26 , 2009

Perasmian Pelancaran Kelab Damai IPTA dan Majlis Penutup Konvensyen Kempimpinan Mahasiswa Islam (ISCO 09)


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam sejahtera.

YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
Menteri Pertahanan selaku Pengerusi DAMAI,

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin,
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia,

YB. Dato’ Saifuddin Abdullah,
Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi,

YB. Timbalan-Timbalan Menteri,

Naib-Naib Canselor Seluruh IPTA,

Para pimpinan dan Mahasiswa,

Saudara dan saudari sekalian.

1. Terlebih dahulu, marilah mengatur syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memungkinkan perjumpaan kita dalam sebuah lagi majlis bagi memanifestasikan komitmen kerajaan terhadap kepemimpinan mahasiswa atau lebih tepat lagi generasi pewaris.

2. Melihat kepada wajah-wajah saudara dan saudari yang hadir pada pagi ini, sebagai saf anak muda yang ampuh telah menyemarakkan keyakinan kita sepertimana pesanan Hukamak Al-Ghazali bahawa, jika golongan belianya baik, maka masa depan sesebuah negara itu, bakal berada di tangan barisan yang boleh dipertaruhkan segala harapan.

3. Sesungguhnya, sepanjang keterlibatan saya dalam dunia politik sejak lebih 34 tahun lalu, bahkan sejak daripada alam kemahasiswaan lagi, saya merupakan ‘a keen student of leadership’. Makanya, apa yang dialami secara peribadi, saya dapati kepimpinan adalah satu subjek yang sungguh menarik, telah dikaji dan dihalusi selama puluhan tahun namun yang uniknya, semua penyelidikan itu belum lagi mampu mengutarakan sebarang kesimpulan yang kamil berkait pengertian sebenar kepimpinan.

4. Tidak kiralah jika kita tinjau sejarah kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad hingga yang membawa kepada tafsiran barat dan moden, kepimpinan umumnya bererti penzahiran hubungan perilaku manusia, pengaruh dan daya tindakan oleh satu kelompok ke arah mencapai matlamat tertentu dengan keyakinan dan kepatuhan.

5. Di satu sudut, konsep kepimpinan yang wujud dalam Islam adalah bersifat bersepadu iaitu menekankan keseimbangan antara kepentingan roh dan jasad. Hatta kestabilan di antara perkembangan spiritual dan pembangunan material bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat menjadi inti pati kepada ajaran agama itu.

6. Kepentingannya sangat jelas diperlihatkan dalam sirah, bilamana para sahabat telah memberi bai’ah kepada Saidina Abu Bakar untuk menjadi Khalifah yang pertama ketika jenazah baginda Rasulullah S.A.W belum pun lagi disemadikan. Ini kerana menurut perspektif Islam, kita tidak boleh membiarkan ummah dalam ketika apa pun berada dalam keadaan tanpa pemimpin dan arah tuju.

7. Jelas sekali, peristiwa tersebut mengesahkan betapa Islam tidak mengambil soal kepimpinan secara enteng-entengan akan tetapi meletakkan keutamaan kepadanya dalam membina ketamadunan dan survival Ummah. Dalam kata lainIslam meletakkan kepimpinan sebagai taklif yakni amanah yang mesti dilaksanakan bukan tashrif yakni kemuliaan semata-mata.

8. Manakala, dari perspektif kepimpinan barat pula melihat agama sebagai penyekat kebebasan pemerintah. Mereka menjadikan sekularisme sebagai pendinding kepada peluasan pengaruh agama. Setiap keputusan yang diambil adalah berdasarkan rasionalisasi manusiawi yang didukung oleh kekuatan ilmu pengetahuan, kesan daripada penyelidikan dan kebebasan berfikir. Kemudiannya tamadun Islam telah tiba dan memberi sinar kepada Barat untuk maju sehinggalah ke hari ini. Tetapi sayangnya kepimpinan Islam pula tidak mampu mengulangi dan meneruskan kegemilangan lalu tersebut dan umat Islam sebaliknya makin menjadi miskin dan mundur.

Saudara dan saudari sekalian

9. Justeru, saya melihat usaha DAMAI mengadakan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam ini adalah sungguh bertepatan dalam usaha mengupas pengertian serta kepentingan kepimpinan sekaligus mencari pemimpin masa depan yang berwibawa. Semuanya ini, untuk menerajui kembali kandil kecemerlangan berasaskan paksi tamadun yang bertunjangkan kekuatan spiritual dan berpancangkan kehebatan kemajuan fizikal.

10. Dalam hal ini, jaminan dari saya sebagai Perdana Menteri adalah, pihak kerajaan akan sentiasa menyokong sepenuhnya inisiatif menggilap pemimpin baru yang dilatih mengikut asas kepimpinan menurut landasan yang betul. Mustahaknya, kita tidak mahu mahasiswa terbabas daripada jalan yang sewajarnya. Kita juga tidak mahu kepimpinan mahasiswa dipengaruhi oleh elemen-elemen yang tidak sihat.

11. Hal yang menyedihkan kita adalah, terdapat di kalangan pimpinan mahasiswa yang dilihat berpotensi tetapi mengetuai gerakan pelajar secara samar sehingga terlibat melakukan pelbagai tindakan agresif, rusuhan dan demontrasi. Ini semua adalah corak kepimpinan yang sudah ketinggalan zaman serta mencemarkan maruah mahasiswa. Sehingga kini Kerajaan mengesan terdapat persatuan-persatuan tidak sihat yang diterajui oleh mahasiswa dan bergerak secara aktif di kampus. Untuk itu kerajaan akan sentiasa memantau perkembangan dan pergerakan mereka dari semasa ke semasa.

Saudara dan saudari para pimpinan dan mahasiswa sekalian

12. Jadinya, seperti disebutkan tadi, penubuhan Kelab DAMAI IPTA ini merupakan salah satu pendekatan mulia yang saya yakin mampu menyediakan lapangan, laluan juga wadah dalam melahirkan bakal-bakal pemimpin masa depan. Bahkan, kaedah pengkaderan pimpinan masa depan anjuran Rasulullah yang amat menitik beratkan tarbiyyah dan disiplin seperti mana Baginda membimbing para sahabat seperti Usamah, Muaz dan Mus’ab perlu menjadi teras kepada usaha-usaha Kelab DAMAI IPTA.

13. Kepada para pimpinan mahasiswa khususnya yang sedang diasah dan diasuh bakat kepimpinannya, saya ingin berpesan bahawa perjalanan hidup saudara dan saudari masih panjang. Ada bezanya antara berpendidikan, berpengetahuan dan memiliki kebijaksanaan. Masa dan pengalaman akan mematangkan saudara dan saudari sekalian dalam menempuh realiti kehidupan di luar sana nanti. Sarjana sekarang bercakap tentang ‘kegraduatan’ (graduateness) dan bukan graduan (graduand). Graduan mungkin hanya menitik beratkan label atau credential, tapi kegraduatan itu mementingkan intipati attribute atau sifat graduate itu dan meritnya. Makanya, kita mahu graduat kita bukan hanya berkebolehan atau berkemahiran untuk memenuhi pasaran pekerjaan tapi, sedar dan turut serta dalam usaha memaju dan membina bangsa dan negara. Inilah tujuan utama pendidikan kita.

14. Pesanan saya yang pertama, untuk menunjang kepimpinan mahasiswa, segala inisiatif hendaklah relevan dengan zaman. Maksudnya, dari segi aktiviti dan program yang dijalankan mestilah mementingkan kepada keperluan belia sebagai klien. Maknanya, janganlah kegiatan mahasiswa bersifat syok sendiri dan lupa kepada asasnya iaitu membantu dan membimbing golongan muda dan rakan se mahasiswa khususnya agar terus berada di landasan yang betul.

15. Keduanya, para pimpinan mahasiswa sewajibnya memenuhkan ilmu di dada. Jadilah seorang mahasiswa yang multilingual, multitask, dan multiskill. Era dunia kini adalah peperangan minda dan bukan lagi ketenteraan atau adu fizikal. Siapa yang hebat penguasaan mindanya adalah juara dan yang lemah akan ketinggalan. Apatah lagi jika kita berada di baris hadapan sebagai pemimpin, kita perlu melengkapkan diri dan mempersiagakan perjuangan dengan persiapan yang secukupnya ini.

16. Oleh itu, saya cuma berharap kita semua dapat berpegang teguh kepada prinsip intellectual honesty dalam menilai dan memperhalusi sesuatu isu. Gunakanlah kewarasan sebagai mahasiswa dalam menapis dan menyaring maklumat. Janganlah pula, kita menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat. Kita faham, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu. Namun tidak ada juga sesiapa yang boleh memonopoli kebenaran atau kebijaksanaan. Sifat ingin mengambil tahu dan memahami politik itu murni tapi hendaklah dibatasi hadnya. Pastinya kita ingin melihat kepimpinan mahasiswa yang dinamik dan subur pemikirannya dalam melontarkan pandangan dan pendapat. Bijak mengkritik tetapi janganlah secara membuta tuli.

17. Pokok pangkalnya, jangan pula begitu mudah dan rapuh sehingga dapat dipengaruhi pemikiran liar yang berlegar di keliling sehingga sudah tidak lagi mempamerkan ciri-ciri insan yang terpelajar. Apa yang paling mustahak adalah, mahasiswa mesti tahu akan tanggungjawab utama berada di bangku pengajian iaitu tugas menuntut ilmu pengetahuan sehingga tamat pengajian dengan cemerlang.

18. Untuk itu, saya menyeru supaya para mahasiswa dan mahasiswi Islam bersama-sama menggembleng tenaga untuk memberi input merealisasikan impian kita dalam melahirkan graduan Islam yang berketerampilan dan juga warga yang proaktif melalui penglibatan dalam Kelab seperti DAMAI ini, selain persatuan-persatuan dan badan-badan lain yang berkaitan.

19. Akhir kalam, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi, Pengerusi DAMAI kerana telah berjaya menggerakkan DAMAI sebagai badan yang berperanan menggerakkan komuniti Islam, terutamanya yang melibatkan Mahasiswa dan Graduan Pengajian Islam.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan penubuhan Kelab DAMAI dan juga menutup dengan Rasminya Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam ISCO’ 2009.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches