30 Mei, 2014

Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014:Hubungan Malaysia-China


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia-China.

YBhg. Puan Li Xiao Lin,

Presiden Lembaga Persahabatan Republik Rakyat China dengan Negara Luar,

YB. Dato’ Seri Idris Jusoh,

Menteri Pendidikan II Malaysia

YB. Menteri – Menteri,

YBrs. Datuk Dr Awang Sariyan,

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,

YBrs. Prof. Dato’ Dr. Mohamad Amin Jalaludin,

Naib Canselor Universiti Malaya,

YBrs. Prof. Peng Long,

Presiden Beijing Foreign Studies University,

Yang Dihormati Prof Wu Zong Yu,

Pengarah Pusat Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University,

Yang Dihormati Prof. Dr. Mohd. Taib Haji Dora,

Penyandang Kursi Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University

YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

MUQADDIMAH

1. Alhamdulillah, segala puji-pujian dan rasa syukur dirafakkan ke hadrat Allah SWT kerana pada pagi yang penuh bersejarah ini, kita dapat bersama-sama berhimpun bagi menjayakan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China bagi kali ke-7.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia atau DBP, serta Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang telah bertungkus lumus dalam memastikan kejayaan persidangan ini.

3. Selanjutnya, ucapan tahniah dan penghargaan khas saya tujukan kepada Beijing Foreign Studies University atau BFSU yang sudi menjadi tuan rumah, beserta dengan The Chinese People’s Association for Friendship with Foreign Countries.

4. Tentunya, kepada tuan-tuan dan puan-puan semua yang sudi hadir menyertai persidangan ini. Saya difahamkan seramai 200 orang peserta, termasuk 138 pembentang kertas kerja yang datangnya dari 6 buah negara, iaitu Malaysia, China, Indonesia, Belanda, Korea dan Thailand bagi memenuhi Dewan Internasional Fakulti Arab 2, BFSU pada hari ini. Saya difahamkan persidangan ini, sebagai yang terbesar pernah diadakan dari segi bilangan pembentangan kertas kerja. Untuk itu, marilah sama-sama kita memberikan tepukan tahniah dan syabas kepada mereka semua!

5. Sesungguhnya, ini melambangkan suatu ikhtiar dan komitmen yang murni dalam mempereratkan lagi ikatan persahabatan antara Malaysia dan China. Maka, bertepatanlah dengan tema pada hari ini, “melestarikan hubungan kebudayaan ke arah memperkukuh persahabatan Malaysia-China”.

TAWARIKH HUBUNGAN MELAKA/MALAYSIA-CHINA

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

6. Mengimbas detik-detik peristiwa hubungan diplomasi dua hala antara Malaysia dengan China telah bermula seawal abad ke-15 lagi. Ketika itu, adalah zaman Pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, yang menjalinkan hubungan dengan kerajaan China semasa iaitu Dinasti Ming.

7. Berdasarkan catatan, maharaja China mengiktiraf Parameswara sebagai Raja Negeri Melaka. Maka diberi puji-pujian dan menganugerahkan baginda Parameswara dengan cap kempa, persalinan dan alat-alat kebesaran kerajaan termasuklah payung iram-iram kuning.

8. Sehubungan itu, suka saya berkongsi satu rekod catatan menarik oleh Ming Shi-lu bertarikh 1403, tentang hubungan diplomasi antara Melaka dan Dinasti Ming ketika utusan balas Melaka dihantar ke China yang menyatakan:

“Hatta maka utusan Melaka pun berdatang sembah, Raja hamba yakni Parameswara mengkagumi keadilan Maharaja serta ingin pula berjiran sebagai negeri naungan China…..”.

9. Malah, sejarah yang tidak asing bagi kita iaitu kunjungan laksamana Zheng He atau Cheng Ho ke Melaka demi mengukuhkan perdagangan dan hubungan harmoni antara dua negara. Secara diplomatik pula, negara China ini telah menjadi perlindungan kepada Melaka dari serangan negara Siam.

10. Di sini, juga teringat saya strategi dan falsafah diplomasi orang Bugis, yang terkenal dengan tiga hujungnya yakni ‘hujung lidah, hujung pedang dan hujung anunya……’ Tampaknya maharaja China juga pada masa itu tinggi diplomasinya sehingga berkenan untuk menjodohkan puteri baginda Hang Li Po dengan Sultan Mansur Syah seperti yang dicatatkan dalam karya Tun Sri Lanang.

4 DEKAD HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA (1974-2014)

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

11. Menyonsong 40 tahun yang lalu dalam era moden, ikatan persahabatan tersebut terus dipertautkan. Ini berlaku apabila ayahanda saya Perdana Menteri Malaysia yang kedua iaitu Tun Abdul Razak bin Hussein merintis jalan dengan mengambil langkah pro-aktif dan terkehadapan, mengunjungi negara besar ini. Lawatan itu yang bermula dari 28 Mei hingga 2 Jun 1974, telah menempa sejarahnya yang tersendiri, di mana beliau menjadi pemimpin pertama dari Asia Tenggara yang menjalinkan hubungan rasmi dengan negara China.

12. Catatan menyebut, rombongan itu telah disambut oleh Perdana Menteri Zhou Enlai di Beijing dan kemudiannya turut mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Parti Komunis China, Mao Zedong. Selepas itu, kedua-dua rakan sejawat telah menandatangani Pengumuman Bersama Penjalinan Hubungan Diplomatik China-Malaysia pada 31 Mei 1974.

13. Ternyata, hasil daripada lawatan rasmi tersebut, telah membuka satu lembaran sejarah baharu dalam penjalinan semula hubungan erat yang telah sedia terjalin sejak ratusan tahun dahulu, dalam ikhtiar membina landskap persabahatan yang lebih kukuh dan teguh bagi kedua-dua buah negara.

14. Tambahan pula, pada tahun lalu, Presiden China, Xi Jinping telah memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai sewaktu lawatannya ke negara Malaysia. Kita juga merasa tersentuh apabila beliau mengatakan bahawa, Malaysialah sahabat negara China yang sejati, sama ada ketika susah mahupun senang.

15. Kini, 40 tahun berselang, jatuh pada sekitar tarikh yang sama, saya berasa begitu bersyukur kerana dapat mengadakan lawatan ini sebagai tanda meraikan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terbina sejak sekian lama.

16. Semestinya, pada hari ini, hasil persahabatan yang jitu dan begitu kukuh, saya boleh mengadakan perjumpaan dengan Presiden dan Perdana Menteri China secara mesra dan penuh persaudaraan, ibarat pertemuan seperti dalam sebuah keluarga.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

17. Ternyata sejak itu, hubungan erat ini menjadi semakin teguh dan berkembang pesat dalam kerjasama yang melibatkan pelbagai sektor, meliputi bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan. Ia kemudiannya telah diperluaskan ke dalam pelbagai sektor lain antaranya pertukaran kebudayaan, pendidikan, sukan, sains dan teknologi, komunikasi, keselamatan, serta seumpama dengannya.

18. Alhamdulillah, kerjasama erat tersebut telah membuahkan hasil dan menguntungkan kedua belah pihak. Misalnya, pada tahun lepas sahaja, jumlah dagangan Malaysia-China telah mencecah lebih USD64.42 bilion atau RM203.23 bilion. Ini menjadikan Malaysia sebagai destinasi penting dan rakan perdagangan terbesar China di rantau ASEAN serta dijangkakan akan meningkat lebih tinggi dari itu menjelang tahun 2020.

PENGAJIAN MELAYU DI CHINA

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

19. Merujuk kepada aspek bidang pengajian Melayu pula, jika kita menelusuri sejarah ketamadunan, tersebar luasnya bahasa Melayu sehingga dipelajari oleh penutur dan orang asing, bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa Melayu. Usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa.

20. Lantaran itu, bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur. Malah, Profesor Wu Zungyu tokoh bahasa terkemuka dari BFSU China pun, turut mengakui bahawa bahasa Melayu berada pada kedudukan keempat dari segi jumlah penuturnya di serata dunia.

21. Oleh yang demikian, tidak hairanlah Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai dan telah tersebar luas ke seluruh dunia. Minat terhadap pengajian Melayu bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu agenda pendidikan hampir di serata dunia.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

22. Hakikatnya, kerjasama yang terjalin antara BFSU dengan dunia pengajian Melayu telah lama terjalin apabila Jabatan Pengajian Melayu telah ditubuhkan di sini, sejak tahun 1961. Kemudiannya, jurusan Bahasa Melayu di sini juga telah menunjukkan perkembangan positif, apabila telah mendapat sokongan daripada Kedutaan Malaysia di Beijing, pada tahun 1994. Seterusnya, Memorandum Persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara BFSU dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) pada tahun 1995. Pada tahun itu juga, guru-guru BFSU telah dihantar ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mengikuti kursus dalam bahasa Melayu.

23. Seterusnya, penubuhan jurusan bahasa Melayu di BFSU telah membuka lembaran baharu dalam perkembangannya di negara ini. Saya dimaklumkan, sehingga kini, telah melahirkan ramai pegawai diplomat, jurubahasa serta penyiar yang menguasai bahasa Melayu.

24. Sebagai contoh, ia bermula daripada pengajian pada peringkat program, ia telah diangkat menjadi Pusat Pengajian bahasa Melayu pada tahun 1996. Manakala pada tahun 2006 pula, pusat berkenaan telah dinaikkan taraf kepada Pusat Pengajian Melayu, dengan skopnya yang lebih luas termasuklah budaya dan sastera.

25. Sehingga ke hari ini, hubungan antara BFSU dengan alam pengajian Melayu terus dipereratkan lagi. Buktinya, melalui program pertukaran pelajar yang dibuat antara BFSU dengan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

26. Saya diberitahu, saban tahun, pihak BFSU akan menghantar sejumlah pelajarnya ke Akademi Pengajian Melayu untuk mengikuti kursus-kursus peringkat ijazah sarjana muda, peringkat sarjana sehingga ke ijazah doktor falsafah. Mereka ini juga diberi peluang untuk menimba ilmu tambahan tentang peribahasa, pantun, bidalan Melayu, tarian dan lagu Melayu selama enam hari di DBP.

27. Saya dimaklumi, dalam masa yang sama, pelajar-pelajar dari Malaysia di peringkat ijazah sarjana muda juga turut dihantar ke BFSU bagi mengikuti program pertukaran pelajar yang bukan sahaja membuka mata dan minda mereka, bahkan juga dapat menimba ilmu mempelajari bahasa dan budaya setempat masyarakat China. Kerjasama ini telah memberikan suatu nilai tambah yang besar dalam bidang pengajian yang mereka ikuti.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

28. Di samping itu, saya turut difahamkan juga, selain Beijing Foreign Studies University atau BFSU, terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi di sekitar negara China ini yang mempunyai dan menawarkan program bahasa dan pengajian Melayu, seperti di Universiti Peking, Universiti Pengajian Asing Guangdong, Guangzhou, Universiti Komunikasi Beijing, Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi, dan Universiti Peribumi Yunnan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

29. Di samping itu, saya diberitahu, bahasa Melayu juga dapat didengar melalui ruang udara China apabila China Radio International (CRI) yang merupakan stesen radio rasmi China mengembangkan sayapnya dengan menerbitkan siaran bahasa Melayu CRI pada 1 Mac 1959 melalui gelombang pendek. Sejak tahun 1990-an sehinggalah masa kini, DBP telah mengorak langkah dengan menghantar pegawai bahasa untuk bertugas di CRI. Ini termasuk usaha kerajaan Malaysia melalui DBP menghantar tenaga pengajar di Universiti Bangsa-Bangsa Guangxi di Nanning.

MEWAJAH 40 TAHUN KEHADAPAN HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

30. Sesungguhnya hubungan Malaysa-China yang mencapai 40 tahun ini ingin dibawa ke mana? Bagaimana bentuk mekanisme yang ingin kita bina? Sejauhmana persediaan kita ke arah itu?

31. Makanya, pada minggu lepas, Kerajaan Malaysia telah menerima dua panda gergasi iaitu Fu Wa bagi panda jantan dan Feng Yi untuk panda betina dari Kerajaan China. Memang menjadi tradisi Kerajaan China, yang bermula sejak zaman Dinasti Tang lagi menghantar panda ke negara-negara asing sebagai ‘Diplomasi Panda’.

32. Saya difahamkan sehingga kini, China telah menghantar 23 panda hanya kepada 14 buah negara sahaja. Justeru, sudah pasti penghantaran ini sebagai simbol dan lambang persahabatan yang kukuh bagi kedua buah negara sejak zaman dahulu lagi.

33. Oleh yang demikian, hubungan diplomatik yang telah terbina antara Malaysia-China selama 40 tahun, mestilah diperkukuh dan diperutuhkan lagi.

34. Justeru, fasa baharu 40 tahun kehadapan ini, selain daripada bidang ekonomi, pendidikan, teknologi dan seumpama dengannya, pemfokusan boleh diperluaskan kepada aspek sosio-budaya, nilai-nilai dan kemanusiaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

35. Demi mewajah 40 tahun ke hadapan, mekanisme yang konkrit lagi tuntas mestilah dibina agar segala langkah dan perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Antara cadangan langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:

36. Pertama: Memperhebat dan Memperkasa Hubungan Sosio-Budaya, Nilai-Nilai dan Kemanusiaan. Antara asas dalam membina ketamadunan adalah membangun budaya bangsa. Kriteria kebudayaan ini penting dalam membina sebuah negara bangsa yang unggul dengan berteraskan nilai-nilai murni dan kemanusiaan. Justeru, hubungan kerjasama antara Malaysia-China yang melibatkan pelbagai aktiviti dan kegiatan kebudayaan perlu sentiasa diperkukuhkan. Penekanan kepada aspek nilai-nilai murni dan sejagat haruslah dipermantapkan lagi. Selain itu, kerjasama dalam bidang kemanusiaan perlu dibina dan diperkasakan untuk manfaat bersama.

37. Kedua: Memberi Nilai Tambah Kepada Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China. Kerusi ini yang mula diisi pada tahun 2008, perlu diberi ‘nilai tambah’ supaya menjadi lebih pro-aktif dan produktif. Ia tidak harus kekal bergerak secara sama atau di takuk lama. Tetapi, kaedah dan pendekatan baharu perlu difikirkan bagi memantap dan meluaskan peranannya. Misalnya, ia juga boleh berperanan aktif dalam kebudayaan, nilai-nilai dan kemanusiaan, ke seluruh kota-kota di negara China yang menawarkan program bahasa atau pengajian Melayu.

38. Ketiga: Meningkatkan Kerjasama Penerbitan dan Penterjemahan. Usaha-usaha meningkatkan kerjasama penerbitan dengan negara China, terutama dalam penterjemahan karya besar bagi kedua-dua buah negara oleh DBP perlu diperkukuhkan. Misalnya seperti penterjemahan yang telah dibuat kepada Buku Karya Agung Hikayat Tiga Negara.

39. Keempat: Membina Kolaborasi Dalam Penyelidikan. Terdapat sebilangan sejarah Malaysia yang telah dikutip dan diceduk dari sumber Eropah dan negara Barat. Justeru, melalui kolaborasi dalam penyelidikan ini, penyelidik dari Malaysia boleh bekerjasama dengan penyelidik dari China dalam menjalankan kajian ilmiah dan menyelongkar sumber-sumber serta catatan-catatan sejarah, termasuklah perkembangan muasir berkenaan negara Malaysia. Ini kerana, terdapat banyak sumber dari China dan sejarah tamadun lamanya yang berwibawa, berkualiti serta sarat dengan maklumat tentang perkembangan politik, ekonomi, sosial dan hubungan antarabangsa.

40. Kelima: Memperhebat Penghantaran dan Pertukaran Pelajar serta Peserta dari Malaysia-China Secara Berkala. Pada setiap tahun, perlu ditambah lagi peluang dan insentif kepada sejumlah pelajar dan peserta yang layak dari China untuk tiba ke bumi Malaysia bagi menyambung pengajian mereka dalam bidang bahasa Melayu dan Sastera. Jumlah tersebut perlu dipertingkatkan bilangan penyertaannya dari masa ke semasa. Sebagai timbal-balik, pelajar dari Malaysia pun harus diberi peluang untuk berbuat sedemikian di negara China.

PENGHARGAAN-PENGHARGAAN

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

41. Jelasnya, saya berharap agar persidangan antarabangsa ini dapat memberikan manfaat yang positif kepada semua pihak. Sudah tentu, peserta bukan sahaja dapat menjadikan ia sebagai medan pertukaran pendapat, malah mampu menjadi platform untuk menjalinkan hubungan yang lebih mesra dan berkekalan khususnya antara Malaysia dan China serta negara-negara lain secara amnya.

42. Pastinya, hubungan berbentuk pendidikan dan penyelidikan ini tidak hanya akan berhenti di sini sahaja dan seboleh-bolehnya, biarlah semua penyelidik menjalinkan kerjasama yang erat supaya menjadi pemangkin kepada kemajuan pendidikan serta penyelidikan terutama dalam bidang pengajian Melayu itu sendiri.

43. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam penganjuran persidangan antarabangsa yang melibatkan kedua buah negara ini. Tentunya, ia berbaloi apabila melihat kejayaan penganjurannya. Tahniah saya ucapkan!

PELANCARAN BUKU

44. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan United Publishing House Sdn. Bhd, kerana secara usaha sama telah berjaya menghasilkan tiga buku iaitu, Kamus Cina-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China.

45. Saya difahamkan, sebanyak 20540 entri dan subentri yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan seharian telah dimuatkan dalam kamus ini. Bagi buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok. Manakala, buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China adalah himpunan pantun tentang Pengajian Melayu di China.

46. Oleh yang demikian, pada hari ini juga saya merasa sukacita untuk melancarkan tiga buah buku iaitu, Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian Melayu-China. Syabas saya ucapkan!

PENUTUP

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Sekalian,

47. Atas segalanya, marilah sama-sama kita berdoa dan berharap agar hubungan persahabatan antara Malaysia dan China ini berpanjangan dan berkekalan. Bertepatanlah dengan ungkapan yang pernah disebut oleh Presiden China, Xi Jinping dalam menggambarkan persahabatan erat antara Malaysia-China ini, melalui pengertian peribahasa Melayu, umpama ‘air dicincang takkan putus’.

48. Justeru, saya juga di sini ingin mengukuhkan lagi pernyataan tersebut, dengan memetik kata-kata bestari, berkait hubungan Malaysia-China supaya ‘ikatan murni ini tidak akan kunjung padam, seindah cahaya rembulan dan seterang suluhnya mentari’. Bak kata pantun pula:

Laksamana Hang Tuah pahlawan Melaka,

Pelayaran Cheng Ho utusan China,

Hubungan mulia berpisah tiada,

Semoga kekal selama-lamanya.

49. Akhir kalam, dengan lafaz kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu 2014: Hubungan Malaysia-China.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches