16 Mei, 2014

Majlis Pelancaran Laporan Tahunan Program Transfomasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP)


Bismillahhirahman Nirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

1. Pertama-tamanya marilah kita merafakkan setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kehendakNya jua, maka dapatlah kita berhimpun dalam satu majlis yang penuh bermakna ini.

2. Sesungguhnya, malam ini sampailah pula kepada siri ketiga pembentangan laporan Tahunan bagi Program Transformasi Kerajaan atau GTP dan Program Transformasi Ekonomi atau ETP.

3. Makanya, saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan bagi pihak diri saya, selaku Ketua Kerajaan, juga bagi pihak rakan-rakan dalam Jemaah Menteri untuk mempersembah lembaran-lembaran yang memaktubkan hasil serta mahsul GTP dan ETP yang telah dilaksanakan.

4. Jika disusuri dengan teliti, agenda besar transformasi negara, telah dimulai dengan GTP, ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP.

5. Sememangnya proses penggubalan dasar-dasar pembangunan sesebuah negara adalah kompleks. Jadinya, semua dirangka, disusun dan dipermudahkan dalam komponen-komponen yang saya sebutkan sebentar tadi supaya dapat digembleng oleh semua pihak dengan lebih terancang dan berstrategi.

6. Oleh itu, jika dirangkum, keseluruhan program ini bernaung di bawah satu lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Semuanya ini, tidak lain dan tidak bukan bagi memandu dan mempedati Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi pabila menyingsingnya suria 2020 kelak.

7. Kutipan kata-kata hikmat menyebut-nyebut bahawa, budaya kecemerlangan dan keberhasilan tinggi bukanlah sekadar satu aksi atau lakonan, malah ia perlu diterapkan sebagai amalan yang mendarah daging dalam kehidupan seharian. Sebab itulah jika ditinjau, sekiranya GTP 1.0 direka khusus untuk mentransformasikan sistem dengan memperkenalkan langkah-langkah baharu, demi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, GTP 2.0 pula mensasarkan untuk penerapan aktiviti urusan luar biasa ke dalam amalan urusan biasa.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

8. Tali-temali kisah kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, pada satu sisinya sejak merdeka menyaksikan batu-batu asas dibina oleh bapa-bapa pimpinan terawal, para patriot dan pejuang tanahair terdahulu.

9. Pada sisi yang sebelah lagi, sesungguhnya, sebuah Malaysia yang indah, aman, makmur dan sentosa ini tidak berlaku dan tidak terkecap secara semena-mena atau dengan sendirinya.

10. Kejayaan kita selama ini sesungguhnya telah dijulang dan dijunjung di atas pundak-pundak semua golongan rakyat yang merupakan roda dalam menggerakkan pembangunan negara. Oleh itu, marilah sama-sama kita semua memberi tepukan yang gemuruh kepada seluruh rakyat Malaysia!

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

11. Para cerdik pandai sering berpesan-pesan bahawa langkah yang seribu atau sejuta itu bermula dengan tatihan tapak yang satu. Atas sebab itulah, perancangan dan strategi negara selama berdekad-dekad dipimpin oleh Kerajaan yang ada, sentiasa menitik beratkan pelan jangka masa pendek, pelan jangka masa sederhana dan pelan jangka masa panjang dalam membangunkan Malaysia. Pada sudut ini, kita perlu beringat dan janganlah terlepas pandang akan hakikat tidak semua tindakan dan ikhtiar itu dapat membuahkan hasil yang segera dan serta-merta.

12. Ada sesetengah keberhasilan itu menuntut kepada tempoh masa yang lebih lama untuk dituai nikmat kejayaannya. Adakalanya rancangan jangka masa panjang itulah yang menjadi landasan atau sebagai tunjang-tunjang yang memanggu usaha-usaha lain untuk berpasak kepadanya bagi mencapai matlamat yang dirangkakan.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

13. Justeru, sebelum saya melaporkan dengan lebih lanjut akan pencapaian-pencapaian GTP dan ETP bagi tahun ketiga ini, moleklah pada kesempatan ini kita fahamkan betul-betul secara ringkasnya beberapa senario makro mutakhir ekonomi negara.

14. Pertamanya, seperti yang saya yakin kebanyakan telah tahu, Kerajaan meletakkan sasaran pendapatan per kapita rakyat Malaysia pada tahun 2020 kelak adalah sebanyak 15,000 dolar Amerika. Ini bermakna, penggajian warga kerja Malaysia menuju tahun 2020, perlu ditingkatkan dan diselaraskan dengan produktiviti negara. Dalam konteks ini, satu perbandingan mudah boleh dibuat antara Malaysia dengan negara-negara lain.

15. Sebagai contoh, peratus upah atau gaji daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK negara maju adalah dijangkauan 40 peratusan. Pada masa ini peratusan gaji daripada KDNK negara kita adalah pada kadar 32.9 peratus.

16. Ini bermakna, terdapat ruang bagi pihak majikan negara ini untuk menstruktur perlaksanaan gaji di Malaysia supaya lebih setimpal dan pada kadar yang sesuai dengan tren penggajian dunia. Kadar gaji juga perlulah berkonsonan atau berkadar terus dengan produktiviti pekerja.

17. Sebagai gambaran, produktiviti pekerja kita meningkat 2.3 peratus pada 2013. Saya percaya produktiviti kita boleh dipertingkatkan lagi terutamanya apabila kita menambah nilai kerja kita dari sudut teknologi, inovasi dan kreativiti untuk terus memacu lonjakan ekonomi.

18. Menurut statistik terkini Global Innovation Index pula, Keupayaan Inovasi Malaysia telah melonjak 7 peratus dari tahun 2011 ke 2013 yang meletakkan kita pada kedudukan 32 daripada 142 negara. Namun begitu, saya berharap janganlah kita mudah berasa selesa dengan angka-angka yang telah disebutkan itu, tetapi seharusnya ia diambil sebagai cabaran untuk terus dipertingkatkan.

19. Oleh yang demikian, golongan pekerja di Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan kualiti dan mutu kerja yang lebih tinggi. Barulah kadar gaji dapat bertambah secara berperingkat dari masa ke semasa. Ini boleh dijayakan melalui peningkatan produktiviti dan inovasi.

20. Dalam perkara ini, selain sektor awam, saya turut difahamkan oleh pemain-pemain industri dalam sektor swasta bahawa sememangnya ada ruang untuk bagi kenaikan gaji yang setimpal untuk para pekerja seiring dengan peningkatan produktiviti.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

21. Keduanya, dalam pembentangan bajet Tahun 2013, saya telah memperkenalkan Langkah-Langkah Konsolidasi Fiskal. Ia bertujuan mengurangkan kadar defisit untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara dalam mencapai bajet berimbang tanpa menafikan kebajikan rakyat.

22. Sebagai contoh, kita telah menyusun semula pelbagai subsidi dan bantuan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia. Selama ini subsidi telah diberikan secara pukal, di mana semua orang mendapatnya tanpa mengira tahap pendapatan. Kini subsidi- subsidi utama diberikan secara bersasar, yakni kepada golongan yang selayak menerimanya.

23. Makanya, sebagai ilustrasi, seseorang yang memiliki sebuah kereta Kancil dengan kapasiti enjin di bawah 1,000 cc dan diandaikan membuat perjalanan sejauh 1,400 kilometer sebulan atau 16,800 kilometer setahun setahun, kereta Kancil ini akan menggunakan sekurang-kurangnya 1,440 liter petrol setahun. Maka beliau hanya menikmati subsidi petrol sebanyak 76 ringgit sebulan ataupun 912 ringgit setahun.

24. Jika kita bandingkan dengan sebuah kereta berkapasiti enjin 2,500 cc, dengan jauh perjalanan yang sama, kereta ini akan menggunakan sekurang-kurangnya 3,840 liter petrol setahun. Maka jumlah subsidi yang dinikmati adalah sebanyak 200 ringgit sebulan ataupun 2,400 ringgit setahun.

25. Percontohan yang saya berikan ini, membuktikan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan sekiranya subsidi diberikan secara pukal. Sebab yang ber- Kancil subsidinya 912 ringgit, manakala yang ber- Mercedez pula subsidinya 2,400 ringgit.

26. Justeru, Kerajaan kini sedang melaksanakan program rasionalisasi subsidi di mana subsidi diberi hanya kepada golongan bersasar dan ini akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan bukannya secara mendadak, supaya rakyat tidak akan terasa bebannya.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

27. Pada bajet 2014 pula, saya telah mengumumkan satu sistem cukai baru iaitu Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods & Services Tax, GST yang akan mula dilaksanakan pada bulan April 2015, bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan. Ia bertujuan untuk memperteguhkan ketahanan ekonomi negara bagi jangka masa panjang.

28. Secara ringkasnya, GST merupakan satu sistem pencukaian yang lebih sistematik. Ia adalah satu sistem pencukaian yang berasaskan jumlah pembelian barangan kita seharian. Lebih banyak yang kita beli, lebih tinggilah bayaran cukainya. Sungguhpun begitu apa yang mustahak rakyat tidak perlu risau kerana cukai GST tidak akan dikenakan ke atas kebanyakan barangan keperluan dan perkhidmatan asas harian.

29. Sebagai contoh, barangan seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak, ikan masin, tambang bas,keretapi, LRT, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan tidak dikenakan cukai GST.
30. Namun demikian, usahlah berbimbang-bimbang, saya sentiasa mendengar keluh kesah dan maklum balas serta rungutan tentang keputusan melaksanakan GST ini. Apa yang mustahak, kita sedang berusaha membuat penerangan kerana nampaknya GST telah dipusing dan dipesongkan fakta oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

31. Sebagai respon, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyebarluaskan fakta yang benar hingga ke akar umbi mengenai GST dengan memperbanyakkan penganjuran seminar, dengan memanggil pelbagai pihak, terutama daripada negara-negara yang telah berjaya dalam GST ini, supaya rakyat dapat kefahaman yang sebenar dan sahih.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

32. Jelasnya, beberapa senario yang diutarakan ini, antaranya telah terangkum seperti apa yang dibentangkan di Parlimen baru-baru ini sebagai Program Transformasi Fiskal atau FTP. Hakikatnya, FTP ini telah dilandasi dengan tiga prinsip utama iaitu bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan Negara, menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan bersifat holistik, mengurangkan defisit fiskal dan hutang Negara, untuk mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

33. Meskipun, selama empat tahun kebelakangan ini, kita berhadapan dengan cabaran ekonomi domestik dan ketidaktentuan ekonomi global, Kerajaan terus berkomited dengan berpancang dan berpasak kepada semua yang telah direncanakan, mengambil kira realiti semasa, Alhamdulillah kita masih teguh berada di landasan pembangunan Negara yang tepat.

34. Bahkan, saya gembira satu piawai yang tinggi telah diletakkan kepada inisiatif GTP 2.0 yang telah mencabar pasukan pelaksanaan NKRA berbanding keberhasilan GTP 1.0. Pendek kata, dengan meletakkan sasaran-sasaran yang di luar kelaziman maka barulah kita akan terus mencipta kejayaan dan mengekalkan momentum transformasi.

35. Makanya, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, dengan segala berbesar hati saya akan membentangkan laporan dua komponen Dasar Transformasi Nasional yakni GTP dan ETP.

36. Apabila kita berbicara tentang Program TransformasiKerajaan, ia merangkumi 7 Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA, iaitu, Menangani Kos Sara Hidup Rakyat, Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar, Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah, Mempastikan Pendidikan Berkualiti, Mengurangkan Jenayah dan Membanteras Rasuah.

37. GTP juga menerajui inisiatif transformasi sosial yang penting untuk mengubah perkhidmatan awam kepada semua pentadbiran yang dinamik, inovatif dan berfokuskan masyarakat.

38. Untuk makluman, semua bidang GTP dan ETP telah melalui proses yang diteliti, dihalusi dan merundingi rakyat pelbagai lapisan dan sektor. Ia melalui 8 langkah proses transformasi yakni Hala Tuju yang Strategik, Makmal, Hari Terbuka, Pelan Hala Tuju, Sasaran Bagi Penunjuk Prestasi Utama atau KPI, Pelaksanaan, Tatacara yang Dipersetujui dan Laporan Tahunan.

39. Sukacita saya mengumumkan berdasarkan pengesahan pencapaian oleh para pakar termasuk pihak berkecuali, GTP berjaya mencapai kejayaan 104 peratus daripada sasaran keseluruhan kita pada tahun 2013.

40. Walaupun begitu, pada hemah saya, masih banyak usaha yang perlu dilakukan dan digemblengkan dalam kita memasuki fasa GTP 2.0 dengan semangat yang lebih membara, komitmen yang lebih tinggi serta iltizam yang lebih kukuh.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

41. Pada malam ini, saudara dan saudari di dalam Auditorium Perdana ini, serta rakyat Malaysia secara keseluruhan, berselari dengan ucapan yang saya lafazkan, dapat melihat fakta-fakta dan angka-angka yang dibentangkan melalui paparan-paparan maklumat di layar agar dapat lebih memahami apa yang sedang dilaporkan ini.

42. Pertama, Bidang Keberhasilan Utama Negara:Menangani Kos Sara Hidup Rakyat. Pada tahun 2013, NKRA ini telah berjaya memberikan manfaat kepada lebih 4.8 juta isi rumah Malaysia yang berpendapatan rendah. Ini dibuat melalui pemberian tambahan melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0 yang melibatkan peruntukan berjumlah 2.91 bilion ringgit.

43. Kerajaan juga telah memperluaskan skop penerima kepada individu bujang berumur lebih 21 tahun, sekaligus memberikan manfaat kepada hampir 2 juta individu lagi. Ini melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak 500 juta ringgit.

44. Selanjutnya, kita sedar bahawa ilmu pengetahuan sewajibnya dibudayakan sebagai teras pembikinan generasi masa depan negara. Lalu, pada tahun 2013, lanjutan Baucar Buku 1Malaysia telah diperluaskan kepada 1.2 juta pelajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Mereka menerima baucar buku bernilai 250 ringgit setiap seorang. Manakala, 5.2 juta orang murid sekolah rendah dan menengah pula menerima bantuan tunai sebanyak 100 ringgit setiap seorang.

45. Seterusnya, bagi kumpulan rakyat terbanyak, Kerajaan telah menambahkan lagi sejumlah 40 buah Kedai Rakyat 1Malaysia yang menjadikan jumlah keseluruhan KR1M terkini sebanyak 125 buah. Saya yakin ini boleh mengurangkan beban yang ditanggung oleh golongan individu dan juga para peniaga.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

46. Dalam perihal kepentingan penjagaan kesihatan asas, 70 Klinik 1Malaysia telah ditambah bina pada tahun 2013 untuk meningkatkan akses rakyat kepada rawatan perubatan asas yang bersubsidi. Ini menjadikan jumlah Klinik 1Malaysia adalah 254 buah yang telah dibuka sejak 2010, yang menangani lebih 10 juta kes kesihatan dengan kos minimum hanya satu ringgit bagi setiap pesakit termasuklah ubat-ubatan yang percuma.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

47. Saya juga mendengar rungutan di luar sana yang mengatakan apakah kaitan segala Pelan Transformasi Negara dengan diri mereka sebagai rakyat teramai. Makanya, pada pembentangan kali ini, saya mahu berkongsi percontohan-percontohan serta kisah-kisah sebenar individu yang telah terlibat dan merasai pengalaman dalam program transformasi ini. Mereka ini terdiri daripada saudara dan saudari jua, di celah-celah kehidupan sebenar rakyat Malaysia.

48. Kisah pertama, sahabat kita, yang bernama Dr. Artiran Kaur. Beliau merupakan seorang Doktor yang menyimpan harapan untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat bagaikan sebuah keluarga. Apabila beliau ditawarkan peluang untuk menjadi sebahagian daripada program ini, beliau telah bersetuju untuk menjayakannya.

49. Setiap hari di Klinik beliau di Lembah Subang Selangor, beliau memberikan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit daripada pelbagai latarbelakang untuk mendapatkan rawatan kesihatan. Tahniah dan sekalung penghargaan kepada Dr Artiran kerana inilah contoh yang seharusnya dijadikan suri dan teladan kepada semua!

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

50. Di bawah NKRA menangani kos sara hidup ini juga, seperkara yang sangat mustahak dan dititikberatkan oleh Kerajaan adalah soal perumahan. Kerajaan telah memperuntukkan 2.1 bilion ringgit bagi tahun 2014 bagi pembinaan 133,000 unit rumah mampu milik yang dilaksanakan oleh agensi-agensi Kerajaan seperti PR1MA, Jabatan Perumahan Negara dan Syarikat Perumahan Negara Berhad. Kerajaan juga telah menjanjikan pembinaan sekurang-kurangnya 1 juta unit rumah mampu milik menjelang 2018.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

51. NKRA kedua: Mempertingkatkan Pembangunan Luar Bandar. Seperti mana kita maklum, Kerajaan ini amat prihatin tentang kebajikan dan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar agar tidak terpinggir dari arus pembangunan.

