24 , 2017

Ucapan Perdana Menteri Mengenai Program Perumahan Kerajaan


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Dan Salam 1Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

Impian rakyat untuk memiliki sebuah rumah yang selesa adalah seiring dengan hasrat kerajaan untuk memenuhi impian dan kehendak rakyat.

Sebab itulah kerajaan memperkenalkan pelbagai program bagi membolehkan rakyat memiliki rumah mampu milik.

Mungkin disebabkan kurang pendedahan, ramai yang kurang jelas mengenai Program Perumahan Rakyat iaitu PPR dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA.

PPR diusahakan oleh kerajaan untuk memenuhi kehendak rakyat kategori B40 iaitu golongan berpendapatan rendah. Ia boleh dimiliki dengan harga yang rendah iaitu RM35 ribu seunit di Semenanjung, dan RM42 ribu seunit di Sabah dan Sarawak.

Malah, kerajaan juga menyediakan PPR untuk disewa pada kadar RM124 sebulan sahaja. Di samping itu satu skim baru iaitu rent-to-own scheme telahpun diperkenalkan di mana pada peringkat awal rumah itu disewa dan kemudian dapat dimiliki oleh penghuni yang berkenaan.

Manakala, PR1MA adalah untuk rakyat kategori M40 iaitu berpendapatan sederhana, terletak di lokasi-lokasi yang strategik di tengah-tengah bandar ataupun pinggir bandar dengan harga antara RM150 ribu hingga RM400 ribu seunit.

Di samping itu, rumah-rumah tersebut dijual pada harga tidak kurang 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Manakala satu lagi program perumahan adalah untuk penjawat awam, iaitu Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, atau PPA1M dengan harga kurang daripada RM300 ribu dan lebih rendah daripada harga pasaran.

Bukan itu sahaja, penjawat awam yang bekerja di negeri pembangkang pun layak memohon. Ini membuktikan kerajaan tetap menghulurkan bantuan tak kira fahaman politik.

Oleh demikian, kerajaan sangat menggalakkan rakyat agar memohon bantuan dan program-program yang disediakan rakyat kerana ini adalah hak rakyat.

Kerajaan sentiasa mencari jalan agar impian dan hasrat rakyat tercapai, Insya-Allah.

Sekian sahaja dari saya.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Audio, Featured Articles