Menjawab Soalan Parlimen (Royalti Petroleum)

By November 4, 2009 Speeches

Soalan mengenai tuntutan royalti petroleum di Kelantan yang diajukan oleh ahli-ahli Yang Berhormat Kubang Kerian, Tumpat, Rantau Panjang dan Kuala Krai.

Jawapan :
Tuan yang Di Pertua,

Dengan izin Yang Di Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab soalan Ahli Yang Berhormat Kubang Kerian pada hari ini bersama dengan soalan-soalan berkaitan isu tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat daripada Tumpat pada 12 November, Ahli Yang Berhormat daripada Rantau Panjang pada 25 November dan Ahli Yang Berhormat daripada Kuala Krai pada 26 November 2009, secara sekali gus memandangkan bahawa ia berkisar mengenai perkara yang sama.

Tuan Yang Di Pertua,

Kerajaan telah meneliti isu tuntutan royalti petroleum oleh Kerajaan Kelantan dengan mendalam dan terperinci dari pelbagai sudut, termasuk sudut perundangan berkaitan kuasa-kuasa Kerajaan serta pengurusan hasil petroleum negara.

Dari segi perundangan, Negeri seperti Kelantan dan Terengganu hanya mempunyai hak untuk menuntut pembayaran royalti bagi sumber petroleum yang dihasilkan daripada perairan Negeri tersebut. Dalam hal ini, perairan Negeri masing-masing adalah ditakrifkan sebagai kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut (low water mark, dengan izin) atau pesisir pantai negeri tersebut.

Pada masa ini, tidak ada pengeluaran petroleum dalam kawasan perairan Negeri Kelantan dan Terengganu. Oleh itu, dari segi perundangan, Kerajaan Negeri Kelantan tidak ada hak untuk menuntut pembayaran royalti petroleum, seperti juga Negeri Terengganu.

Meskipun peruntukan perundangan ini adalah jelas, Kerajaan Persekutuan, sebelum ini, telah memperuntukkan wang ehsan untuk Negeri Terengganu, dengan mengambil kira pengeluaran petroleum yang terletak di luar perairan Negeri tersebut. Peruntukan wang ehsan juga telah dipertimbangkan berasaskan keperluan pembangunan Negeri Terengganu serta tahap pendapatan rakyatnya.

Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan pertimbangan yang adil dan saksama diberikan kepada kesemua Negeri, agar tiada lapisan rakyat yang terpinggir dalam menikmati manfaat pembangunan Negara. Oleh itu, Negeri Kelantan juga wajar diberi pertimbangan yang sama oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya terdapat aktiviti pengeluaran petroleum di luar perairan Negeri tersebut, sungguhpun dari segi perundangan, Negeri Kelantan tidak berhak untuk menerima apa-apa bayaran.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil keputusan untuk menyediakan peruntukan wang ehsan bagi Negeri Kelantan, sama seperti Negeri Terengganu. Keputusan ini juga mengambil kira keperluan untuk terus membangunkan Negeri Kelantan dan juga meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, selaras dengan arus pembangunan perdana Negara.

PETRONAS telah memaklumkan Kerajaan bahawa pada masa ini hanya terdapat sebuah medan petroleum yang mengeluarkan hasil (producing field, dengan izin) dan ianya terletak di luar perairan Negeri Kelantan. Medan tersebut adalah medan Bumi Selatan yang terletak di dalam Blok PM301.

Pemberian wang ehsan kepada Negeri Kelantan akan mengambil kira pengeluaran dan penjualan petroleum daripada medan Bumi Selatan. Penyaluran wang ehsan tersebut akan dibuat setelah maklumat terperinci mengenai jumlah pengeluaran gas serta tatacara berkaitan dimuktamadkan. Peruntukan pertama wang ehsan bagi Negeri Kelantan dijangkakan pada tahun 2010.

Bagi memastikan pengagihan wang ehsan ini dapat dinikmati manfaatnya secara langsung oleh rakyat Negeri Kelantan, peruntukan wang tersebut akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan serta program pembasmian kemiskinan dalam Negeri Kelantan yang dilaksanakan secara telus oleh Kerajaan Persekutuan setelah berunding dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

Keputusan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat daripada pembangunan negara, selaras dengan pendekatan inklusif dan semangat Satu Malaysia yang diamalkan oleh Kerajaan.

Sekian, terima kasih.