15 , 2014

Majlis Perasmian Penubuhan Kumpulan Usahawan PUNB dan Seminar Usahawan Automotif


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam;

Pengerusi, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB),

Ahli Lembaga Pengarah PUNB,

Yang Berusaha Encik Dzulkifli Fazdilah;

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB,

Para usahawan PUNB,

Tuan-tuan serta Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Pertama-tamanya, marilah kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, kita dapat bertemu pada pagi ini khususnya dengan mereka yang terlibat dalam bidang automotif. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada PUNB kerana telah menjemput saya untuk merasmikan Auto Forum 2014 kali ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Sebagaimana yang kita semua tahu, agenda pembangunan Bumiputera adalah begitu penting dalam pembangunan negara kita dan akan diteruskan. Sejak berdekad-dekad lagi, agenda Bumiputera telah dipergiatkan dan diperhalusi dari masa ke masa. Agenda pembangunan Bumiputera ini terus diperkemas apabila beberapa inisiatif-inisiatif tambahan telah diperkenalkan untuk mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi Bumiputera di negara ini. Ini termasuk penubuhan EKUINAS, TERAJU dan Majlis Ekonomi Bumiputera yang saya pengerusikan sendiri sebulan sekali. Inisiatif-inisiatif ini juga diperkenalkan supaya sesuai dengan corak dan rentak pembangunan negara terkini.

Pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang lalu, secara ringkasnya, saya telah mengumumkan inisiatif-inisiatif Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera melalui lima teras utama iaitu mendaya modal insan, memantapkan pemilikan ekuiti korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan perniagaan, dan memantapkan eko-sistem penyampaian perkhidmatan. Sejajar dengan itu, saya berasa gembira kerana PUNB terus berusaha memainkan peranannya dalam melaksanakan agenda ekonomi Bumiputera.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Seperti yang semua sedia maklum, di dalam pembentangan Laporan Program Transformasi Ekonomi 2013 yang saya sampaikan 3 hari yang lepas, saya telah menekankan bahawa sasaran pendapatan per kapita rakyat Malaysia menjelang tahun 2020, adalah sebanyak 15,000 dolar Amerika.

Sasaran ini tidak mungkin tercapai jika sebilangan besar daripada masyarakat negara ini, yang merupakan golongan Bumiputera, tercicir daripada penjanaan pendapatan ekonomi negara. Malah, jika kita lihat dari aspek bantuan-bantuan sosio-ekonomi yang diberikan kepada golongan 40% yang berpendapatan rendah pula, kita akui bahawa majoritinya adalah golongan Bumiputera. Kesimpulannya, kita tidak boleh sangkal bahawa, dari sudut mana pun kita lihat pembangunan arus ekonomi kita, pendapatan serta penglibatan golongan Bumiputera akan terus dipergiat dan dipertingkatkan.

Makanya, pendekatan-pendekatan yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mempertingkatkan ekonomi Bumiputera adalah pendekatan yang berbentuk inklusif, memandangkan golongan Bumiputera ini adalah golongan majoriti di negara kita. Tidak kiralah Melayu Jawa ke, atau Melayu Minang ke atau India Muslim mahupun Bumiputera di Sabah dan Sarawak, semuanya akan kita sokong dan kita bantu sehabis baik kerana ini adalah usaha untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 kelak.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Industri automatif merupakan salah satu industri yang penting kepada negara kerana ia menyumbangkan sebanyak 3.2% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, dengan jumlah eksport sebanyak 5.3 billion ringgit serta menyediakan pekerjaan kepada 550,000 orang pada tahun 2013.

Industri ini dijangka akan berkembang lagi sebanyak 10% menjelang 2020. Justeru, Kerajaan akan sentiasa berusaha memastikan langkah-langkah sewajarnya di dalam sektor ini akan diambil di setiap peringkat samada di peringkat pengeluaran mahupun di peringkat perkhidmatan kerana industri ini mempunyai masa depan yang cerah serta pulangan yang lumayan.

Pada awal tahun ini juga, Dasar Automotif Nasional atau NAP telahpun dikaji semula dan diberi nafas baru dengan menyuntik beberapa perincian untuk memastikan ia menjadi dasar yang lebih pragmatik. Kini, NAP 2014 adalah berteraskan kepada beberapa peringkat seperti Pelaburan, Teknologi dan Kejuruteraan dan Perluasan Pasaran. Manakala dari sudut strateginya pula, NAP akan melihat industri ini secara menyeluruh yang termasuk rantaian pembekal komponen dan alat ganti, pembangunan modal insan, keselamatan & alam sekitar dan sebagainya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Izinkan saya memberikan satu gambaran yang mudah difahami. Seperti contoh, saya balik ke Pekan, Pahang, setiap kali saya berpeluang berbuat demikian. Apabila saya balik ke Pekan, saya turut berpeluang melihat keadaan perniagaan di sana – tidak kiralah sewaktu saya mempunyai sesuatu program, menziarah ataupun program-program yang lain.

Kita semua tahu, kedai-kedai penjuru atau corner lot merupakan tapak perniagaan yang begitu tinggi permintaannya, dan ia biasanya diduduki oleh bank-bank, restoran-restoran besar ataupun bengkel-bengkel yang berkaitan dengan automotif. Dalam pengamatan saya, kawasan-kawasan komersial ini,jika kita halusi, jaaaaarang sekali kita dapat lihat perniagaan-perniagaan automotif yang diberi nama seperti contoh “Kedai Motosikal Pak Man”, atau “Pusat Servis Kereta dan Air-Cond Kassim”.

Oleh begitu, apa yang dapat saya lihat secara amnya, penglibatan Bumiputera di dalam industri automotif ini masih mempunyai banyak ruang penambah-baikan. Malah jika kita kaji dengan teliti, industri ini begitu meluas dan berperingkat-peringkat seperti di dalam bidang pengeluaran, penyelidikan, penjualan, pembaikan dan sebagainya.

Sesuailah dengan hari yang mulia ini, PUNB menganjurkan program Auto Forum yang merupakan salah satu daripada pelbagai program PUNB yang telah dilahirkan melalui satu projek khusus iaitu Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan atau PROSPER.

Auto Forum ini diadakan setiap 2 tahun supaya peserta-peserta dapat menjana dan mempertengahkan idea-idea perniagaan baru, berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan serta sebagai satu platfom jaringan perniagaan di kalangan usahawan-usahawan yang terlibat.

Antara bidang- bidang yang telah dikenal pasti adalah bidang Pengedar Kereta dan Motorsikal, Pusat Servis Kenderaan, Pusat Servis Tayar, Pengedar Alat Ganti, Pusat Baik pulih Motosikal dan Kereta, Kejuruteraan Enjin, Pembekal Minyak Kenderaan, Pengedar Aksesori Kereta dan lain-lain lagi. Program ini telah menunjukkan keberhasilannya. Sebentar lagi, saya akan menyampaikan sijil-sijil kepada 10 syarikat usahawan Bumiputera yang telah menunjukan prestasi yang amat membanggakan dalam perjalanan keusahawanan mereka.

Saya tertarik dengan cerita perjalanan mereka semua, di antaranya adalah kisah Encik Abdul Muner Hanafiah dan rakan beliau Encik Muhidzir Ali yang telah menubuhkan Syarikat Lon G Auto Services Sendirian Berhad yang merupakan pusat servis kenderaan PROTON dan PERODUA. Sebelum tertubuhnya syarikat mereka ini, Encik Muner merupakan seorang Pegawai Kewangan di sebuah syarikat manakala Encik Muhidzir pula merupakan seorang mekanik di pusat servis EON.

Setelah menyertai program PROSPER, di mana mereka telah melalui program-program pembangunan seperti Latihan Keusahawanan dan Jati Diri, Latihan Perniagaan, Jaringan Perniagaan, Pemasaran dan Khidmat Nasihat dan Pemantauan beserta mendapat pembiayaan daripada PUNB, kini perniagaan mereka telah berkembang daripada sebuah pusat servis kepada 4 cawangan pusat servis. Jumlah pekerja mereka juga telah meningkat daripada hanya 15 pekerja kepada 85 pekerja bersama jumlah modal berbayar terkini sebanyak 1.7 juta ringgit. Syabas saya ucapkan kepada Encik Muner, Encik Muhidzir dan kesemua 10 Syarikat penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Automatif pada tahun ini! Alhamdulillah.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Secara keseluruhan, saya juga turut difahamkan bahawa setakat April 2014, PUNB telah mewujudkan lebih 590 perniagaan automotif yang melibatkan seramai 671 usahawan Bumiputera dengan nilai projek yang diluluskan sebanyak 157 juta ringgit.

Bagi pelan masa hadapan pula, PUNB telah memperuntukan sejumlah 75 juta ringgit bagi tempoh 2014 – 2019 untuk terus menyokong para usahawan Bumiputera dalam industri automotif ini terutamanya dalam aspek pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan.

Sokongan Kerajaan kepada pada usahawan Bumiputera akan dipergiatkan lagi menerusi kerjasama-kerjasama PUNB dengan pelbagai pihak seperti TERAJU, EPU Malaysia Automotive Institute dan Agensi Kerajaan yang lain bagi terus memacu perjalanan keusahawanan Bumiputera di negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Bagi usahawan automotif Bumiputera sedia ada pula, saya menyeru, rebutlah peluang-peluang perniagaan dalam pasaran lepas jualan yang mempunyai nilai dagangan yang mencecah jutaan ringgit setiap tahun. Ini adalah satu peluang perniagaan yang kita tidak boleh sia-siakan kerana jumlah kenderaaan yang didaftarkan meningkat saban tahun. Mengikut statistik, pada suku pertama 2014 ini sahaja, sebanyak 160,000 unit kenderaan telah didaftarkan.

Apa yang diperlukan hanyalah kegigihan, kesabaran, disiplin dan semangat keusahawanan yang tinggi bagi membolehkan usahawan Bumiputera muncul sebagai pemain utama dalam industri ini pada suatu hari nanti. Tingkatkanlah kadar produktiviti, tawarkanlah perkhidmatan bertaraf dunia kepada para pelanggan untuk menarik mereka untuk terus berurusan dengan perniagaan kita. Kerajaan akan terus menyokong industri ini tetapi yang penting, usahawan-usahawan Bumiputera mesti kekal dinamik, berinovasi dan kreatif ketika menjalankan perniagaan dan berani berdepan dengan segala halangan yang sedia menanti di luar sana.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Saya juga ingin merakamkan penghargaan saya kepada Pengerusi PUNB, YB Datuk Seri Hj Ali bin Mohd Rustam yang telah mengambil inisiatif menjelajah ke 14 buah negeri sebanyak 22 kali pada tahun 2013 dan 2014 semata-mata untuk mencari sendiri usahawan-usahawan kita dan untuk menubuhkan jawatankuasa di setiap negeri.

Saya juga difahamkan, selain program-program PUNB yang saya sebutkan tadi, PUNB telah menubuhkan Bumiputera Retailers Organisation atau BRO baru–baru ini, yang berfungsi untuk melindung dan memajukan kepentingan usahawan Bumiputera yang terlibat dalam industri rantaian bekalan peruncitan.

Di peringkat awal ini, BRO diterajui oleh Peneraju Industri dikalangan usahawan Bumiputera yang telah berjaya seperti Pasaraya UO, MYDIN Holdings, DR Chocolatiers, Al-Ikhsan Sports, Jakel Holdings, Habib Jewels, Wesria Foods, KAT Technologies, Les Copaque Merchandising dan ramai lagi, yang akan membentuk pelan induk serta perlaksanaannya untuk Masyarakat Peniaga Bumiputera di dalam Industri Pengedaran dan Peruncitan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Akhir kata, saya berharap agar inisiatif-inisiatif dan program-program pembangunan usahawan Bumiputera dan Auto Forum PUNB 2014 ini, akan menjadi landasan kepada usahawan Bumiputera automotif untuk melengkapkan diri dengan menimba ilmu pengetahuan dan berkongsi pengalaman dari pakar-pakar penceramah jemputan. Jadikanlah mereka yang telah berjaya hari ini sebagai sumber inspirasi untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang berpotensi ini. Syabas sekali lagi kepada semua yang menjayakan program pada hari ini. Teruskan usaha anda!

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan PUNB Auto Forum 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches