6 April, 2018

Aku Janji Yang Ditepati


Genap 5 tahun lalu, pada 6 April 2013, saya bersama-sama kepimpinan Barisan Nasional telah melancarkan Aku Janji Kerajaan Persekutuan atau AKP yang meliputi 17 inisiatif utama dan 156 inisiatif strategik dengan tema “Menepati Janji, Membawa Harapan”.

Alhamdulillah, kini 5 tahun sejak pelaksanaannya, sukacita saya kongsikan bahawa hampir keseluruhan janji tersebut telah ditunaikan dengan pencapaian 99.4%.

AKP telah diterjemahkan melalui 6,136 program atau projek pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM393.8 bilion.

17 inisiatif ini merangkumi kos sara hidup, kehidupan warga bandar, rumah mampu milik, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan awam, infrastruktur dan luar bandar, ekonomi mapan, pendidikan, keselamatan dan ketenteraman awam, penyertaan wanita, aspirasi belia, jaringan keselamatan sosial, Islam dan keharmonian agama, perangi gejala rasuah, perkhidmatan awam dan tadbir urus, gerakan kesederhanaan global, dan sumber alam semulajadi.

Sukacita juga saya kongsikan bahawa dari segi projek, 5,186 projek atau 84.5% telah siap sepenuhnya membabitkan peruntukan RM104.65 bilion; 927 projek atau 15.1% dalam pelaksanaan dengan peruntukan RM288.37 bilion, dan 23 projek atau 0.4 peratus dalam perancangan dengan peruntukan RM0.78 bilion.

Manakala jika dilihat dari pecahan peruntukan mengikut negeri:

– Perlis: 98 projek dengan peruntukan RM0.36 bilion
– Kedah: 410 projek dengan peruntukan RM1.76 bilion
– Pulau Pinang: 216 projek dengan peruntukan RM2.08 bilion
– Perak: 400 projek dengan peruntukan RM1.25 bilion
– Wilayah Persekutuan: 204 projek dengan peruntukan RM6.66 bilion
– Selangor: 283 projek dengan peruntukan RM1.78 bilion
– Negeri Sembilan: 253 projek dengan peruntukan RM8.7 bilion
– Melaka: 163 projek dengan peruntukan RM0.56 bilion
– Johor: 551 projek dengan peruntukan RM2.45 bilion
– Pahang: 467 projek dengan peruntukan RM1.72 bilion
– Terengganu: 308 projek dengan peruntukan RM0.94 bilion
– Kelantan: 447 projek dengan peruntukan RM2.65 bilion
– Sabah: 1,058 projek dengan peruntukan RM22.4 bilion
– Sarawak: 953 projek dengan peruntukan RM29.26 bilion

Jelas ternyata melalui jumlah projek dan peruntukan, Kerajaan Barisan Nasional sepanjang 5 tahun ini adalah Kerajaan yang saksama dan inklusif dalam merencana dan mengurangkan jurang pembangunan di setiap pelusuk negara tanpa meminggirkan mana-mana kawasan walaupun kawasan itu ditadbir parti pembangkang. Kerana bagi Barisan Nasional, apa yang penting adalah Dahulukan Rakyat, sentiasa.

Anda boleh muat turun Aku Janji Kerajaan Persekutuan di sini.

Kita bandingkan pula dengan apa yang ditawarkan oleh pembangkang di sebelah sana. Tak lain tak bukan hanya retorik dan harapan palsu populis semata-mata.

Manifesto Pakatan Pembangkang, sebenarnya tanpa segan silu meniru atau copy and paste, apa yang kebanyakannya telah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Malah sebenarnya janji-janji mereka adalah janji yang sangat tidak logik dan tak masuk akal sama sekali, serta boleh membawa negara menjadi bankrap jika dilaksanakan.

Sebaliknya di bawah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional dan setelah 5 tahun pelaksanaan AKP, pelbagai kejayaan telah kita kecapi dan dapat dilihat di sekeliling kita.

99.4% Aku Janji Kerajaan Persekutan yang telah dicapai adalah bukti bahawa kita mempunyai track record cemerlang dan mampu deliver apa yang dijanjikan!

Biarlah track record ini menjadi bukti dan petanda bahawa sekiranya sekali lagi diberi kepercayaan, Barisan Nasional akan terus mampu bawa lebih banyak pembangunan dan kejayaan dalam perjalanan transformasi kita.

8.30 malam esok, saya mengajak anda semua, saksikan sendiri sejarah bakal dicipta, di kaca TV dan di media sosial, pelancaran dokumen perancangan untuk masa depan Malaysia. #HebatkanNegaraku !