52. Meskipun berhadapan dengan cabaran ketika membina jalan di kawasan yang amat terpencil, seperti di Gua Musang dan Jerantut di Semenanjung Malaysia; Keningau dan Ranau di Sabah; Baram, Belaga dan Kapit di Sarawak, Tahun 2013 menyaksikan pembinaan jalan berturap sepanjang lebih 700 kilometer.

53. Satu lagi fakta menarik untuk saya hebahkan, sepanjang tahun 2010 sehingga 2013 sahaja, kita telah membina sepanjang 4,068 kilometer jalan luar bandar. Ini, jika hendak dihitung supaya difahami dengan lebih jelas, jaraknya adalah lebih kurang 5 kali perjalanan ulang – alik antara Johor Bahru dengan Perlis.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

54. Kita turut menyaksikan pengenalan Program Kampung Abad ke-21 atau Program KA21, di bawah GTP 2.0. Ia bertujuan mentransformasikan kampung-kampung sedia ada menjadi pusat ekonomi yang berkembang maju.

55. Salah satu daripada empat inisiatif di bawah Program KA21 bakal menyaksikan usaha bersepadu melalui kerjasama dengan ladang buah-buahan dan sayur-sayuran yang dipacu oleh sektor swasta.

56. Di bawah NKRA mempertingkatkan pembangunan luar bandar ini, satu percontohan yang ingin saya ketengahkan adalah, kisah Saudara Selvestone Junit dari Kota Marudu, Sabah. Beliau telah memenangi Pertandingan Pelan Perniagaan Luar Bandar yang dikelolakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

57. Saudara Selvestone yang berminat dengan industri eko-pelancongan dan ingin membina sebuah pusat peranginan yang akan memberi pelancong asing peluang untuk menikmati keindahan Kota Marudu.

58. Sebagai hadiah kemenangan, beliau telah diberi modal permulaan sebanyak 500,000 ringgit untuk melaksanakan model perniagaannya. Kini, pusat peranginan yang dinamakan Panorama Paradise Resortmerupakan pusat peranginan eko-semulajadi yang pertama di Kota Marudu. Malah, saya diberitahu bahawa pusat peranginan beliau kini juga boleh ditempah melalui Facebook dan sedang mendapat sambutan yang menggalakkan.

59. Yang paling penting, saudara kita ini berazam untuk menyumbang kepada ekonomi luar bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, agar ramai lagi belia sepertinya dapat menikmati masa depan yang cerah. Syabas kita ucapkan kepada Saudara Selverstone di atas pencapaian beliau!

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

60. Satu lagi cerita menarik adalah tentang Saudara Wilson Bato Anak Kepada Tanggai daripada Sri Aman, Sarawak. Di bawah NKRA ini, Kerajaan telah menyediakan infrastruktur yang lebih selesa kerana telah berlaku tragedi kebakaran yang melibatkan rumah panjang saudara Wilson dan komuniti beliau.

61. Maka, Kerajaan telah menyediakan infrastruktur yang lebih baik seperti perumahan berserta bekalan air dan jalan raya. Kini komuniti beliau lebih selesa daripada penyediaan infrastruktur yang disediakan, bahkan telah membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

62. Yang ketiganya pula, NKRA Mempertingkatkan Pengangkutan Awam Bandar. Dari masa hingga masa, Kerajaan sentiasa giat menjalankan usaha mempertingkatkan pengangkutan awam bandar. Selain memperkenalkan set tren enam-gerabak baharu bagi perkhidmatan KTM Komuter pada tahun lepas, GTP 2.0 turut memulakan kerja penambahbaikan sistem teras termasuk penggunaan isyarat dan elektrifikasi trek.

63. Usaha ini telah membaik selang masa perkhidmatan KTM Komuter untuk tren tiba setiap 15 minit pada waktu puncak pagi, iaitu satu peningkatan yang besar berbanding dengan setiap 30 hingga 45 minit sebelum ini. Sehubungan dengan ini, saya ingin melaporkan pada pembentangan GTP 2.0 ini, bahawa KTM Komuter telah mencapai prestasi menepati masa pada tahap 94.6 peratus.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

64. NKRA yang Keempat, Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Isi Rumah Berpendapatan Rendah. Mengimbas tawarikh negara, semasa mencapai kemerdekaan, kadar kemiskinan adalah pada tahap lebih 60 peratus. Hampir 6 dekad kemudian, kadar kemiskinan telah menyusut kepada 1.7 peratus pada tahun 2012. Manakala kemiskinan tegar kini hampir disifarkan kesemuanya.

65. Di sini, ingin saya berkongsi kisah Saudara Chandrasekaran dari Melaka. Beliau merupakan seorang peserta program Azam Tani yang mengusahakan gerai makanan termasuk Mi Rebus di Bandaraya Melaka. Suatu ketika dahulu, beliau pernah diserang angin ahmar dan akibat daripada kejadian tersebut beliau tidak dapat bertutur dengan jelas walaupun keadaan kesihatannya semakin baik.

66. Namun begitu, beliau dan isteri tidak menjadikannya sebagai satu halangan untuk berusaha kuat dengan menjual cendol dan ais kacang di atas basikal beroda tiga bagi menyara kehidupan keluarga seramai 8 orang.

67. Sekarang, kehidupan mereka sekeluarga telah berubah setelah menyertai program AZAM Tani, di mana pendapatan harian Saudara Chandrasekaran semakin bertambah dua kali ganda daripada sebelumnya.

