13 , 2009

Ucapan Sempena Majlis Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit Alor Setar


UCAPAN
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABD. RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
ANAK BUKIT ALOR SETAR
PADA 13HB JULAI 2009 (ISNIN), JAM 10.00 PAGI
DI DATARAN PROMENADE,
KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
BANDAR MU’ADZAM SHAH ALOR SETAR, KEDAH
———————————————————————-

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.

Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah Darul Aman.

Ampun Tuanku,

Terlebih dahulu, patik mempersembahkan ucapan setinggi-tinggi junjungan kasih atas limpah perkenan Tuanku berdua mencemar duli berangkat hadir bagi menyempurnakan Perasmian Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah, Alor Setar Kedah Darul Aman pada hari ini. Tentunya majlis ini amat istimewa kepada patik sekalian justeru KDYMM Tuanku Sultan jualah yang telah berangkat ke upacara memecah tanah pada 31hb Mac tahun 2002 dahulu.

Jelas sekali, dizahirkan dengan keberangkatan ini bahawa, Duli-Duli Tuanku sekalian amat prihatin dan cakna dengan usaha-usaha serta prakarsa Kerajaan Persekutuan. Selanjutnya, patik memohon keizinan untuk menyampaikan ucapan kepada para hadirin.

Ampun tuanku.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ustaz Azizan Bin Abdul Razak,
Menteri Besar Kedah Darul Aman dan Amat Berbahagia Tok Puan Hajah Faiqah Binti Syeikh Hamzah,

Yang Teramat Mulia Kerabat-Kerabat Diraja Bergelar Negeri Kedah Darul Aman,

Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Sidek Bin Haji Hasan,
Ketua Setiausaha Negara,

Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet,

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman,
Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet,

Yang Berhormat Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Haji Rasli bin Basir,
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dan Yang Berbahagia Datin Wira,

Dif-Dif Jemputan, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian

1. Pertama sekali, marilah kita mengangkat rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T yang telah mengurniakan segala rahmatNya hingga kita dapat hidup dalam sebuah negara yang aman dan makmur. Apatah lagi pada pagi yang mulia ini, kita sama-sama dapat meraikan perasmian sebuah lagi Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Bandar Mu’adzam Shah, Alor Setar, Kedah Darul Aman.

2. Untuk makluman, Pembangunan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah ini adalah merupakan salah satu daripada projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya. Justeru, Kompleks ini kerajaan letakkan di bawah Bahagian Kawal Selia Penyenggaraan, Kementerian tersebut. Ia meliputi kawasan seluas 16.1 hektar serta melibatkan dua (2) fasa. Kompleks ini akan menempatkan pejabat-pejabat Kerajaan yang mempunyai pelbagai peranan dari segi pengurusan serta operasi masing-masing.

3. Sehubungan dengan itu, barangkali ramai yang tidak tahu bahawa Kompleks Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah ini merupakan kompleks yang kedua dibina melibatkan penempatan jabatan agensi persekutuan dan negeri di dalam satu kawasan. Ini kerana, Kompleks pertama seumpamanya adalah Kompleks Persekutuan Kerajaan Persekutuan Sabah yang telah siap dibina pada tahun 2007.

4. Jika diperhatikan juga, kompleks ini dibangunkan dengan kemudahan dan infrastruktur yang dibina mengikut kesesuaian fungsi dan aktiviti jabatan serta agensi yang menghuni. Tambahan lagi, saya yakin lokasi kompleks yang terletak di antara Bandaraya Alor Setar, Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ini akan menjadi salah satu penyumbang dalam rencana pembangunan Negeri Kedah dari sudut mengatasi masalah kesibukan trafik di bandar raya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Apabila saya mengambil alih kepimpinan negara, saya telah mengutarakan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ini bererti kerajaan akan sentiasa menyediakan dan memberikan khidmat terbaik untuk rakyat. Dalam hal ini semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kesepuluh, saya telah mengingatkan bahawa, bagi menjayakan segala perubahan yang diperlukan negara dalam perjalanan kita untuk memastikan Malaysia terus maju dan berjaya pada abad 21, kita memerlukan sebuah persekitaran yang kondusif untuk semua rakyat Malaysia mengoptimakan potensi mereka.

6. Di sini, peranan sebuah perkhidmatan awam yang berkesan, responsif, luwes dan berani berubah adalah amat mustahak. Saya amat gembira kerana dalam menggerakkan inisiatif modernisasi dan pembaharuan tersebut saya telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, khususnya Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan. Sesungguhnya, pembaharuan yang akan dilakukan ini bukanlah bersifat ‘top down’ tetapi sebaliknya melibatkan gabung jalin semua segmen perkhidmatan awam bermula dengan pimpinan atasan.

7. Lantaran itu, usaha ini memerlukan proses modenisasi menyeluruh yang melibatkan bukan sahaja modenisasi paradigma tetapi juga struktural. Maknanya, kita memerlukan perkhidmatan awam yang sesuai dengan pencapaian kejayaan pada alaf baru ini. Sebagai penjawat awam, produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang diberikan haruslah diutamakan. Saya amat percaya, produktiviti yang digabungkan bersama kreativiti dan inovasi mampu melonjakkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan awam Malaysia.

8. Sehubungan dengan itu, saya telah mengumumkan KPI atau Indeks Petunjuk Prestasi bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan. Tujuan saya mewujudkan KPI bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam ini adalah untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka. Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka. Saya percaya langkah ini akan dapat mengukuhkan prinsip yang amat penting yakni kebertanggungjawaban.

9. Saya juga menyeru, pegawai-pegawai kerajaan agar menggunakan dan menjaga kemudahan yang telah diberikan dengan sebaik mungkin penuh berintegriti. Saya sering menekankan bahawa kejayaan itu tidak terukur oleh besar atau hebatnya sesebuah binaan fizikal. Apa yang lebih utama adalah faktor keberhasilan mutu kerja dan khidmat yang disampaikan oleh para penjawat awam. Itulah kayu ukur yang akan digunakan oleh rakyat untuk menilai prestasi kerajaan.

10. Berdasarkan apa yang saya sebutkan tadi, berbalik kepada Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah, Alor Setar ini, yang akan beroperasi sebagai pusat pentadbiran Kerajaan, segala hal yang dinyatakan hendaklah diterjemahkan dalam menjalankan aktiviti dan memberi khidmat mengikut agensi masing-masing kepada rakyat secara keseluruhannya.

11. Oleh yang demikian, perkhidmatan yang diberikan haruslah cekap dan efisien sejajar dengan bangunan dan kemudahan infrastruktur yang telah dibangunkan ini. Yang pentingnya kita mahukan bukan sahaja bangunan fizikal yang first class akan tetapi khidmat juga hendaklah first class tarafnya. Dalam kata lain, mutu penyampaian perkhidmatan harus ditingkatkan demi memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada orang ramai yang berurusan dengan pelbagai agensi ini sejajar dengan hasrat memberikan kepuasan kepada kesejahteraan rakyat sebagai pelanggan utama.

12. Untuk itu juga, kita harus menerapkan nilai dan budaya bekerjasama sebagai satu komuniti tidak mengira perbezaan jabatan atau agensi, pangkat, bangsa dan juga agama dalam memelihara bangunan yang diduduki. Harapan kita agar kompleks ini beroperasi dengan lancar sebagai satu pusat pentadbiran yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada rakyat.

13. Akhir kata, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek ini dan khasnya majlis perasmian pada hari ini. Marilah kita berganding bahu dalam memastikan pembangunan kompleks ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi mencapai kemajuan negeri Kedah dan rakyat Malaysia seluruhnya. Saya juga berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Azizan Razak kerana memberi kerjasama kepada kerajaan pusat. Walaupun ada perbezaan pendapat tetapi Dato’ Seri masih boleh memberi kerjasama. Inilah semangat yang hendak kita persetujui untuk kebaikan negara.

Ampun Tuanku

Sekianlah sahaja persembahan ucapan patik.

Patik sekalian mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah dilanjutkan usia, dilimpahi rahmat dan diberi kekuatan serta kesihatan agar terus dapat memerintah di atas singgahsana takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan penuh kemuliaan, aman dan sentosa.

Ampun Tuanku.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches