17 Mac, 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Pelaburan Langsung Asing


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1 Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Keteguhan ekonomi sesebuah negara boleh diukur melalui banyak aspek, antaranya adalah melalui pelaburan langsung asing kerana ia menunjukkan keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara.

Bukan mudah untuk menarik pelabur asing kerana ia menjadi rebutan antara negara di seluruh dunia.

Data daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA menunjukkan pelaburan asing pada tahun 2016 meningkat sebanyak 63.4 peratus berbanding tahun 2015. 

Kita berjaya meraih RM59 bilion melalui pelaburan asing pada tahun lepas berbanding RM36 bilion pada tahun 2015. Ini menjadikan jumlah pelaburan pada tahun lepas sebanyak RM207.9 bilion.

Peningkatan yang mengkagumkan ini menunjukkan keyakinan para pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia. Malah ia menunjukkan bahawa dasar-dasar kerajaan dalam menentukan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul. 

Secara tidak langsung, dakwaan kononnya negara Malaysia akan bankrap ataupun Malaysia adalah sebuah negara yang gagal atau failed state, adalah merupakan fitnah dan tuduhan yang berniat jahat. 

Sekiranya pelabur luar yakin terhadap ekonomi Malaysia, adakah kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai alasan lain untuk menidakkan fakta ini? 

Kerajaan akan berusaha agar ekonomi negara terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat jelata.

Oleh itu, harapan saya pada rakyat Malaysia agar terus yakin terhadap usaha kerajaan kerana keyakinan itu merupakan suntikan semangat untuk kerajaan terus memperteguhkan ekonomi negara.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles