini diperlukan untuk terus membangunkan pelaburan yang baru untuk manfaat kita semua. Inilah yang dimaksudkan dengan perkongsian pintar yang menggabungkan pelabur lama dan baru.

14. Saya menaruh harapan yang tinggi kepada pelabur-pelabur baru untuk memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi seperti pelabur awal PNB untuk terus menyokong kesinambungan kejayaannya di masa hadapan. Saya percaya, melalui penggembelingan dana secara besar-besaran ini, kita akan mencapai penggunaan sumber lebih efektif untuk mencapai objektif yang lebih besar. Dengan erti kata lain, pengumpulan dana rakyat ini bukanlah simpanan wang yang hanya akan memanfaatkan pelabur individu, bahkan akan menolong kita membangunkan lagi industri pelaburan dengan perbelanjaan yang lebih teratur.

Hadirin sekalian,

15. Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah sekali lagi kepada PNB yang mempunyai strategi business yang begitu terancang dan penuh bersedia untuk melancarkan dana sebesar ini. Kemampuan pengurusan PNB yang sentiasa bersiap sedia telah memungkinkan pelancaran dana Amanah Saham 1Malaysia ini dibuat dalam masa yang singkat.

16. PNB sebenarnya telah berusaha untuk menyediakan peluang pelaburan kepada masyarakat majmuk di negara ini bermula pada tahun 1996 dengan dana Amanah Saham Wawasan 2020 yang diperkenalkan sebagai satu produk uniti untuk generasi muda negara kita. Seterusnya dana Amanah Saham Malaysia diperkenalkan pada tahun 2000 yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia, diikuti dengan dana harga berubah-ubah Amanah Saham Nasional 3 dan Amanah Saham Gemilang pada tahun 2001 dan 2003. PNB telah banyak belajar dari penerimaan masyarakat majmuk terhadap produk-produk ini dan ianya masih merupakan satu cabaran bagi PNB untuk sampai ke sasaran pasaran yang lebih menyeluruh.

17. Sebagai langkah untuk menembusi pasaran majmuk ini, saya difahamkan bahawa PNB telah mengadakan secara agresif pelbagai aktiviti pendidikan kewangan bermula dengan Minggu Saham Amanah Malaysia pada tahun 2000 yang telah dijalankan setiap tahun di seluruh negara. Satu lagi program yang saya kira amat penting untuk mencapai masyarakat majmuk ini ialah program Seminar Pelaburan 360 Hari yang dijalankan setiap hari di seluruh negara untuk memberi pendidikan pelaburan secara percuma kepada seluruh masyarakat.

18. Saya gembira dengan usaha-usaha ini kerana ia mencerminkan kesungguhan PNB untuk mencapai matlamat 1Malaysia ini. Saya juga gembira kerana PNB juga ada menyediakan program-program untuk generasi muda seperti Kuiz Pelaburan dan Kelab Pelaburan Bijak PNB yang penuh dengan aktiviti-aktiviti pendidikan pelaburan untuk dimanfaatkan oleh generasi 1Malaysia akan datang.

19. Dan kepada semua rakyat Malaysia, saya menyeru untuk semua mengambil peluang ini sebaik-baiknya untuk melabur dalam dana Amanah Saham 1Malaysia ini. Saya berharap AS1M ini akan dapat membimbing aspirasi 1Malaysia ini untuk melakar masa depan Malaysia melalui slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

20. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini secara rasminya melancarkan dana Amanah Saham 1Malaysia dan saya dengan sukacitanya juga mengumumkan bahawa sebanyak 10 bilion unit AS 1Malaysia akan mula dibuka untuk langganan bermula 5 Ogos, 2009 ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches