15 , 2014

PENYAMPAIAN ANUGERAH PERDANA BELIA DAN NEGARA SEMPENA HARI BELIA NEGARA 2014


Yang Berhormat En. Khairy Jamaluddin

Menteri Belia Dan Sukan

Yang Berhormat Datuk M.Saravanan

Timbalan Menteri Belia Dan Sukan

Yang Berbahagia Datuk Jamil Bin Salleh

Ketua Setiausaha

Kementerian Belia Dan Sukan

Yang Berusaha Puan Hatipah Binti Ibrahim

Ketua Pengarah

Jabatan Belia Dan Sukan Negara

Yang Berusaha Saudara Mohamed Maliki Bin Mohamed Rapiee

Presiden Majlis Belia Malaysia

Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Sri-Dato’ Sri,

Dato’-Dato’, Datin-Datin,

Tuan-Tuan, Puan-Puan

Petugas-Petugas Media

Dan Belia-Belia Pewaris Negara Sekalian,

1. Mendahului segalanya, marilah kita sama-sama merenung firman Allah SWT dalam surah Al-Kahfi, ayat 13 yang berbunyi:

“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk”.

2. Berpandukan kepada ayat di atas, antara ciri-ciri pemuda yang akan mendapat kemenangan ialah mereka yang kukuh keimanan dan mendapat petunjuk daripada Allah SWT.

3. Berbekalkan pedoman-pedoman ini, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan keredhaan-Nya jua, maka dapatlah kita semua hadir pada petang ini, bagi meraikan Sambutan Hari Belia Negara 2014.

4. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua, khususnya Kementerian Belia dan Sukan atau KBS, dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia atau MBM, kerana telah berjaya dalam menganjurkan sambutan Hari Belia Negara 2014 yang penting ini.

5. Alhamdulillah, saya juga amat berbesar hati kerana sudah 50 tahun, kita tidak pernah sekalipun gagal dalam meraikan sambutan Hari Belia Negara sejak dari tahun 1964 lagi. Ini membuktikan Kerajaan yang sedia ada sangat komited dalam agenda besar bagi membangun dan memperkasakan belia di negara ini.

6. Hakikatnya, apa yang lebih membanggakan, saban tahun kita meraikan Hari Belia Negara di Malaysia, mendahului ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB pada tahun 2000. Di mana, dalam Resolusi PBB itu yang diluluskan pada tahun 1998, telah mengisytiharkan bahawa pada 12 Ogos setiap tahun sebagai Hari Belia Antarabangsa.

7. Saya percaya, dengan kehadiran lebih daripada 1,000 orang belia yang memenuhi Dewan Putra A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hari ini, melambangkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi para belia dalam mencorak dan menentukan nasib masa depan negara. Bagi saya belia bukan sekadar harapan bangsa, tidak hanya merupakan aset atau rakan kongsi kepada pembangunan negara, malah nilaian belia adalah lebih daripada kesemuanya itu. Justeru, sesuailah dengan temanya pada kali ini, “Dari Belia Untuk Belia”.

Para Belia Yang Dikasihi,

8. Sesungguhnya, selama puluhan tahun sambutan Hari Belia Negara ini telah menjadi platform kepada generasi muda dan belia untuk mempamer dan menunjukkan pelbagai bakat, kebolehan, kreativiti dan inovasi mereka dalam pelbagai bidang kehidupan.

9. Namun saya difahamkan pada tahun 2014 ini, perayaan sambutan Hari Belia Negara agak sedikit berbeza dan ada kelainannya. Ini kerana, pada tahun ini sambutannya bermula dengan sambutan di peringkat daerah, kemudiannya disambut pula di peringkat negeri dan seterusnya sama-sama berkumpul di Putrajaya mulai pada hari ini, sehingga ke kemuncaknya iaitu pada Festival Belia Putrajaya, dari 23 hingga 25 Mei 2014 nanti.

10. Tentunya, sambutan yang dilaksanakan di pelbagai peringkat ini pastinya mampu membangkitkan kesedaran warga belia di daerah-daerah untuk menyertai gaya hidup yang lebih positif dan merebut peluang-peluang yang disediakan untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Bertepatanlah dengan slogannya pada kali ini iaitu “Jom Ke Putrajaya”.

Para Belia Yang Dikasihi,

11. Sesungguhnya, hari ini adalah hari kemenangan. Kemenangan bagi pendokong panji dan aspirasi keutuhan negara. Kerana belia adalah lambang keutuhan dan kesinambungan bagi sesebuah negara bangsa. Makanya, di pundak mereka terletaknya harapan menggunung dalam menentukan rentak dan halatuju negara pada hari muka.

12. Hari ini juga adalah hari perubahan atau pengislahan diri belia ke arah kebaikan untuk terus maju ke hadapan. Hari ini jugalah merupakan hari kecemerlangan bagi belia yang senantiasa mempunyai tekad dan memasang azam untuk terus berjaya dalam kehidupannya pada masa kini dan akan datang. Semestinya, Hari Kemenangan, Hari Pengislahan Diri dan Hari Kecemerlangan ini akan dinikmati, sekiranya para belia mempunyai kekuatan fizikal, idealisme yang menebal dan teguh pendiriannya dalam membangun, memakmur serta menerajui kepemimpinan negara pada masa kini dan akan datang.

Para Belia Yang Dihormati,

13. Menyonsong populasi negara, warganegara Malaysia adalah seramai 27.4 juta pada tahun 2013. Manakala golongan belia pula pada hari ini mewakili seramai 13.6 juta orang atau lebih 48 peratus daripada jumlah sebenar penduduk Malaysia. Tentunya, angka ini merupakan satu jumlah yang sangat signifikan dalam mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara sama ada yang bersifat semasa atau berkisar tentang masa depan.

14. Bertolak daripada itu, kerajaan sentiasa sedar dan prihatin kepada proses pembesaran dan kehidupan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan dan memikul amanah demi kemajuan dan kemakmuran masa depan Malaysia yang kita cintai ini.

15. Sebenarnya, kerajaan berusaha untuk melibatkan generasi belia secara lebih berkesan dalam geopolitik tanahair sebagai pembuat dasar untuk negara, membela ekonomi belia dan pembangunan sosial termasuk kesihatan secara serius.

Ini adalah selari dan seiring dengan prinsip Strategi Untuk Belia di bawah Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nation Development Programme : Youth Strategy bagi tahun 2014 hingga 2017. Ia bertemakan “Memperkasakan Belia Demi Masa Depan yang Lebih Terjamin” atau “UNDP YOUTH STRATEGY 2014-2017: EMPOWERED YOUTH, SUSTAINABLE FUTURE.”

16. Berkait itu, PBB melaksanakan pendekatan ini dengan berteraskan kepada :-

a) Generasi muda lebih ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan berbanding dengan generasi lain.

b) Generasi belia yang berusia di bawah usia 35 tahun sangat kurang mendapat tempat dalam kepimpinan politik.

c) 75 juta dari 252 juta pelarian di dunia adalah berusia di bawah usia 29 tahun.

d) Dianggarkan lebih 780,000 belia berusia 15 hingga 24 tahun mengidap penyakit HIV pada tahun 2012 di seluruh dunia.

Para Belia Yang Dikasihi,

17. Sememangnya, pembelaan generasi belia akan tetap diteruskan. Dewasa ini kerajaan faham dan sedar bahawa ada juga generasi belia kini sedang menghadapi tekanan kos sara hidup yang tinggi akibat daripada pelbagai faktor. Suasana ini terbukti seiring dengan Skor “Kesejahteraan Ekonomi Belia” yang ditunjukkan dalam “Indeks Belia Malaysia” yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) berada pada tahap 46.9 skor.

18. Menyedari hakikat ini, bagi membantu generasi belia dan rakyat yang hidup dalam kemiskinan sama ada di bandar atau di desa serta kebimbangan generasi belia terhadap peningkatan kos sara hidup, maka kerajaan telah menubuhkan Makmal Kos Sara Hidup yang akan diketuai oleh YB Encik Khairy Jamaluddin, yang juga adalah Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Para Belia Yang Dikasihi,

19. Sebagai langkah menangani beberapa isu yang dihadapi oleh generasi belia, Kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif yang bersifat fundamental dengan menyediakan pelbagai tabung latihan dan insentif kepada belia yang ingin melakukan anjakan paradigma dalam kehidupan mereka ke arah keusahawanan.

Misalnya, bagi belia yang terkeluar daripada arus pendidikan formal yang mahukan latihan kemahiran, telah disediakan Tabung Tindakan Strategik Untuk Golongan Muda atau SAY 1Malaysia.

20. Seterusnya, bagi menghimpunkan idea-idea kreatif dan inovasi baharu di dalam mengembangkan perniagaan belia, Tabung Modal MyCreative telah diwujudkan. Manakala, kepada graduan siswazah yang mempunyai keinginan memulakan perniagaan pula, mereka boleh memohon melalui Tabung Usahawan Siswazah. Di samping itu, tabung-tabung dana yang lain seperti Tekun, Amanah Ikhtiar, Bank Pembangunan, PUNB, MARA dan sebagainya akan terus berperanan membantu generasi belia dalam mengejar cita-cita menjadi seorang usahawan.

Para Belia Yang Dikasihi,

21. Baru-baru ini, Kerajaan telah mewujudkan satu inisiatif baharu ke arah transformasi belia Malaysia dengan mewujudkan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia atau MaGIC di Cyberjaya. Inisiatif ini telah dilancarkan semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kira-kira dua minggu yang lalu. Ia bagi membuka peluang kepada golongan muda untuk merealisasikan impian mereka dalam bidang keusahawanan. Penubuhan MaGIC ini bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan yang lebih dinamik.

22. Selanjutnya, khusus kepada belia Bumiputera, Kerajaan telah mengambil pendekatan dengan menubuhkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB di mana ia membantu anak-anak muda yang mempunyai idea yang kreatif dan inovatif terutamanya kepada syarikat “start-up” yang berpotensi. SUPERB menyediakan geran sehingga RM500,000 untuk menyokong idea perniagaan yang inovatif dan kreatif.

23. Bagi memenuhi aspirasi belia dan menyemarakkan lagi semangat kesukarelaan belia, maka 1M4U telah ditubuhkan bagi menyokong aktiviti kesukarelawan dalam kalangan golongan belia.

24. Di samping itu, kerajaan turut memperkenalkan sebuah program bagi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat melalui “Fit Malaysia” yang meliputi aktiviti berjalan, aktiviti larian, aktiviti berbasikal, dan aktiviti kecergasan.

ENAM KRITERIA BAGI MEMPERSIAGAKAN GENERASI BELIA NEGARA HARI MUKA

Para Belia Yang Dikasihi,

25. Sememangnya, belia adalah tonggak kekuatan. Oleh itu, generasi belia di Malaysia perlu dipersiagakan dengan enam kriteria asas yang berteraskan kepada ‘6K’ iaitu: Keilmuan dan kemahiran, Keusahawanan, Kesederhanaan atau wasatiyyah, Kesukarelaan, Kecintaan kepada negara dan kerohanian.

26. Kriteria yang pertama: Keilmuan dan Kemahiran. Abad ini adalah kurun keilmuan dan kemahiran. Kekayaan kini tidak hanya bergantung kepada sumber ‘bahan mentah’ seperti petroleum, kelapa sawit atau sumber galian, semata-mata, tetapi yang lebih penting ialah ‘intellectual capital’ atau modal intelek yang berupa idea, kreativiti dan inovasi termasuk ciptaan-ciptaan baharu. Modal intelek ini yang merangkumi modal ilmu, kemahiran, keupayaan berfikir kreatif dan inovatif adalah pra-syarat kepada kejayaan belia masa kini.

27. Kriteria yang kedua: Keusahawanan. Keusahawanan amat penting dalam membangun dan menjana kekayaan negara. Melalui budaya keusahawanan, kita akan mampu bersaing dan mencipta peluang pekerjaan untuk kerjaya dan masa depan. Justeru, Kerajaan sentiasa memberi pelbagai insentif dan bantuan serta galakan untuk para belia menceburi bidang perniagaan.

28. Kriteria yang ketiga: Kesederhanaan atau wasatiyyah. Para belia hendaklah menjauhi fahaman atau pendekatan yang ekstrim dan melampau yang boleh memudaratkan negara dan diri mereka. Mereka juga perlu berupaya untuk mengelakkan diri mereka daripada terperangkap dalam fahaman liberal atau pluralisme. Justeru, pendekatan yang terbaik adalah berpegang kepada kesederhanaan atau wasatiyyah.

29. Kriteria yang keempat: Kesukarelaan. Hari ini saya melihat budaya kesukarelaan semakin hari semakin malap. Sebab itu, menghasilkan generasi belia yang berjaya, semangat kesukarelaan ini amat penting untuk diterapkan sebagai sebahagian daripada gerak kerja belia yang meliputi aktiviti berpersatuan dan kepemimpinan organisasi.

30. Kriteria yang kelima: Kecintaan kepada negara. Saya ingin melihat para belia yang ada semangat kecintaan yang mendalam kepada tanahair. Mereka yang mempunyai semangat patriotisme ini, tidak mudah terpengaruh dengan anasir tidak sihat.

31. Kriteria yang keenam: Kerohanian. Kerohanian ini adalah nilai-nilai yang baik dan murni serta bersifat sejagat. Nilai-nilai seperti jujur, amanah, ikhlas, kebertanggungjawaban dan kebolehpercayaan, mestilah sentiasa diterapkan di kalangan generasi belia masa kini.

Para Belia Yang Dikasihi,

32. Selanjutnya, Malaysia akan mempengerusikan ASEAN pada tahun hadapan. Justeru, saya juga ingin mengajak semua generasi belia untuk mengorak selangkah ke hadapan dengan melibatkan diri secara aktif bukan sahaja di dalam negara tetapi dalam rantau ASEAN. Saya difahamkan Majlis Belia Malaysia bersetuju memainkan peranan yang lebih aktif dalam kalangan NGO untuk merapatkan hubungan sesama generasi belia dalam kalangan ASEAN, bagi penubuhan Gagasan Komuniti ASEAN yang bakal dilaksanakan pada tahun 2015.

33. Dalam hal ini, bagi kerja-kerja awal perancangan inisiatif yang melibatkan penubuhan sekretariat Komuniti ASEAN di kalangan belia ASEAN oleh Majlis Belia Malaysia kerajaan bersetuju meluluskan sumbangan dana sebanyak RM1.5 juta kepada Majlis Belia Malaysia.

Para Belia Yang Dikasihi,

35. Di kesempatan ini, sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan penghargaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan semua pihak yang menjayakan acara Festival Belia Putrajaya berlangsung pada 23 hingga 25 Mei 2014 kelak.

36. Oleh yang demikian, sama-samalah kita berdoa, moga-moga kita tidak menghasilkan apa yang disebut dalam Al-Quran, surah An-Nisa’, ayat 9, yang mafhumnya, sebagai ‘Zurriatun Dhiafa’ yakni zuriat yang lemah, generasi lesu, layu dan tidak berupaya mendepani cabaran alaf baharu ini. Semoga segala cita-cita murni ini mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT jua.

37. Akhir kalam, dengan lafaz kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim, saya sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2014.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches