Perbarisan dan Perhimpunan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207

By March 26, 2014 Speeches

Bismillahirahmanirahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

YB. Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi,

Menteri Dalam Negeri dan isteri,

YB. Timbalan-timbalan Menteri,

YB. Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar,

Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri,

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar,

Ketua Polis Negara dan isteri,

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Pertama-tamanya, marilah kita bersama-sama mengangkat setinggi-tinggi rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, kita dapat bersama-sama dalam Upacara Perbarisan dan Perarakan Sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 pada pagi ini.

2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia kerana sudi menjemput saya dan isteri bagi turut serta dalam upacara yang penuh bermakna ini.

3. Sesungguhnya, negara tercinta Malaysia tidak mungkin berada pada kedudukan hari ini iaitu sebagai sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi tanpa keamanan dan kestabilan yang dimungkinkan oleh pengorbanan mulia para patriot dari Polis Di Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.

4. Bermula dari zaman darurat, membawa kepada era konfrantasi, Tragedi 13 Mei, era insurgensi dan terkini perang terhadap keganasan, tuan-tuan dan puan-puan serta pendahulu telah dengan setia dan tanpa ragu-ragu menyambut panggilan pertiwi tercinta.

KOMUNITI SEJAHTERA, KOMITMEN KAMI

5. Pengekalan tema Hari Polis ini merupakan langkah yang tepat kerana ia merupakan cerminan peranan pasukan polis terhadap masyarakat.

6. Penjenamaan semula PDRM atau rebranding melalui tema ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ diharap akan dapat terus diselami dan dipraktikkan oleh seluruh warga PDRM, terutama di dalam mendekatkan lagi hubungan dengan masyarakat.

7. Perkara-perkara seperti kesejahteraan, keselamatan, kemakmuran, ketenteraman awam dan keharmonian merupakan tanggungjawab pihak polis. PDRM juga berperanan dalam memastikan setiap individu dipelihara oleh undang-undang dan sistem keadilan.

8. Walaupun begitu, tugas-tugas pencegahan jenayah tidak seharusnya diletakkan di bahu PDRM semata-mata. Setiap individu di dalam masyarakat atau komuniti juga seharusnya memainkan peranan dalam mencegah berlakunya jenayah. Usaha dan matlamat bagi menurunkan kadar jenayah perlulah digembeling bersama.

OPERASI CANTAS KHAS

9. Kerajaan juga ingin mengucapkan tahniah kepada PDRM di atas Operasi Cantas Khas yang mula dijalankan pada 17 Ogos 2013. Pendekatan yang diamalkan melalui Operasi Cantas Khas ini didapati sangat berkesan dan efektif dalam mengurangkan kadar jenayah serta mengawal aktiviti kumpulan kongsi gelap di seluruh negara. Sehingga penghujung 2013, Operasi Cantas Khas ini telah berjaya menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak 6.16 peratus.

SPECIAL TASK FORCE ON ORGANIZED CRIME

10. Hasil daripada kejayaan daripada Operasi Cantas Khas ini, Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan sejumlah 200 perjawatan bagi penubuhan pasukan elit Jabatan Siasatan Jenayah yang dikenali sebagai Special Task Force on Organized Crime atau STAFOC.

11. Saya difahamkan bahawa Pasukan STAFOC ini bertanggungjawab dalam mengurus dan menangani pelbagai operasi merangkumi jenayah berat, jenayah terancang, perjudian, pelacuran, kongsi gelap dan pemerdagangan manusia.

12. Adalah diharapkan dengan penubuhan STAFOC ini, jenayah dapat diturunkan secara signifikan dan seterusnya mampu menzahirkan perasaan selamat dan tenteram di dalam komuniti.

KADAR JENAYAH

13. Secara ringkasnya, bagi tahun 2013, kadar jenayah telah menunjukkan penurunan tidak kira sama ada jenayah indeks, kekerasan mahupun harta benda, jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya.

14. Berdasarkan statistik, jenayah indeks telah menurun sebanyak 4.3 peratus atau 6,607 kes, jenayah kekerasan menurun sebanyak 1.9 peratus (575 kes) dan jenayah harta benda menurun sebanyak 4.9 peratus (6,032 kes).

15. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh mudah berasa selesa. Usaha perlu terus ditingkatkan dan jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak perlu dibentuk bagi memastikan kadar jenayah di negara ini dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minimum, menjelang tahun 2020.

NATIONAL BLUE OCEAN STRATEGY

16. Sejak pelancaran National Blue Ocean Strategy (NBOS) bagi PDRM, pelbagai kejayaan dapat disaksikan yang sekaligus membantu penurunan kadar jenayah di Malaysia.

17. Antara strategi NBOS yang diamalkan adalah seperti penggunaan Pusat Latihan Tentera bagi melatih anggota PDRM. Kerjasama ini telah menghasilkan seramai 2,418 anggota PDRM berjaya menamatkan latihan di Pusat Latihan Tentera di PUSASDA, Port Dickson dan KD Sultan Ismail, Kota Tinggi.

18. Saya difahamkan, PDRM juga telah mengambil inisiatif dengan melantik seramai 200 orang bekas Angkatan Tentera Malaysia sebagai konstabel. Usaha ini dapat meningkatkan anggota PDRM yang berpengalaman.

19. Antara strategi NBOS yang diamalkan oleh PDRM lagi adalah dalam penglibatan suri rumah melalui program keselamatan kejiranan dengan melantik pegawai polis wanita di setiap balai polis. Program ini juga dikenali sebagai AMANITA. Saya difahamkan seramai 167 pegawai polis wanita telah dilantik di peringkat kontinjen atau daerah bagi tujuan ini. Apa yang diharapkan, program seperti ini mampu menarik minat suri rumah dalam aktiviti pencegahan jenayah sekaligus mewujudkan komuniti yang selamat dan aman.

PERISTIWA PESAWAT MH370

20. Tanggal 8 Mac 2014 yang lalu, negara dikejutkan dengan peristiwa kehilangan pesawat MH370. Sehingga hari ini, usaha mencari masih diteruskan dan Kerajaan tidak akan berhenti selagi pesawat tersebut tidak ditemui.

21. Kerajaan berjanji kepada keluarga penumpang-penumpang MH370 bahawa Kerajaan telah dan akan melakukan yang terbaik bagi memastikan pesawat tersebut ditemui semula.

22. Kerajaan turut menyeru agar kita berhenti daripada mengeluarkan sebarang spekulasi. Keutamaan pada ketika ini adalah dalam memastikan pesawat tersebut dijumpai terlebih dahulu.

23. Peristiwa ini telah menyatu padukan masyarakat Malaysia yang sentiasa bersama-sama berdoa agar pesawat tersebut dapat ditemui semula.

PENUTUP

24. Penutup bicara, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Diraja Malaysia di atas sambutan ulang tahun ke-207. Satu perjalanan yang panjang bagi sebuah organisasi terbilang.

25. Marilah kita bersama-sama melakar masa depan yang lebih baik untuk kita dan anak cucu kita. Saya dan rakyat Malaysia mengimpikan sebuah perkhidmatan kepolisian yang profesional, berkesan dan terbaik. Sebuah perkhidmatan yang mempunyai pegawai dan anggota yang terbaik, peralatan yang mencukupi dan terkini, latihan serta kemahiran yang terbaik di dunia untuk melaksanakan perkhidmatan kepolisian abad ke-21.

26. Kita mengimpikan sebuah negara maju berpendapatan tinggi di mana jalan-jalannya, taman-taman perumahannya dan kawasan awamnya bebas daripada jenayah agar rakyat Malaysia boleh bersama-sama keluarga di seluruh pelosok Malaysia tanpa rasa bimbang mahupun takut terhadap keselamatan diri dan keluarga mereka. Ayuhlah bersama-sama kita jadikan impian ini sebuah realiti.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.