68. Untuk makluman semua, Program 1AZAM merupakan prakarsa khusus, yang berusaha untuk membawa isi rumah berpendapatan rendah keluar daripada paras kemiskinan menerusi beberapa kaedah termasuk pekerjaan, keusahawanan, aktiviti pertanian dan perkhidmatan. Setakat ini, lebih 168,000 individu telah berjaya meningkatkan tahap pendapatan mereka menerusi program 1AZAM.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

69. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Amanah Ikhtiar Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita juga telah melancarkan usaha untuk melatih dan membangunkan usahawan wanita di bawah bidang kuasa NKRA ini.

70. Peluang ini disediakan untuk mereka menceburi bidang-bidang seperti pertanian, perkhidmatan, perikanan, perkilangan, keluarga dan perniagaan.

71. Untuk makluman semua, dalam konteks ini usahawan wanita merujuk kepada mereka yang memperoleh pendapatan bersih sebanyak 3,500 ringgit sebulan bagi tempoh 3 bulan secara berturut-turut. Sehingga kini, kita berjaya melahirkan sebanyak 5,300 usahawan wanita terlatih. Tahniah diucapkan kepada semua usahawan wanita ini!

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

72. Bagi NKRA yang Kelima pula, Memastikan Pendidikan Berkualiti, Kerajaan sedar bahawa kanak-kanak merupakan aset terpenting negara dan menjadi pewaris kepada masa depan Malaysia.

73. Saban tahun kita menyaksikan peningkatan kemasukan murid ke prasekolah. Pada tahun 2013 sahaja, enrolmen prasekolah telah meningkat kepada 82 peratus bagi kohort umur 4 hingga 6 tahun, berbanding dengan hanya sebanyak 67 peratus pada tahun 2009.

74. Selain itu, keberhasilan NKRA ini turut mencakupi 24 buah sekolah rendah dan menengah yang diberikan status Sekolah Berprestasi Tinggi yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 115 buah di seluruh negara.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

75. NKRA yang Keenam iaitu Mengurangkan Jenayah.Sememangnya, setiap manusia inginkan keamanan dan kedamaian dalam kehidupan. Saya amat faham kebimbangan dan keresahan saudara-saudari sekalian tentang situasi jenayah kini, namun yakinlah Kerajaan bersama-sama dengan pasukan keselamatan akan mempastikan keselamatan negara tanpa mengira sama ada di darat, di udara, mahupun lautan. Pucuk pangkalnya, kita tidak akan sesekali biarkan sesiapa pun mengganggu gugat kedaulatan tanahair ini.

76. Perkembangan terbaharu dalam NKRA ini, Pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah 1959 telah diluluskan untuk memberikan kuasa yang lebih luas kepada Polis dalam menangani jenayah terancang dan jenayah ganas. Dengan pindaan ini, Polis Diraja Malaysia akan berupaya mempastikan perkhidmatan kepolisan yang berstruktur dan moden dalam usahanya menjaga keselamatan orang ramai.

77. Untuk makluman, pada tahun 2013, terdapat penurunan menyeluruh sebanyak 6.5 peratus, merujuk garis dasar tahun 2012 dalam kejadian pecah rumah yang dilaporkan. Seterusnya, di bawah NKRA ini juga, Operasi Cantas Khas telah berjaya menurunkan kes jenayah keganasan sebanyak 30 peratus dalam tempoh 52 hari pertama Ops Cantas Khas dilancarkan.

78. Di samping itu, buat pertama kalinya Unit Rondaan Bermotosikal PDRM atau URB dilancarkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Selangor. URB ini kemudiannya diperluas ke negeri Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak. Melalui URB ini, sebanyak 813 tangkapan dilaporkan pada tahun pertama iaitu bagi tempoh Januari hingga November 2013.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

79. NKRA yang terakhir di bawah GTP ialah Membanteras Rasuah. Kerajaan sentiasa komited dalam memerangi rasuah. Pelbagai langkah dan inisiatif telah diambil bagi membendung gejala ini.

80. Oleh itu, pada 1 Oktober 2013, dashboard atau papan pemuka Jabatan Audit Negara telah dilancarkan yang boleh diakses secara online melalui laman sesawang jabatan ini. Papan pemuka ini menjadikan proses pelaporan menjadi lebih telus dan mudah difahami.

81. Berkait itu juga, Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara kini dibentangkan pada setiap persidangan Parlimen, yang sebelum ini dilaporkan hanya setahun sekali.

82. Susulan daripada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah membuka 17 buah kertas siasatan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang telah dibentangkan pada Oktober 2013.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

83. Alhamdulillah, kita telah menyempurnakan tahun pertama bagi fasa kedua GTP. Saya cukup yakin, pencapaian sepanjang empat tahun yang lepas merupakan bukti kukuh kepada kesungguhan Kerajaan dalam membawa negara mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

84. Kira-kira dua minggu lepas, Malaysia telah mengukir sejarah yang membanggakan apabila Presiden Barrack Obama dari Amerika Syarikat, telah berkunjung secara rasmi ke negara kita. 48 tahun lampau pula, bila mana Presiden Lyndon B. Johnson, mengadakan lawatannya, apa yang dapat kita tunjukkan ketika itu antaranya ladang-ladang dan pokok-pokok getah.

85. Bersesuaianlah dengan kedudukan Negara pada masa itu yang baru sedekad mencapai kemerdekaan. Bersempena lawatan itu, kita telah menamakan salah satu penempatan FELDA dengan nama FELDA L.B. Johnson, di Negeri Sembilan.

86. Kini, setelah hampir 6 dekad kemerdekaan berlalu, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa hakikatnya telah berjalan jauh daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

87. Oleh sebab itu, kita mampu berbangga kerana dapat mempamerkan kepada Presiden Obama sebuah kontemporari Malaysia yang telah maju dan bertransformasi dengan bangunan-bangunan pencakar langitnya. Pada lawatan bersejarah tempoh hari, sebuah tapak rekreasi di salah satu hub inovasi terkini di Malaysia, iaitu Malaysian Global Innovation and Creativity Centre atau MAGIC di Cyberjaya, telah dinamakan sebagai Obama Oval atau O2.

88. Begitulah selama berdekad-dekad Negara ini bertatih dan berjalan serta kini sedang berlari menuju kemajuan melalui segala rancangan dan perancangan yang rapi. Kerana itulah sebagai kesinambungan kepada ceritera kejayaan Malaysia selama puluhan tahun, Kerajaan ini meneruskan program transformasi ekonomi melalui ETP.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

89. ETP menggabungkan dua komponen, iaitu 12 Bidang Ekonomi Utama Negara atau NKEA yang memfokuskan pertumbuhan ekonomi dan keduanya adalah 6 Inisiatif Pembaharuan Strategik atau SRI yang merangkumi dasar dan prosedur yang dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdaya saing dan dinamik.

90. Gabungan NKEA dan SRI ini, disasar untuk melonjakkan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita atau PNK kepada 15,000 dolar, mencipta 3.3 juta peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan berjumlah 444 bilion dolar menjelang tahun 2020.

91. Seperti yang sedia maklum, ETP juga digubal sebagai tindak balas kita kepada perubahan iklim ekonomi dunia. Ia juga petunjuk jelas bahawa daya tahan ekonomi Malaysia telah dipacu oleh pelaburan sektor swasta, yang kini mencecah 61 peratus daripada jumlah pelaburan.

92. Momentum yang berterusan dalam pelaburan sektor swasta telah mewujudkan peluang pekerjaan melalui pertumbuhan PNK per kapita pada 2013, yang telah meningkat kepada 10,060 dolar daripada 7,059 dolar pada tahun 2009.

93. Lanjutan itu, negara kita telah menikmati arus berterusan pelaburan dalam tempoh tiga tahun lepas, di mana peningkatan yang kukuh dalam pelaburan swasta telah meningkat 15.3 peratus bagi tempoh antara 2010 hingga 2013 berbanding 4.7 peratus antara 2008 hingga 2010. Ini bersamaan tiga kali ganda peningkatan Kadar Pertumbuhan Purata Tahunan.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

94. Bagi NKEA Greater KL/ Klang Valley pasti ramai antara kita semua yang tinggal di Lembah Klang mengetahui tentang pembinaan projek Mass Rapid Transit atau MRT. Sehingga 2013, 35 peratus kerja-kerja pembinaan bagi laluan Sungai Buloh-Kajang telah disiapkan. Setakat ini, sasaran untuk beroperasi bagi Fasa Satu Sungai Buloh ke Semantan adalah mengikut jadual iaitu pada Disember 2016. Manakala, bagi Fasa Dua dari Semantan ke Kajang akan mula beroperasi pada Julai 2017.

95. Berhubung ini, saya bagi pihak Kerajaan meminta agar rakyat dapat bersabar dengan ketidakselesaan dan kesulitan yang timbul. Sememangnya semua ini adalah sementara sahaja. Kesabaran saudara dan saudari akan berbaloi jua apabila projek bertaraf dunia ini siap kelak.

96. Selain itu, antara pencapaian tahun 2013 adalah kejayaan InvestKL, yang berjaya menarik 15 Syarikat Multinasional dari Amerika Utara, Eropah dan Asia untuk menubuhkan pejabat serantau di sini.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

97. Bagi NKEA Minyak, Gas dan Tenaga, saya cukup berbangga dengan pencapaian pada tahun 2013. Antaranya permulaan operasi Terminal Penggasan Semula Cecair Gas Asli atau Liquefied Natural Gas LNGPETRONAS di Sungai Udang, Melaka. Inisiatif ini bagi memelihara keselamatan jangka panjang bekalan gas domestik.

98. Inisiatif ini bertujuan untuk menyediakan peningkatan bekalan gas masa depan di Malaysia dengan melengkapi bekalan gas domestik dengan LNG diimport. Ia direka bentuk bagi menerima, menyimpan dan menggas sehingga 530 juta standard kaki padu sehari. LNG diimport adalah lebih daripada satu perempat daripada bekalan tempatan semasa berjumlah 2,000 juta standard kaki padu sehari dari luar pesisir Terengganu.

99. Terminal ini telahpun menerima kargo pertamanya pada April 2013. Terminal ini mula beroperasi pada Mei 2013 dan telah berjaya mensalurkan LNG buat pertama kalinya ke dalam saluran paip gas Malaysia.

100. Bagi Projek Permulaan Pemerolehan Minyak Tertingkat atau Enhanced Oil Recovery, EOR, antara pencapaian utama 2013 adalah melalui PETRONAS Carigali Sendirian Berhad dengan siapnya pembinaan pelantar pemprosesan pusat pada suku pertama tahun 2014. Projek ini bertujuan untuk merangsang pengeluaran dari 5,000 tong sehari ke 25,000 hingga 35,000 menjelang 2017.

101. Pada masa hadapan, PETRONAS akan terus meneroka peluang EOR di kawasan-kawasan yang sesuai di luar pantai Malaysia. Sekarang ini PETRONAS telah mengenal pasti 14 medan minyak yang berpotensi, lima kawasan di Sarawak, empat di Sabah dan bakinya di Semenanjung Malaysia. Melalui 14 medan minyak ini, dijangka PETRONAS akan mengekstrak sejumlah 750 juta sehingga 1 bilion tong minyak.

102. Bagi menggalakkan pembangunan marginal fields atau telaga-telaga kecil pula, PETRONAS telah memperkenalkan terma baharu bagi Production Sharing Contract atau Kontrak Pengkongsian Pengeluaran. Antara yang dibanggakan adalah Medan Berantai yang telah memulakan pengeluaran pada 2012 telah mencapai peningkatan anggaran gas sebanyak 15 peratus berbanding 2011.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

103. Seterusnya pula, saya ingin menyentuh tentang pencapaian NKEA Pemborongan dan Peruncitan. Di bawah NKEA ini, program TUKAR membantu mereka yang berniaga dalam sektor borong dan runcit. Dalam satu kajiselidik yang dijalankan ke atas 616 Kedai TUKAR untuk menilai impak program ini, 78 peratus kedai mengisytiharkan peningkatan hasil.

104. Untuk program TUKAR, saya ingin berkongsi tentang kejayaan salah seorang peserta yang terlibat dalam program ini. Beliau adalah Saudara Chaang Tuck Cheong dari Cheras.

105. Melalui program TUKAR, beliau diberi khidmat nasihat daripada wakil rantaian pasaraya besar bagaimana mahu menarik lebih ramai pelanggan dan mendapat pinjaman untuk mengusahakan kedai serbaneka beliau. Seiring dengan nama TUKAR, perniagaan Saudara Chaang telah berwajah baharu dan semakin maju. Syabas kepada Saudara Chaang!

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

106. Menyedari akan pentingnya Pendidikan Awal sebagai langkah pertama yang menjadi kunci pembelajaran sepanjang hayat, NKEA Pendidikan pada tahun 2013 telah berjaya mewujudkan seramai 34,552 pelajar prasekolah daripada keluarga berpendapatan rendah yang telah menerima bantuan bayaran daripada Kerajaan, berjumlah 29.3 juta ringgit.

107. Setakat ini, kita telah membantu seramai 296 pengusaha prasekolah swasta yang menerima geran bernilai 5 juta ringgit untuk memulakan operasi. Ini termasuklah 38 prasekolah untuk kanak-kanak pendidikan khas yang menerima geran permulaan sejumlah 760,000 ringgit.

108. Dalam hal ini, ingin saya kongsikan bersama anda kisah kejayaan seorang rakan kita yang kehidupannya berubah selepas mengikuti program Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak serta Program Bantuan Yuran.

109. Beliau adalah Puan Zulsuzina binti Sharif dan suaminya. Pendapatan isi rumah mereka sebanyak 2,200 ringgit sebulan hanya mencukupi untuk perbelanjaan keperluan asas sahaja.

110. Melalui Program Bantuan Yuran Pusat Awal Penjagaan Kanak-kanak, Puan Zulsuzina telah membuka sebuah Pusat Awal Penjagaan Kanak-kanak bagi meningkatkan pendapatan keluarga, di samping memberi didikan awal kepada dua anak beliau.

111. Dalam NKEA ini juga, sukacita saya memaklumkan bahawa EduCity di Iskandar Johor telah mencatatkan peningkatan jumlah pelajar dengan enrolmen di hab pendidikan tersebut yang mencapai 1,700 pelajar dari seluruh dunia. Pencapaian ini dapat menguatkan lagi status negara Malaysia sebagai hab Pendidikan Tinggi di rantau ini.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

112. Bagi NKEA Pertanian pula, segala inisiatif dan program telah menggerakkan industri ke arah perniagaan berasaskan pertanian, meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani serta memupuk semangat keusahawan.

113. Ingin saya maklumkan bahawa pada tahun 2013, NKEA Pertanian telah mencapai kemajuan yang ketara dalam meningkatkan pendapatan petani. Antaranya, 37 peratus daripada peserta program Taman Kekal Pengeluaran Makanan, telah melepasi pendapatan yang disasarkan sebanyak 3,000 ringgit sebulan.

114. Namun begitu, saya dapati sektor pertanian masih kurang mendapat penglibatan terutamanya daripada golongan belia. Maka, sebagai respon, pihak Kementerian Pertanian telah melancarkan sebuah Unit Agropreneur Muda yang akan membantu penyertaan usahawan muda ke dalam industri pertanian ini.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

115. Selaras dengan keperluan sebuah negara berpendapatan tinggi pula, SRI bagi Pembangunan Modal Insan, melaksanakan dasar-dasar yang bertujuan untuk memupuk transformasi di tempat kerja dan tenaga kerja, mewujudkan persekitaran kerja yang berdaya saing, menarik dan mengekalkan bakat dan peningkatan kemahiran tenaga kerja yang sedia ada.

116. Antara pencapaian utama SRI ini adalah, Penguatkuasaan Perintah Gaji Minimum 2012 dan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 yang telah dikuatkuasakan pada Januari 2013. Dengan perundangan baharu ini, ia mewajibkan pekerja dibayar dengan gaji minimum 900 ringgit sebulan di Semenanjung Malaysia dan 800 ringgit sebulan di Sabah dan Sarawak. Perlaksanaan perintah tersebut berkuat kuasa hanya pada pekerja tempatan.

117. Manakala, menerusi SRI ini juga, Program MyProCerttelah dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran dalam tenaga kerja sedia ada. Program ini menawarkan sehingga 33 set kemahiran ICT termasuklah dalam bidang perangkaian, keselamatan dan pengurusan projek.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

118. Dengan pencapaian NKEA dan SRI yang telah saya bentangkan sebentar tadi, saya ingin merumuskan pencapaian keseluruhan ETP dengan berkongsi Indikator-Indikator Kejayaan sejak ETP dilancarkan pada tahun 2010.

119. Secara keseluruhannya, sepanjang 3 tahun ini, kita telah berjaya mewujudkan 196 projek dengan pelaburan komited berjumlah 219.3 bilion ringgit yang dijangka akan menyumbang 144 bilion ringgit kepada Pendapatan Negara Kasar dan mewujudkan hampir 440,000 pekerjaan baharu.

120. Selain itu, pencapaian ETP dalam meningkatkan pendapatan rakyat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan telah dilihat dalam sumbangannya kepada pertumbuhan berterusan penggunaan swasta, yang kini mencakupi 51.2 peratus daripada KDNK.

121. Selain daripada itu, Financial Times Stock Exchange – Bursa Malaysia Kuala Lumpur Composit Index, telah mencipta sejarah baru dengan pencapaian tertinggi dalam sejarah sebanyak 66 kali sejak 3 tahun yang lalu. Kejayaan ini turut dapat dicerminkan melalui penutupan pasaran saham kita pada tahap tertinggi tahun lepas iaitu pada paras 1,873 mata.

Rakyat Malaysia yang Dikasihi,

122. Di persada dunia pula, kita boleh berasa bangga, kerana buat dua tahun berturut-turut, negara kita telah menduduki tempat 10 teratas dalam Indeks Easeof Doing Business oleh Bank Dunia, seterusnya kedudukan ke-6 untuk 2014 dan ke-8 pada tahun 2013.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,

123. Mengimbas kembali keberhasilan-keberhasilan yang diraih, saya yakin bahawa kita kini berada pada trek yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Malah, beberapa petunjuk memberikan gambaran bahawa sekiranya tidak ada aral melintang, kita mampu mencapai cita-cita ini lebih awal daripada yang dijangkakan.

124. Jelasnya, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi telah bergerak dalam satu sinergi untuk mendaya dan mengubah Malaysia menjadi negara dengan status berpendapatan tinggi di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional.

125. Dasar Transformasi Nasional berobjektif untuk mempastikan bahawa di akhirnya nanti, pertumbuhan dicapai dengan cara yang seimbang, inklusif dan mampan bukan sahaja menjelang 2020 bahkan lebih jauh daripada itu.

126. Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan yang telah menyokong dan mendokong matlamat ini. Kepada penjawat awam, yang telah bekerja tanpa mengenal penat dan lelah untuk membantu merealisasikan impian negara, jasa anda semua amat dihargai.

127. Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada sektor swasta yang telah memberikan kerjasama padu dalam perjalanan transformasi negara ini. Benarlah kata orang, bila kita bekerja saling ganding berganding, bahu-membahu, segala yang berat akan menjadi ringan, sebarang masalah mampu dileraikan jua. Terima kasih…terima kasih semuanya!

128. Lanjutan daripada jejak-jejak pencapaian ini, sememangnya, tugas dan peranan kita yang mewarisi tanahair daripada generasi terdahulu adalah berat. Kita akan terus diseru dan digera-kan oleh semboyan pertiwi bagi meneruskan tugas mulia membina negara bangsa Malaysia.

129. Perlu diketahui, semuanya ini tidak akan berjaya jika tiada perkongsian usaha yang gigih, jerih perih kudrat serta sokongan semua pihak daripada masyarakat majmuk dan berbilang bangsa di negara ini.

130. Percayalah… percayalah… sesungguhnya kelana Malaysia tidak pernah sia-sia. Kelana ini adalah sebuah kelana yang penuh bermakna dalam destinasi menuju gapura negara maju yang makmur, bahagia dan sentosa.

131. Semua kisah kejayaan Malaysia ini bak kata pepatah, sudah terang lagi bersuluh menjadi saksi wadih lagi sahih bahawa kita tidak mungkin duduk bersimpuh dan berdiam diri. Demi mendahulukan rakyat,…demi mensejahterakan Negara… segalanya kita rangka, semuanya kita susun, setiap satu kita piagam dan kita laksanakan bukan sekadar secebis sonata, ataupun sebuah orkestra, namun ia telah menjadi puluhan simfoni kemajuan yang terindah demi seluruh rakyat Malaysia.

132. Oleh yang demikian, tidak mengapalah,… tidak mengapalah, jika pihak pembangkang terus mentohmah dan mengherdik kita. Mereka saban masa tidak habis-habis mencari seribu jalan untuk memperlekehkan kita. Kendatipun begitu, saya… selaku Perdana Menteri bersama-sama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri serta rakan-rakan anggota pentadbiran, akan tetap merintis sejuta jalan demi kemakmuran bersama.

Rakyat Malaysia Yang Dikasihi,

133. Pokoknya di sini, sekali apapun rintangan yang menduga, walau apapun pancaroba yang menghalang, kita tidak akan mudah goyang, tidak mungkin terkandas, jauh sekali terkecundang daripada menggalas tanggungjawab.

134. Demi maslahah ramai, kita akan terus beristiqamah dan mencekalkan semangat bagi sebuah mujahadah besar lagi murni membela untung nasib rakyat dan pertiwi.

135. Sesungguhnya, masa depan kita, keturunan dan anak-anak cucu kita bergantung kepada ikhtiar-ikhtiar kita hari ini. Pastinya, kita tidak mahu menjadi Kerajaan yang bersikap populis dan semberono sehingga sanggup menabur janji-janji manis dan omongan kosong.

136. Kita adalah Kerajaan yang bertanggungjawab, …kita adalah Kerajaan yang beramanah, … dan kita adalah Kerajaan yang menepati janji. Kerana itulah kita akan terus membuat keputusan-keputusan yang terbaik dan perhitungan-perhitungan yang terwajar supaya dapat mewajahkan sebuah Malaysia yang penuh bergemerlapan dan berwarna-warni.

137. Semoga yang Maha Kuasa sentiasa melimpahkan rahmat dan hidayahNya ke atas Malaysia tercinta ini zahir dan batin.

Sekian, Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches