Ucapan Pembentangan Usual-Usul Mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri Sarawak Kali Keenam Tahun 2015

By December 12, 2015 Speeches

Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan –

​“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan di bawah Seksyen 10, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan bahawa draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sarawak) 2015, yang telah dibentangkan dalam Dewan ini pada 26 November 2015 bersama dengan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertarikh 19 Ogos 2015 mengenai Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri Sarawak Kali Keenam Tahun 2015, yang mana akan dibuat di bawah Seksyen 12, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan.”

Tuan Yang Dipertua,

2.​Malaysia adalah sebuah negara yang unik di mana setiap negeri di dalamnya adalah berbeza antara satu sama lain dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Begitu jugalah dengan negeri Sarawak, “Bumi Kenyalang”, yang merupakan negeri terbesar di Malaysia. Keluasannyakira-kira 124,449 kilometer persegi, iaitu hampir menyamai luasnya Semenanjung Malaysia. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, angka banci rasmi tahun 2010 menunjukkan, bilangan penduduk Sarawak adalah seramai 2,471,140 orang. Manakala, masyarakatnya pula berjumlah lebih 40 etnik, antaranya terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau dan kumpulan etnik Orang Ulu.

3.​Untuk pengetahuan ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri Sarawak telah meluluskan pindaan Undang-Undang ke atas Fasal (2) Perkara 14,Perlembagaan negeri Sarawak berhubung komposisi keanggotaan DUN, daripada 71 kerusi, kepada 82 kerusiyang telah berkuatkuasa pada 5 Disember 2014 yang lalu.

4.​Sehubungan itu, SPR hendaklah melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri Sarawak,selaras dengan peruntukan Fasal (3A) Perkara 113,Perlembagaan Persekutuan, iaitu bilangan ahli dipilih bagi Dewan Undangan sesuatu Negeri diubah berikutan dengan suatu undang-undang yang diperbuat oleh badan perundangan sesuatu negeri. Walau bagaimanapun, oleh kerana lat tempoh 8 tahun bagi Negeri Sarawak telah pun mencukupi, maka urusan persempadanan ini adalah tertakluk kepada peruntukan Fasal (3B) Perkara 113,Perlembagaan Persekutuan.

5.​Justeru, suatu Notis Persempadanan bagi memulakan urusan Kajian Semula Persempadanan tersebut telah dikeluarkan oleh SPR adalah di bawah peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

6.​SPR telah pun menyiapkan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Bagi Negeri Sarawak Kali Keenam Tahun 2015,berdasarkan prinsip dan tatacara yang terkandung di dalam Bahagian I dan Bahagian II, Jadual Ketiga Belas,Perlembagaan Persekutuan.

7.​Laporan Kajian Semula Persempadanan tersebut telah diserahkan kepada saya pada 21 Ogos 2015, selaras dengan Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas,Perlembagaan Persekutuan dan telah diagihkan kepada semua Ahli di dalam Dewan yang mulia ini sebagai Kertas Statut No. ST.92 Tahun 2015. Laporan Kajian Semula Persempadanan tersebut mengandungi lima bab iaitu Bab 1 hingga Bab 5.

8.​Bagi Bab 1, dalam laporan Kajian Semula Persempadanan tersebut menerangkan tentang sejarah urusan Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sarawak yang terdahulu serta latar belakang Kajian Semula Persempadanan tersebut bagi Kali Keenam Tahun 2015. Kajian Semula Persempadanan ini bukan hanya akan melibatkan pertambahan bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya sahaja, malah terdapat juga keadaan di mana bilangannya masih dikekalkan.

9.​Dalam Bab 2 pula, laporan tersebut menerangkan mengenai peruntukan bagi urusan Kajian Semula Persempadanan sepertimana di bawah Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, bab ini juga turut menerangkan mekanisme pelaksanaan urusan Kajian Semula Persempadanan, daftar pemilih yang digunapakai, semakan dan pengemaskinian Daerah-Daerah Mengundi di dalam Negeri Sarawak serta kriteria-kriteria pemilihan nama bagi setiap Bahagian Pilihan Raya.

10.​Oleh itu, urusan Kajian Semula Persempadanan pada kali ini telah dilaksanakan dengan menggunapakai daftar pemilih yang diwartakan pada 30 April 2014, di manajumlah pemilih berdaftar bagi Negeri Sarawak adalah seramai 1,109,134 orang.

11.​Hal ini kerana, Kajian Semula Persempadanan yang terakhir telah dilaksanakan pada tahun 2005 dengan menggunapakai daftar pemilih seramai 905,722 orang,yang telah diwartakan pada 4 November 2004. Ini bermakna, bilangan pemilih berdaftar bagi Negeri Sarawak telah meningkat sebanyak 18 peratus atau seramai 203,412 orang.

12.​Dalam melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan, SPR juga menyemak dan mengemaskini Daerah-Daerah Mengundi sedia ada di dalam Negeri Sarawak serta mencadangkan pewujudan beberapa Daerah Mengundi baharu, bersekali dengan syor tersebutkerana terdapat pertambahan bilangan pemilih berdaftar yang baharu dan keperluan untuk mewujudkan Pusat mengundi baharu.

Tuan Yang Dipertua,

13.​Bab 3 di dalam laporan ini menyentuh tentang latar belakang, keadaan geografi dan demografi penduduk serta Bahagian-Bahagian Pilihan Raya sedia ada di Negeri Sarawak pada masa ini.

14.​Seterusnya, bagi Bab 4 laporan ini pula, mengandungi maklumat-maklumat mengenai notis persempadanan, pameran syor, representasi bantahan dan siasatan tempatan bagi kali pertama dan kali kedua yang telah dilaksanakan oleh SPR sepertimana di dalam Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

15.​Notis syor-syor persempadanan yang dicadangkan bagi Negeri Sarawak telah diwartakan kali pertama pada 2 Januari 2015, selaras dengan Seksyen 4, Bahagian II,Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan SPR perlu menyiapkan kajian tersebut dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis tersebut.

16.​Syor-syor serta Rang Pelan Persempadanan tersebut telah dipamerkan selama satu bulan bermula pada 5 Januari 2015, di tempat-tempat seperti yang dinyatakan di dalam Notis Persempadanan serta telah disiarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan iaitu Utusan Sarawak, Utusan Malaysia, New Sarawak Tribune, New Straits Times dan The Borneo Post. Notis yang diwarta dan disiarkan di dalam akhbar-akhbar tersebut mengandungi:

i) Maklumat mengenai pewujudan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri yang baharu;
ii) Pindaan nama Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri yang sedia ada;
iii) Bilangan pemilih bagi setiap Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri; dan
iiii) Senarai tempat pameran syor Kajian Semula Persempadanan bagi Negeri Sarawak.

17.​Selain itu, sebagai satu langkah proaktif, notis, syordan rang pelan tersebut juga telah dimuatnaik ke laman web rasmi SPR, bagi memudahkan maklumat-maklumat tersebut diperolehi atau diakses oleh orang ramai.

18.​Dalam hal demikian, SPR telah menerima sebanyak 64 bantahan, dimana ia merupakan bilangan bantahan terbanyak bagi Negeri Sarawak bagi pameran pertama, berbanding dengan tahun 2005, yang hanya menerima 26 bantahan sahaja. Daripada 64 bantahan tersebut,sebanyak 41 bantahan telah memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan Siasatan Tempatan kali pertama. Ini menunjukkan bahawa SPR bersungguh-sungguh dan komited dalam memastikan setiap bantahan yang dikemukakan dapat didengar, seterusnya sampai kepada keseluruhan penduduk Negeri Sarawak.

Tuan Yang Dipertua,

19.​Berdasarkan maklumbalas yang diterima sepanjang Siasatan Tempatan kali pertama, syor Kajian Semula Persempadanan tersebut telah disemak semula dan diwartakan kali kedua pada 30 Mac 2015. Notis syor-syor yang dicadangkan bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan danNegeri di dalam Negeri Sarawak telah disiarkan di dalam akhbar Utusan Borneo dan The Borneo Post.

20.​Pameran kali kedua syor-syor yang dicadangkan dan Rang Pelan tersebut telah dibuat mulai 30 Mac 2015 sehingga 29 April 2015 di 23 tempat di negeri Sarawak.

21.​Sebanyak 22 bantahan telah diterima sepanjang tempoh pameran kali kedua dan 10 daripadanya telahmemenuhi syarat-syarat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan diterima untuk diadakan Siasatan Tempatan.

22.​Jadinya, jumlah keseluruhan bantahan yang diterima sepanjang tempoh kedua-dua pameran tersebut adalah sebanyak 86 bantahan dan 51 daripadanya telah diadakan Siasatan Tempatan.

23.​Bantahan-bantahan ini, jauh lebih banyak berbanding urusan Kajian Semula Persempadanan yang terdahulu, iaitu sebanyak 36 bantahan.

Tuan Yang Dipertua,

24.​Oleh yang demikian, hasil yang diperolehi daripada kedua-dua Siasatan Tempatan yang telah diadakan, SPRtelah memutuskan di bawah Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan perincian mengenai syor-syor tersebut dimuatkan di dalam Bab 5 buku laporan ini.

25.​SPR juga mengesyorkan bahawa, tiada perubahan bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan tetapi, terdapat perubahan sempadan ke atasnya, yang disebabkan oleh pembetulan sempadan Bahagian Pilihan Raya serta pembentukan Bahagian Pilihan Raya Negeri yang baharu.

26.​Di samping itu, SPR turut mengesyorkan jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sarawak ditambah sebanyak 11 Bahagian yang menjadikan jumlah keseluruhan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Negeri Sarawak adalah sebanyak 82 Bahagiandan telah diwartakan untuk dikuatkuasakan pada 5 Disember 2014. Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri yang baharu itu adalah seperti berikut:

• N.13 Batu Kitang,
• N.17 Stakan,
• N.18 Serembu,
• N.23 Bukit Semuja,
• N.26 Gedong,
• N.40 Kabong,
• N.57 Tellian,
• N.63 Bukit Goram,
• N.66 Murum,
• N.70 Samalaju dan
• N.78 Mulu.

27.​Sememangnya, pertambahan Bahagian Pilihan Raya Negeri ini akan dapat meningkatkan tahap perkhidmatan wakil rakyat kepada penduduk tempatan di Negeri Sarawak khususnya penduduk yang berada di dalam kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri tersebut dan ia akan lebih memudahkan wakil rakyat serta penduduk untuk berinteraksi bagi membincangkan hal-hal berkaitan dengan kebajikan penduduk serta merancakkan lagi pembangunan di kawasan Bahagian Pilihan Raya Negeri tersebut.

28.​Di samping itu, turut disyorkan pindaan nama ke atas satu (1) Bahagian Pilihan Raya Persekutuan di Negeri Sarawak iaitu P.198 Puncak Borneo di mana nama asal bagi Bahagian Pilihan Raya Persekutuan tersebut adalah Mambong.

29.​Selanjutnya, disyorkan juga pindaan nama ke atas empat (4) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri iaitu:

• N.19 daripada Bengoh ke Mambong,
• N.34 daripada Batang Air ke Batang Ai,
• N.41 daripada Belawai ke Kuala Rajang dan
• N.68 daripada Kidurong ke Tanjong Batu .

30.​Di dalam laporan ini juga, turut diperincikan maklumat-maklumat mengenai luas kawasan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri serta bilangan pemilih berdaftar bagi setiap Daerah Mengundi, Bahagian Pilihan Raya Negeri dan Bahagian Pilihan Raya Persekutuan yang disyorkan.

Tuan Yang Dipertua,

31.​Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalahpembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di dalam Negeri Sarawak adalah sukar untuk dilaksanakan kerana terdapatnya kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi dan demografinya yang sangat berbeza antara satu sama lain. Ini secara tidak langsung, telah mewujudkan kekangan-kekangan dari segi lokasi yang terpencil, jarak antara lokasi-lokasi di kawasan pedalaman yang amat jauh serta jalan-jalan perhubunganserta pengangkutan yang terhad. Hal demikian,menyebabkan konsentrasi penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan luar bandar.
32.​Sungguhpun demikian, SPR sedaya upaya berusaha untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan di mana kemudahan-kemudahan perhubungan dan pengangkutan adalah sangat terhad. Dengan demikian, adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan serta meningkatkan taraf ekonomi dan merancakkan pertumbuhan pembangunan di kawasan-kawasan luar bandar.

Tuan Yang Dipertua,

33.​Berdasarkan Seksyen 9, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, laporan ini hendaklah dibentangkan bersama dengan draf suatu Perintah yang hendak dibuat di bawah Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan dengan atau tanpa ubah suaian syor-syor yang terkandung di dalam laporan itu. Draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sarawak) 2015 ada di hadapan Dewan yang mulia ini sebagai Kertas Statut No. ST.93 Tahun 2015.

34.​Kerajaan telah mengkaji dengan teliti syor-syor yang dibuat dalam laporan tersebut dan tidak mencadangkan apa-apa pengubahsuaian kerana Kajian Semula Persempadanan ini telah dilaksanakan sepenuhnya berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Yang Dipertua,

35.​Jelasnya, sudah terang lagi bersuluh, negara indah, bumi bertuah ini, yang dipimpin oleh Barisan Nasional,merupakan sebuah Kerajaan yang telus lagi berwibawa, sentiasa membela kebajikan, mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat, khususnya buat masyarakat di negeri Sarawak.

36. ​Salah satu buktinya adalah melalui kajian semula persempadanan ini, yang akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, dalam menyalurkan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan, khususnya di kawasan-kawasan pedalaman, demi meningkatkan taraf hidup ekonomi serta merancakkan pembangunan di negeri Sarawak.   ​

37.​Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Pengerusi dan Ahli-Ahli SPR, Setiausaha serta seluruh pegawai-pegawai dan kakitangan SPR serta agensi-agensi lain yang terlibat khususnya Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Setiausaha Persekutuan Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei Negeri Sarawak, pejabat-pejabat Residen, pejabat-pejabat Daerah serta semua pihak yang telah menjalankan tanggungjawab dan amanah dengan penuh dedikasi, dalam menyiapkan laporan ini, untuk dibentangkan bagi kelulusan Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang Dipertua,

37.​Saya mohon mencadangkan.