5 , 2010

Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Ulama’ dan Umara’ Serta Pelancaran Logo Baru Agensi Agama dan Persekutuan dan Negeri


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang mulia saudara pengacara majlis,

YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

YBhg Dato’ Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abd Aziz
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,

Sahibus Samahah Mufti-mufti Negeri,

Ketua-Ketua Agensi Persekutuan dan negeri,
Pengarah-pengarah Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri,
Wakil-wakil pertubuhan NGO’s seluruh Malaysia,
Media-Media Massa dan Elektronik,

Seterusnya para ulama dan umara yang diraikan sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya kita semua dipertemukan dalam suatu majlis yang amat bermakna bagi saya iaitu Majlis Perjumpaan Bersama Ulama’ dan Umara’.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana sudi menjemput saya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya dapat bersama pula berdialog dalam majlis meraikan para ulama’ dan umara’ pada hari ini.

(Gagasan 1 Malaysia)

Para Ulama’ dan Umara’ Sekalian,

3. Sejak April Tahun 2009 yang lalu, sebagai kesinambungan pemimpin-pemimpin terdahulu maka telah bermulalah fasa transformasi Negara. Kala itulah juga kerajaan telah memperkenalkan Gagasan 1 Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan untuk penyatuan dan perpaduan rakyat, menjamin kemakmuran masyarakat dan kesejahteraan Negara. Gagasan ini terbina di atas landasan keikhlasan, satu matlamat ke arah kemajuan Negara secara berterusan yang wajar dipaparkan kepada semua warganegara dengan rasa penerimaan bersama yang bermula dari keikhlasan denyut nadi kita.

4. Gagasan 1Malaysia ini telah mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional, ianya ibarat sekuntum bunga yang harum, menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan rakyat, mencuar aspek integrasi antara kaum dan mengwujudkan 1 bangsa Malaysia serta menjadi pemacu mempercepatkan pencapaian Wawasan 2020. Percayalah, perpaduan hanya boleh dicapai andai seluruh rakyat memahami, menghayati dan mengamalkan nilai murni, teras aspirasi serta asas perpaduan yang terkandung di dalam Gagasan ini.

5. Lantaran itu, saya ingin tegaskan di sini bahawa Prinsip Keadilan Sosial yang menjadi salah satu Teras Perpaduan dalam gagasan ini adalah amat bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah : ayat 8, yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran ; Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan “.

6. Ayat ini begitu jelas menunjukkan bahawa perintah keadilan tidak melihat pada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin kaya atau perbezaan agama. Ini amat bertepatan dengan Gagasan1 Malaysia yang membela semua rakyat Malaysia yang terdiri dari kaum melayu, cina, india dan kaum-kaum yang lain.

7. Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia ini juga adalah selaras dengan semangat yang ditunjukkan melalui Sirah pembentukan Negara dan Ketamadunan Islam terawal di Madinah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan Islam yang berpayung di bawah pemerintahan Negara Madinah.

Daripada riwayat Bukhori yang bermaksud; Diriwayatkan daripada Jabir Abdullah r.a. berkata:

Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah S.A.W. berdiri. Lalu kamipun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah S.A.W.; “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah S.A.W., “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah”.

Hadis ini memberi isyarat bahawa keadaan simati sama ada seorang muslim atau bukan muslim perlu dihormati. Ianya memberi maksud bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum kerana Islam ini menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih kemanusiaan sesama manusia yang lain.

8. Sesungguhnya, tidak dinafikan lagi bahawa di saat ini jenama 1Malaysia telah menjadi ungkapan popular di kalangan rakyat. InsyaAllah ianya akan menjadi pemangkin kepada pengwujudan Negara bangsa yang dapat membina Malaysia yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Ini adalah kerana keupayaan membina Negara bangsa bergantung kepada perkongsian budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti sesama rakyat.

9. Saya juga mengharapkan agar pihak NGO Islam memainkan peranan dan tanggungjawab sosial dalam membantu kerajaan menjelaskan dasar-dasar kerajaan termasuk menyebarluaskan Gagasan 1 Malaysia ini sehingga ke peringkat akar umbi. Ketahuilah bahawa kerajaan sentiasa mengiktiraf peranan NGO Islam ini dalam membantu dan mengerakkan program dan aktiviti dalam membangunkan ummah dan mempertahankan agama Islam.

10.***Sehubungan dengan itu, pihak Kerajaan bercadang untuk memberikan Sumbangan Kewangan kepada beberapa NGO Islam bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti masyarakat dan dakwah di Negara ini. Saya berharap dengan pemberian sumbangan kewangan ini nanti, NGO dapat bersama-bersama kita merealisasikan agenda nasional dan pembangunan ummah secara holistik dan bersepadu. InsyaAllah.

(Konsep Wasatiyah Sebagai Penjana 1 Malaysia 1 Ummah)

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

11. Dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia yang lebih memfokuskan hala tuju umat Islam di negara ini, satu konsep yang bersifat komprehensif dan bersepadu perlu dirintiskan selaras dengan tuntutan Agama Islam bagi menangani pelbagai isu dan masalah semasa yang berlaku.

12. Justeru itu, maka satu konsep yang dikenali sebagai ‘Wasatiyah’ yang bermaksud sederhana, pertengahan dan seimbang perlu dihayati dan diamalkan oleh umat Islam. Konsep Wasatiyah ini akan melahirkan 1 ummah yang progresif, yang berpaksikan kekuatan keimanan kepada Allah SWT dan tanpa mengabaikan kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa, agama dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

13. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud :

“Dan demikian pula kami telah jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pertengahan, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah).”

Dalam ayat ini, umat Islam disebut sebagai “umat pertengahan” (Ummatan Wasatan) iaitu pertengahan segala pembawaannya, tidak melampaui dan tidak keterlaluan dalam menganut kepercayaannya, demikian juga akhlak dan amalannya samada soal dunia dan akhirat. Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya berimbang dalam segala perkara dan perbuatan, tidak berlebihan dan tidak pula berkurangan.

14. Justeru, konsep Wasatiyahatau pertengahan ini adalah baik dan sangat digalakkan oleh Islam, kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian. Maka umat Islam tidak boleh rigiddan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan.

15. Sememangnya, konsep Wasatiyah ini menekankan amalan ajaran Islam secara sederhana, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.

16. Bersesuaian dengan slogan pencapaian diutamakan, maka konsep Wasatiyah ini akan merealisasikan ajaran Islam yang lebih komprehensif dan syumul serta berimbang antara pelbagai tuntutan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh iaitu sebuah negara yang maju dan disegani serta bertoleransi dan berimbang dari segenap bidang. InsyaAllah.

(Peranan Ulama’ dan Umara’ Dalam Membangun Negara)

Saudara dan saudari sekalian,

17. Saya amat yakin bahawa peranan dan tanggungjawab ulama’ dan umara’ terhadap pembangunan negara sudah terbukti semenjak kita mencapai kemerdekaan. Ulama’ berperanan dalam memberi penerangan, nasihat, penjelasan dan keputusan, manakala Umara’ pula berperanan sebagai agen pelaksana di jabatan, agensi kerajaan bagi mengadakan program-program membina dan membangunkan ummah selaras dengan tuntutan ajaran Islam.

18. Hasilnya, negara kita kaya dengan barisan pemimpin yang dinamik dan warga sektor perkhidmatan awam yang komited dan berintegriti sehingga mencapai tahap pembangunan modal insan yang membanggakan dalam memajukan negara dan masyarakat.

19. Menyedari hakikat inilah, maka kerajaan sentiasa menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan para ulama’ dan umara’ sebagai agen perubahan dan penyalur maklumat yang sebenar dan pembentuk atau pembimbing kepada masyarakat yang berdaya maju dan progresif.

20. Sejajar dengan itu, maka para Ulama’ harus tuntas mentransformasi dan memahami secara mendalam pengertian terminologi yang berkaitan dengan politik antarabangsa, serantau dan peringkat nasional seperti, globalisasi, neo-kolonialisme atau imeprialisme dan skala pengaruh gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik dan ekonomi umat. Tanpa kefahaman yang mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan. Untuk itu warga ulama wajar menjadi warga dunia yang serba interconnected, paling hampir dengan sumber maklumat terkini dan menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir.

21. Sebagai contohnya, bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah atau berada di tahap kemiskinan, institusi zakat boleh ditransformasi formulanya dalam memperkasakan sistem kutipan zakat secara lebih aktif, efisien dan holistik di setiap negeri. Jika hasil kutipan lebih meningkat tinggi ianya akan membantu meningkatkan kuantiti bantuan terhadap pelajar miskin, warga tua yang tiada pendapatan tetap dan orang kurang upaya yang tidak berkemampuan, mendapat kehidupan yang lebih sempurna dan selesa sama ada di bandar atau di luar bandar.

22. Seterusnya dalam konteks menangani krisis ekonomi global, para ulama’ wajar duduk semeja memberi pandangan dan merumuskan dasar-dasar ekonomi yang lebih adil, Islamik dan melindungi nilai-nilai moral dan kemanusiaan. Para ulama juga hendaklah bersikap proaktif untuk mengukuhkan budaya murni dan harmoni dalam lapangan politik, ekonomi, teknologi, informasi dan lain-lain demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan di luar negara.

23. Manakala bagi pihak masyarakat pula, kita hendaklah sentiasa berdamping dengan ulama’, mempelajari dan menimba ilmu dari mereka, sekiranya timbul sesuatu isu atau tuduhan berkaitan isu agama, hendaklah terus bertemu atau menghadiri majlis penerangan dan penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku dari sumber yang tepat dan sahih, bukan pergi mencari sumber maklumat lain yang tidak diketahui asas dan kebenarannya.

24. Justeru itu, maka para ulama’ mestilah konsisten mempersiapkan diri dengan mengikuti perkembangan semasa, tekun mengkaji dan memahami betul-betul sesuatu perkara yang baru timbul agar dapat menanganinya dengan baik dan dapat mengeluarkan fatwa atau pandangan yang selaras dengan zaman dan bertepatan dengan Syariah Islam tanpa menimbulkan kontroversi dalam masyarakat.

25. Di samping itu, umara’ hendaklah sentiasa bertakwa kepada Allah S.W.T serta berakhlak mulia dan mempunyai tahap kecergasan yang mencukupi. Para umara‘ mestilah mempunyai ilmu dan daya pemikiran yang tinggi dan terkehadapan. Sentiasa bersikap tegas dan amanah dalam menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui, adil dan bertimbangrasa terhadap seluruh rakyat yang dipimpinnya dan mampu menterjemahkan prinsip Islam dalam pentadbiran negara samada diperingkat individu atau masyarakat.

(Menyemarak budaya KPI, NKRA dan inovasi ummah)

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

26. Sememangnya Kerajaan sentiasa memperkenalkan strategi dan pelan tindakan yang perlu bagi memenuhi kehendak rakyat yang terdiri dari pelbagai agama, kaum dan kepercayaan di Negara ini menjelang 2020. Realitinya pada 28hb April 2009, saya telah mengutarakan Key Performance Indicator (KPI) atau Petunjuk Prestasi Utama, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperi kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam termasuk anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.

27. Sejurus selepas itu pula, kerajaan mengumumkan Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merangkumi aspek mengurangkan jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar Bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

28. Tidak cukup dengan itu, memasuki tahun 2010 maka Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah dilancarkan baru-baru ini bermatlamatkan untuk meningkatkan kualiti khidmat awam dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. GTP mempunyai dua matlamat,pertama untuk merubah kerajaan kearah lebih efektif dan bertanggungjawab dan kedua, untuk melonjakkan semua peringkat masyarakat ke tahap yang maju,bersatu padu, selamat dan adil dengan kualiti kehidupan tinggi. Kedua-dua matlamat itu selari dengan misi Negara untuk mencapai Wawasan 2020, iaitu menganjak Malaysia menjadi Negara serba maju dengan ummah yang progresif dan berpendapatan tinggi.

29. Kerajaan juga telah mengisytiharkan Tahun 2010 merupakanTahun Inovasi dan Kreativiti. Justeru pada peringkat nasional pelbagai dasar, strategi dan inisiatif baru diperkenalkan, termasuk pelancaran Pusat Inovasi Negara. Banyak program direncana untuk membolehkan model ekonomi baru Negara dipacu berasaskan kepada kreativiti, inovasi dan nilai tinggi. Selain itu, pelbagai agensi dan seluruh warga Malaysia perlu memahami bahawa langkah kerajaan menjadikan 2010 sebagai Tahun Inovasi mempunyai pengertian lebih luas daripada sekadar slogan, atau azam tahun baru. Inovasi perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan, sektor dan organisasi untuk membentuk ekosistem inovasi secara berterusan.

30. Saya menyeru kepada peneraju agensi-agensi agama di Negara ini, mulakan langkah transformasi dengan mengadakan perancangan program yang lebih inovasi, dinamik, berdimensi baru,lebih segar dan bernafas baru. Anjakkan minda inovasi kita dengan melaksanakan program yang dapat menarik golongan muda mendekati Islam dan mampu mengamalkannya dengan ajaran Islam yang sebenar.

31. ***Saya ingin mencadangkan beberapa pendekatan inovasi dan kreatif dengan mengadakan Bulan Inovasi Islam. Kita akan melaksanakan Karnival Inovasi Islam (KARNIVAL) di setiap bahagian atau Parlimen. Pamerkan kegemilangan tamadun Islam sejagat dengan menampilkan tokoh-tokoh sains dan inovasi islam seperti Al-Khawarizmi, Al-Mas’udi, Jabir Ibnu Hayyan, Ibnu Bajjah, Ibnu Al-Nafis, Ibnu Haitham dan ramai lagi dengan ciptaan-ciptaan idea sains dan inovasi mereka yang telah mengubah pengiktirafan barat terhadap ketokohan ilmuwan dan saintis Islam dan telah mencetus peradaban dan kegemilangan tamadun Islam. Hebahkan kepada rakyat mengenai budaya inovasi melalui institusi agama, zakat, baitul mal, masjid inovasi dan sebagainya dengan memperkenalkan produk inovasi seperti inovasi Iqra’, taranum interaktif, produk syariah berinovasi baru dan produk perbankan Islam yang lebih berinovasi yang mampu memberi faedah maksima kepada rakyat.

32. Harapan saya agar ianya menjadi perintis, pencetus dan motivasi di samping akan menyerlahkan bakat rakyat kita dengan menampilkan produk-produk inovasi terbaru dan terkini yang mampu mendorong rakyat sentiasa berinovasi dan berkreativiti untuk melahirkan ummah progresif yang berpencapaian tinggi. Yakinlah, pihak kerajaan akan sentiasa meraikan setiap inovasi dan kreativiti daripada rakyat.

33. Sememang banyak inisiatif baru memerlukan perubahan. Kita perlu berubah untuk menjadi bangsa inovasi dan mampu menjadi juara peringkat global. Kita juga perlu berubah menjadi warga organisasi yang lebih produktfi dan inovatif. Hakikatnya kita tidak perlu menunggu tempoh tertentu untuk berubah: akhir tahun atau awal tahun. Kita perlu berubah mulai sekarang, apabila kita merasakan diri kita tidak mampu lagi berubah, bermakna kita akan ketinggalan, sekali gus akan terlepas peluang untuk menjadi pemangkin dan penakhoda zaman.

(Menangani Isu dan Permasalahan Semasa Ummah)

Saudara dan saudari sekalian,

34. Dalam menangani isu agama dan permasalahan semasa umat Islam. Kita seharusnya tidak memandang ringan isu berkaitan agama yang akan mencetuskan kontroversi antara agama dan kaum. Misalnya isu kalimah Allah sejak awal tahun ini benar-benar menguji sejauhmana bijaksananya kita untuk menanganinya. Insiden cubaan membakar beberapa gereja dan surau, dan yang terbaru insiden kepala khinzir diletakkan di perkarangan dua buah masjid. Kejadian ini dilihat sebagai cubaan pihak tertentu untuk mengugat kestabilan dan hubungan kaum di Negara ini.

35. Ingatlah, bahawa setelah kita melewati 40 tahun episod rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, masyarakat negara ini tidak pernah berputus asa untuk menjadikan 1 bangsa Malaysia sebagai realiti. Dengan bermodalkan toleransi sesama bangsa, maka pelbagai cabaran agama dan kaum telah berjaya kita tangani secara berhemah. Buktinya, kesepaduan sosial masih utuh dan kukuh di negara ini sekalipun setiap rakyat yang tergolong dalam kelompok masing-masing masih mempunyai isu dan masalah yang belum selesai. Kita wajar menyelesaikan dengan hikmah dan berhemah terhadap isu-isu yang dicetuskan supaya tidak menjadi provokasi terhadap agama lain.

36. Selaras dengan Gagasan 1 Malaysia, kita hendaklah bijaksana mengenal pasti asas untuk meningkatkan perpaduan melalui kemajmukan yang ada. Bagi mengekalkan keamanan dalam suasana yang harmoni, perkara-perkara yang boleh meningkatkan persefahaman wajar disuburkan dan mengelak sesuatu yang boleh menimbulkan persengketaan. Perkara-perkara yang bersifat kontroversi sangat mudah mendatangkan reaksi dan salah faham malah berpotensi mencetuskan suasana konfrontasi.

37. Ingatlah lipatan sejarah lampau yang banyak membuktikan bahawa peperangan dan pertentangan bermula daripada perkara kecil. Sedarilah bahawa api yang besar lagi memusnahkan bermula daripada bara-bara kecil yang gagal dipadamkan.

38. Justeru semua pihak perlu memahami implikasi negatif yang boleh dicetuskan daripada perkara-pekara yang bersifat kontroversi tersebut. Sifat tidak mahu berganjak semata-mata untuk mempertahankan ego hanya akan mengakibatkan kesemua pihak menanggung rugi. Kembalikanlah kaedah rundingan dan berdialog secara harmoni antara pihak-pihak yang terlibat dalam setiap isu yang berkaitan. Pertingkatkan minda yang positif untuk mencapai keputusan dan kata sepakat tanpa menjejaskan keharmonian insan dan perpaduan. Yakinlah bahawa perpaduan 1 Ummah akan dicapai melalui sifat persefahaman dan saling menghormati di antara satu sama lain.

(Hubungan Diplomatik Malaysia Dengan Dunia Islam dan Penganjuran Acara Islam Peringkat Antarabangsa)

Tuan-tuan dan Puan-Puan sekalian,

39. Sudah terbukti sebelum ini bahawa kemampuan kerajaan mengembangkan syiar Islam dan ironinya telah berjaya membentuk Malaysia menjadi sebuah Negara yang dihormati dunia. Dalam hubungan diplomatik dengan negara luar termasuk Arab Saudi, rasa hormat mereka kepada Malaysia adalah cukup tinggi.

40. Ini jelas dalam lawatan baru-baru ini, apabila Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdul Aziz Al Saud bukan sahaja menganugerahkan kepada saya Anugerah Raja Abdul Aziz Kelas Pertama, malah menyatakan hasrat baginda untuk melihat Arab Saudi dan Malaysia bekerjasama dengan lebih erat dalam pelbagai bidang. Saya juga menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai usaha baginda menganjurkan dialog antara agama di peringkat antarabangsa.

41. Sebab itulah, saya sendiri menyifatkan anugerah itu satu manifestasi tertinggi hubungan yang sangat akrab antara kedua-dua Negara Islam ini. Kerjasama ini amat penting bagi memastikan satu hubungan erat dapat diwujudkan bukan sahaja demi kepentingan umat Islam di Arab Saudi dan Malaysia tetapi juga ummah sejagat.

42. Pada dasarnya, lawatan-lawatan diplomatik ini sememangnya amat penting bagi membantu menyelesaikan konflik di Negara lain. Dalam usaha memerangi keganasan, isu minoriti penduduk Islam di Negara bukan Islam misalnya Malaysia dilihat begitu tegas dan komited dalam pendirian menentang sebarang bentuk tindakan ganas tidak kira samada ia dilakukan oleh Islam mahupun bukan Islam. Kita mahu memastikan hubungan antara Islam dengan agama lain sentiasa baik.

43. Hakikatnya, dalam keadaan umat Islam menghadapi pelbagai cabaran termasuklah pandangan negatif terhadap agama Islam, kewujudan hubungan diplomatik antara Negara luar secara erat ini amat penting.

44. Sememangnya, Negara Malaysia telah lama harum di persada antarabangsa. Kita dikenali kerana telah berjaya menganjurkan acara-acara dan program Islam bertaraf dunia dan antarabangsa. Antara program antarabangsa yang kita anjurkan sejak sekian lama ialah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa sejak tahun 1961 sehingga tahun 2009 yang telah berlangsung sebanyak 51 Kali.

45. Sepanjang penganjuran Majlis Tilawah tersebut, para Qari dan Qariah Malaysia telah ramai menjadi Johan dalam acara berprestij itu. Selama ini, para Qari dan Qariah yang menjadi johan Tilawah Al-quran Peringkat Antarabangsa hanya diberi hadiah ketika berlangsungnya majlis tersebut. Amat wajar bagi pihak kerajaan menghargai sumbangan mereka ini yang telah mewakili Negara sekaligus memahat nama Malaysia menjadi juara peringkat antarabangsa.

46. ***Selaras dengan konsep pencapaian diutamakan, maka dengan ini, saya mengumumkan pemberian insentif berupa imbuhan wang tunai sebanyak RM2,000 secara tetap setiap bulan kepada setiap Qari dan Qariah yang telah menjadi Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Bayaran imbuhan tersebut akan mula diberikan mulai bulan Oktober 2009 sehingga ke akhir hayat mereka. Ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf dan mengalakkan masyarakat Islam membudayakan al-quran dengan berusaha mempelajari, membaca, menghayati dan seterusnya mengaplikasikan ajaran Al-Quran dalam kehidupan harian.

(Kepentingan Pendidikan Islam)

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

47. Sesungguhnya Al-Quran dan hadis Nabi S.A.W. sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan ilmu pengetahuan fardu ain dan fardu kifayah kerana jatuh bangunnya sesuatu ummah itu bergantung kepada kekuatan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh masyarakat. Kekuatan masyarakat ini dapat ditegakkan dengan jayanya berdasarkan kemantapan ilmu yang dihayati sepenuhnya tanpa berlaku sebarang bentuk penyelewengan yang boleh merugikan masyarakat dan negara.

48. Sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Mujadalah ayat 11:

Yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (dari kalangan kamu) beberapa darjat”.

49. Iktibarnya, budaya ilmu yang merupakan salah satu nilai aspirasi 1 Malaysia merupakan teras kepada pembangunan manusia. Dalam konteks ini, penekanan budaya ilmu menunjukkan Islam sangat menitikberatkan kepada kemajuan dan penghayatan ilmu pengetahuan. Ianya telah mencipta tamadun besar yang telah memberi impak amat bernilai terhadap perkembangan ilmu pengetahuan dan kesejahteraan dunia serta umat sejagat.

50. Kepentingan mendalami ilmu pengetahuan sebagai asas pendidikan adalah demi kepentingan umat Islam yang banyak didepani pelbagai permasalahan baru dan isu berkaitan Islam semasa, syariah, perundangan, perubatan, ekonomi dan sebagainya.

51. ***Berlandaskan iltizam itu, di kesempatan ini saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan akan memberikan Biasiswa Yayasan 1 MDB mulai tahun 2010 ini kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama yang cemerlang untuk menyambung pengajian Peringkat Ijazah Sarjana Muda Bidang Perubatan di Mesir. Kerajaan mengharapkan agar kita dapat melahirkan para Doktor yang berintegriti, mampu menguasai ilmu al-quran dan sains dan menjadi tokoh inovasi perubatan kepada masyarakat dan Negara.

Penutup

Sidang hadhirin-hadhirat yang dihormati sekalian,

52. Saya mengharapkan semoga perjumpaan kita pada hari ini merupakan langkah baru kearah mempertingkatkan dan memantapkan lagi jalinan dan rangkaian kerjasama di antara ulama’ dan umara’ di semua agensi pusat dan negeri bagi mencapai kecemerlangan serta kesejahteraan masyarakat dan negara. Seterusnya matlamat negara kearah melahirkan 1 Ummah yang dinamik dan progresif dapat direalisasikan.

53. Perhimpunan kita pada hari ini akan menjadi bukti kesatuan seluruh para ulama’ dan umara’ demi memartabat dan memperkasakan institusi ulama’ dan umara’. Jelaslah peranan kita semua amat diperlukan untuk membina kekuatan dan mengangkasa umat sebagai Khaira’ Ummah, iaitu umat terbaik yang hidup bersatupadu dan mampu menakhoda zaman di bawah kesepakatan gagasan 1 Malaysia 1 Ummah.

54. Pengakhir kalam, marilah kita bersama-sama berdoa dan bertekad untuk menjadi ummah progresif yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Negara. Jadikanlah al-Quran sebagai pedoman hidup untuk meningkatkan ketakwaan kita dalam mengharungi gelombang dan lautan kejayaan di dunia dan di akhirat. Insya-Allah. Berlandaskan doa dan harapan tersebut, saya dengan rendah hati dan penuh keinsafan, dengan kalimah ‘BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM’ saya merasmikan ‘Majlis Perjumpaan Bersama Ulama’ dan Umara’ dan Pelancaran Gagasan 1Malaysia dan Logo 1 Ummah Peringkat Agensi-Agensi Agama Seluruh Malaysia.

Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatuwallahi wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches