31 Mac, 2017

Di Sebalik Dugaan


“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,” – Surah Al-Inshirah, Ayat 5

Alhamdulillah, setelah selesai proses rundingan, kesemua rakyat Malaysia yang ditahan di Korea Utara kini telah selamat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing di tanah air tercinta, Malaysia.

Sepanjang dugaan yang kita alami kali ini, sepertimana dugaan yang pernah kita tempuhi suatu ketika dahulu, saya tidak pernah hilang keyakinan bahawa kita sebagai sebuah negara mampu menghadapinya bersama.

Malah, di sebalik dugaan yang melanda ini, saya berasa berbesar hati melihat bagaimana rakan-rakan baik daripada pihak Kerajaan mahupun pembangkang, tanpa mengira latar belakang dan pendirian politik, sama-sama berdiri menyokong teguh usaha kita untuk negara.

Inilah yang terbaik daripada kita sebagai rakyat Malaysia, bersatu-padu dan bukan bermain politik apabila berkait soal negara dan kedaulatannya.

Mungkin ramai yang tidak dapat nampak di sebalik tabir, tetapi ingin saya nyatakan bahawa di sebalik dugaan ini juga, saya sekali lagi dapat melihat yang terbaik daripada para pegawai kerajaan.

Usaha gigih tanpa lelah mereka harus diberikan pujian, usaha para perunding, pegawai kedutaan, diplomat, pegawai kesihatan, pihak polis dan banyak lagi.

Alhamdulillah, hasil usaha mereka, kesemua rakyat Malaysia yang kita usahakan untuk dibawa pulang, telah pulang dengan selamat. Itu yang paling penting.

Kita tidak akan tinggalkan sesiapa, dan apabila saya menyebut ‘kita’, saya yakin bahawa saya berbicara untuk kesemua 31 juta rakyat Malaysia.

Saya juga berharap ini akan menjadi pemangkin kepada semua rakyat Malaysia, untuk terus berdiri teguh di belakang bendera kita, berikan sokongan kepada negara tercinta pada setiap masa – bukan hanya ketika masalah atau dugaan melanda.

Ingat dan peganglah dalam dada,
Inilah bumi bertuah tempatku lahir,
Inilah di mana aku akan disemadikan,
Inilah kebanggaanku.
Inilah Negaraku, Malaysia.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles