28 Ogos, 2015

Menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan Ini


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Dalam masa beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-58.

Namun, kita semua sedia maklum bahawa sebuah perhimpunan tunjuk perasaan telah dirancang untuk diadakan pada masa dan tempat di mana persediaan perarakan hari kemerdekaan akan dijalankan.

Jika mahu berhimpun sekalipun, pilihlah masa dan kawasan yang tidak mencetus satu provokasi. Walau apapun perbezaan pendapat atau fahaman di antara kita, hari kebangsaan tidak seharusnya dijadikan pentas perselisihan politik.

Ianya hari di mana semua rakyat mengenepikan perbezaan dan sama-sama meraikan dengan penuh rasa patriotik dan cinta akan negara.

Sedarlah bahawa, terdapat ramai yang berhak menerima penghormatan dan penghargaan menjelang sambutan hari kemerdekaan ini.

Daripada wira-wira negara yang pernah memperjuangkan kemerdekaan hinggalah kepada warga sekolah, pihak logistik dan seluruh kontinjen perarakan lain yang bertungkus-lumus membuat persediaan meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

Apakah wajar perhimpunan ini dijalankan pada masa dan tempat yang begitu hampir dengan hari kemerdekaan kita?

Fikirkanlah.

Sekian sahaja dari saya,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.