11 Mac, 2011

Majlis Perasmian Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri


  1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T jua kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, pada malam ini, sekali lagi Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu dapat dianjurkan. Untuk itu, saya mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi selaku tuan rumah atas kesudian mengundang saya bagi menyempurnakan majlis Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu kali ke lima ini.
  2. Tuan-tuan dan Puan-puan,

  3. Seperti yang kita maklum, pada tahun lalu, pertandingan ini telah memberikan satu kejutan apabila seorang pelajar dari negara China bernama Zhang Song telah berjaya menjadi johan kategori antarabangsa. Saya difahamkan, kepetahan beliau bercakap, dengan lenggok pidato mempersona walaupun baru setahun jagung mempelajari bahasa Melayu telah membuatkan ramai berasa teruja kerana kemampuan berbahasa beliau menjadi bukti serta perlambangan betapa sebuah negara yang cukup besar dan maju ekonominya seperti China juga berminat kepada bahasa Melayu.
  4. Manifestasi keupayaan peserta dari China itu menjadi petanda penting bahawa bahasa Melayu mempunyai tempat yang tersendiri sebagai satu bahasa yang berdaya saing di persada antarabangsa. Dari satu sudut pandang yang lain, penggunaan bahasa Melayu yang indah dan puitis oleh para peserta pertandingan ini yang bukan penutur jati, sebenarnya memberikan sindiran tajam kepada ramai antara kita yang lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dan bahasa pasar dalam percakapan harian, seringkali pula sarat dengan campuran bahasa lain dalam urusan penulisan rasmi.
  5. Sehubungan itu, pada hemat saya, apa yang penting kita semua harus memiliki pengetahuan dan penguasaan yang baik tentang bahasa kebangsaan. Realitinya, pada hari ini bahasa Melayu penuh dengan nilai ilmu dan nilai ekonominya. Lihat sahaja kepada penganjuran Pidato Antarabangsa ini yang mendapat sambutan hangat oleh begitu ramai penyertaan. Saya dimaklumkan bahawa 49 orang bertanding dalam kategori antarabangsa dan 10 yang lain bagi kategori Asean.
  6. Pucuk pangkalnya, pertandingan pidato antarabangsa ini telah menyaksikan bahawa bahasa Melayu telah merantau jauh ke enam benua di segenap penjuru alam. Hakikatnya, tiada siapa bolah menafikan betapa tingginya nilai keantarabangsaan bahasa Melayu itu.
  7. Tuan-tuan dan Puan-puan,

  8. Kata orang, bahasa itu jiwa bangsa. Leluhur orang-orang Melayu dipersantunkan dalam indahnya gubahan bahasa yang digunakan sebagai mewakili psikologi dan budaya orang-orang Melayu yang begitu halus dan penuh berkias ibarat. Buktinya, sejak turun temurun, orang-orang Melayu sinonim dengan gurindam, pantun, sajak, puisi, fatwa pujangga serta syair. Seperti yang dimadahkan oleh seorang Tokoh Persuratan yakni Tenas Effendi dan Sasterawan Negara Tongkat Warrant, saya adunkan sebagai berikut:

  9. Melayu itu kaya falsafahnya

    Akar budi bersulamkan daya

    Melayu itu orang yang bijaksana

    Nakalnya bersulam jenaka

    Budi bahasanya tidak terkira

    Kurang ajarnya tetap santun

    Bila mengampu bijak beralas tangan

    Dalam sejarahnya

    Melayu itu pengembara lautan

    Melorongkan jalur sejarah zaman

    Begitu luas daerah sempadan

  10. Tuan-tuan dan Puan-puan,

  11. Lipatan peristiwa lalu juga, menunjukkan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa dunia pada zaman pemerintahan kerajaan Melayu lama Nusantara. Penggunaan bahasa Melayu amat dititikberatkan dalam setiap urusan pentadbiran, termasuk hubungan diplomatik khususnya dengan pedagang asing sama ada dari timur mahupun Inggeris, Perancis, Portugis serta Belanda dari barat, sekalipun sesama masyarakat nusantara, Arab dan Gujerat.
  12. Bukti-bukti kukuh ini telah terakam kemas dalam kitab-kitab rujukan popular seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja Pasai dan Sula-latus Salatin yang jelas menceritakan perihal pemerintah Kesultanan Melayu dahulu yang tidak berkompromi dalam soal bahasa apabila berhubung dengan pihak luar.
  13. Bertolak dari situ, sejak zaman kegemilangan Melaka hingga ke tahun 2011 ini, secara sedar atau tidak tempoh 5 kurun telah berlalu. Jangka masa 500 tahun bukan calang-calang waktu. Tampaknya, bahasa Melayu telah melalui susur galur perjalanan yang panjang dan syukur masih kekal terpelihara. Apa yang mustahak, biarlah bahasa Melayu menjadi dinamik bersama perkembangan zaman kerana itulah sifat semulajadi sesuatu bahasa.
  14. Tuan-tuan dan Puan-puan,

  15. Maka benarlah kata orang, bahasa adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Di dunia pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih digunapakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategorikan dan diberikan taraf bahasa rasmi. Dalam konteks ini kita wajar berasa bangga kerana bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu dan menduduki 10 tangga bahasa terpopular penggunaannya di dunia.
  16. Ini bererti, sekiranya digabungkan penggunaan bahasa Melayu dalam gugusan kepulauan Melayu Nusantara, jumlah yang kita perolehi adalah seramai lebih kurang 300 juta orang, dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kelima terbesar dari segi jumlah penuturnya; manakala di satu pihak yang lain pula memberikan penarafan bahasa keempat terbesar di dunia dari segi meluas dan melatanya penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.
  17. Walau apapun, jumlah penutur sahaja tidak boleh dijadikan ukuran tepat, sebaliknya terdapat beberapa ciri-ciri lain yang perlu untuk kita penuhi untuk melayakkan bahasa Melayu itu kekal dipanggil sebagai bahasa dunia. Pengaruh sesuatu bahasa memainkan peranan yang dominan untuk memajukan sesuatu bangsa itu apatah lagi dalam usaha kita memartabat dan memperkasa bahasa Melayu ke pentas dunia.
  18. Jelas sekali, dalam era globalisasi dan perkembangan dunia ICT yang melahirkan dunia tanpa sempadan ini, bahasa Melayu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan hambatan. Untuk itu, kerajaan akan sentiasa memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa meyokong ke arah usaha mengembang dan memperkasa bahasa Melayu, sama ada bersifat kenegaraan mahupun keantarabangsaan.
  19. Dalam konteks ini, bahasa Melayu yang telah sekian lama menjadi bahasa pertuturan rasmi dan juga bahasa kebangsaan Malaysia akan terus terpelihara, diperkemas dan diperkembangkan di dalam mahupun di luar negara.
  20. Seperti yang kita maklum, tawarikh turut menyuratkan bahawa kecemerlangan sesebuah tamadun diasaskan oleh ilmu yang disebarkan dan diterapkan melalui proses penterjemahan yang menghapuskan sempadan bahasa, budaya mahupun masa. Pada zaman kegemilangan Islam semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah, aktiviti penterjemahan bergerak aktif dengan penubuhan Baitul Hikmah di Baghdad yang menjadi pusat penterjemahan utama dunia sekitar abad ke-10.
  21. Karya dalam bahasa Yunani, Parsi dan Sanskrit diterjemahkan secara besar-besaran sehingga para ilmuwan Islam berjaya memahami dan mengembangkan buah fikiran tokoh seperti Aristotle, Ptolemy, Archimedes dan lain-lain. Manakala di Eropah, kegiatan penterjemahan mula menjadi keperluan pada abad ke-12, contohnya, Adelard, telah menterjemahkan sifir astronomi hasil kerja al-Khwarizmi daripada bahasa Arab kepada bahasa Latin pada tahun 1126.
  22. Menyedari hakikat bahawa penterjemahan memainkan peranan yang amat besar dalam membangunkan sesebuah tamadun, maka Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan diperkasa untuk meneruskan kelestarian bidang penterjemahan ini. Sehubungan itu, pihak kerajaan akan memberikan sokongan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia bagi memperkaya kepustakaan berbahasa Melayu sebagai wahana pemikiran bangsa Malaysia di samping mengantarabangsakan karya kebangsaan secara berterusan melalui aktiviti penterjemahan supaya setanding dengan karya yang diiktiraf dunia.
  23. Setakat ini didapati beberapa karya ulung sudahpun diterjemah ke dalam bahasa Melayu antaranya Siddharta, A History of Mathematics, Culture and Imperialism, The End of History and The Last Man, Revival and Reform in Islam termasuklah The Great Ideas. Terkini, saya diberitahu karya tersohor Jalaluddin al-Rumi bertajuk Masnawi yang asalnya dalam bahasa Parsi sedang dibuat penerjemahannya. Dalam pada itu, seperkara yang agak unik, buku tulisan saya bertajuk ‘Menakhoda Zaman’ sedang giat diterjemahkan pula ke dalam bahasa Parsi.
  24. Bagi tujuan menggalak dan merangsang aktiviti terjemahan terutamanya terjemahan karya-karya besar dunia ke dalam bahasa Melayu dan usaha-usaha pengukuhan keupayaan (capacity building), kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan khas kepada ITNM yang mana jumlahnya akan ditentukan nanti. Diharapkan dengan suntikan ini ia akan mampu merancakkan lagi senario terjemahan tempatan.
  25. Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

  26. Akhir kata, saya yakin, dengan mengadakan pertandingan pidato seperti ini, usaha menarik lebih banyak negara untuk menawarkan pengajian bahasa Melayu dapat dicapai. Satu hari nanti kita akan melihat pertandingan ini akan disertai oleh ratusan peserta kerana usaha sebegini mampu melonjakkan bahasa Melayu di persada dunia serta mampu menarik minat pelajar asing mempelajari bahasa Melayu.
  27. Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan semua pihak yang terlibat dalam perencanaan dan pelaksanaan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ini. Saranan saya supaya pertandingan yang mempunyai nilai amat tinggi ini tidak hanya tertumpu kepada penganjuran pertandingan pidato sahaja. Ia seharusnya diperluaskan kepada pelbagai program signifikan yang boleh memberikan nilai tambah kepada pembangunan dan pemerkasaan bahasa Melayu. Mudah-mudahan, usaha ini akan membawa impak yang besar dan bermakna bukan sahaja kepada bahasa Melayu tetapi tentunya negara kita Malaysia.
  28. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya menyempurnakan Majlis Malam Kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010.
Sekian. Wabillahi Taufiq Walhidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches