5 April, 2016

50 Tahun MARA


Sejarah penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah sesuatu yang amat dekat dan peribadi buat saya. Ayahanda Tun Abdul Razak telah mencadangkan penjenamaan semula Rural and Industrial Development Authority (RIDA) yang ditubuhkan pada tahun 1953 ketika Tanah Melayu di bawah pemerintahan Kerajaan British.

Cetusan idea MARA bermula ketika persidangan Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 1965 sebelum MARA digazet sebagai badan berkanun pada 1 Mac 1966 bagi mengangkat martabat bangsa dan menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera. Ayahanda ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan juga memegang portfolio pembangunan luar bandar.

Selepas 50 tahun penubuhan MARA, institusi ini telah memainkan peranan penting terhadap pembangunan sosioekonomi negara. MARA sudah memperkasa lebih daripada 4 juta Bumiputera melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi.

Jika dilihat dari segi keusahawanan, MARA telah sentiasa tanpa gagal memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dengan bantuan kewangan, latihan kemahiran dan juga bantuan dari segi pembangunan infrastruktur. Malah, hanya melalui pelaksanaan Pelan Strategik MARA 2011-2015, institusi ini telah mendidik lebih 80,000 usahawan ke arah kejayaan.

Selain keusahawanan, MARA juga memainkan peranan penting melaburkan dana dan masa dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan, dan dapat kita lihat hari ini kejayaan yang telah dikecapi melalui pelaburan tersebut.

Buktinya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pendidikan tertiari seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), GiatMARA dan Kolej Mara, telah melahirkan banyak tenaga kerja, pakar industri dan profesional. Individu seperti Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Datuk Kamarudin Meranun dan Dato’ Sri Shazalli Ramly adalah antara sebahagian daripada mereka yang berjaya dan kini menjadi tokoh industri.

MARA turut menghasilkan generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk pendidikan di dalam dan luar negara. MARA menaja seramai 75,000 anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk menimba ilmu bukan sahaja di sekolah-sekolah dan universiti-universiti tempatan, tetapi juga untuk pelajaran di luar negara. Hal ini kerana kita menginginkan supaya anak-anak Melayu kita mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.

Tambahan kepada itu, berikutan kejayaan UniKL dan MARA dalam sektor pendidikan tempatan, kita akan memulakan perancangan untuk Universiti MARA yang telah pun diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, serta menjenamakan semula Yayasan Pendidikan MARA sebagai Yayasan MARA agar bantuan tidak terhad kepada pendidikan sahaja, tetapi juga disasarkan dan disalurkan untuk bantuan-bantuan lain seperti kebajikan sosial, banjir, kemarau dan banyak lagi.

MARA terus cemerlang dalam mendukung ekonomi Bumiputera dan negara melalui penubuhan anak syarikat untuk menjana kewangan mampan. Anak syarikat seperti MARA Liner Sdn Bhd, yang menjadi jalinan perhubungan antara bandar dan luar bandar, MARA Incorporated Sdn Bhd yang bertanggungjawab menjaga sektor hartanah, pelaburan dan pengurusan aset melalui Pelaburan MARA Bhd serta Asia Aerospace City sebagai platform kepada pemain industri seluruh dunia mengembangkan perniagaan aeroangkasa di Asia. Ini adalah antara sebahagian daripada usaha MARA terus menjuarai agenda Bumiputera.

Bagi meneruskan kecemerlangan ini dan membuka lembaran baru untuk MARA, kesemua agensi dan anak syarikat MARA akan distruktur semula dan digabungkan menjadi sebuah entiti diberi nama MARACorp Sdn Bhd.

MARA membesar bersama-sama Malaysia. Selepas kita mencapai kemerdekaan, MARA adalah antara institusi yang telah mentransformasikan dan menaik taraf kehidupan Bumiputera secara berterusan.

Malah, dalam Bajet 2016, kerajaan telah memperuntukkan RM 3.7 bilion kepada MARA, termasuk untuk menaja pengajian 72,000 pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi, antara peruntukan tertinggi dalam Bajet 2016.

Visi MARA untuk menerajui aspirasi Melayu dan Bumiputera menjadi kuasa besar dalam bidang keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pemilikan ekuiti akan terus disokong.

Saya yakin dan percaya, MARA akan terus melahirkan bakat berkualiti Melayu dan Bumiputera yang mampu membanggakan negara, agama dan bangsa.

Pada masa sama, saya harap mereka yang telah mendapat manfaat dan kini berjaya melalui bantuan MARA akan kembali menyumbang kepada generasi Melayu dan Bumiputera seterusnya.

mara

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles