30 Mac, 2017

Fokus Lawatan Kerja ke Luar Negara


Saya baru sahaja tiba di India untuk lawatan kerja selama 6 hari, di mana saya akan ke Chennai, New Delhi dan Jaipur.

Dari semasa ke semasa, saya, menteri-menteri kabinet serta pegawai-pegawai kanan kerajaan akan ke luar negara bagi tujuan lawatan rasmi. Dan setiap kali, akan ada 4 misi utama yang perlu kita usahakan.

Pertama, meningkatkan kerjasama dua hala dan meneroka peluang baru dalam pelbagai sektor.

Kedua, mengeratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Ketiga, membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat Malaysia agar mereka dapat mengembangkan perniagaan ke pasaran yang lebih luas di luar negara, terutamanya negara yang dilawati. Ini penting dalam memastikan syarikat kita terus berdaya saing di peringkat global dan sekaligus dapat meningkatkan hasil kepada syarikat Malaysia yang tidak lain tidak bukan akan memanfaatkan pekerja serta rakyat kita sendiri.

Keempat, menarik pelaburan asing daripada kerajaan dan syarikat luar negara ke Malaysia. Seperti yang diketahui, apabila pelabur asing melabur dalam negara kita, kita akan mendapat manfaat dari segi pemindahan kepakaran dan teknologi serta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Lebih daripada itu, mata wang ringgit kita juga turut dapat diperkukuhkan melalui kemasukan dana pelaburan.

4 misi yang saya perincikan di atas bukanlah satu kerja yang mudah dilaksanakan, tetapi Alhamdulillah setakat ini, kita mempunyai rekod yang cemerlang hasil daripada kerja keras pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai yang terlibat.

Saya lihat pemimpin pembangkang juga kerap mengadakan misi ke luar negara, tetapi saya sedih apabila mereka memberi keutamaan untuk memburukkan negara dalam agenda lawatan mereka. Ini sebenarnya satu tindakan “economic sabotage”.

Bagi saya, ini adalah satu kesilapan besar kerana tindakan ini seakan-akan ingin menghalau pelabur asing dari negara kita. Bukankah ini satu tindakan yang merugikan rakyat kita sendiri? Bukankah ini menunjukkan perangai sebenar mereka yang tidak sayang akan tanah air sendiri?

Saya juga percaya bahawa tindakan mereka memburukkan Malaysia adalah satu cubaan untuk menutup kelemahan mereka sendiri dari segi pentadbiran, baik ‘delivery’ kepada rakyat.

Contohnya, Lim Guan Eng suatu ketika dahulu dengan bangganya telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pulau Pinang merupakan destinasi pilihan pelabur asing. Hakikatnya hari ini, banyak pelabur asing meninggalkan Pulau Pinang. Lim Guan Eng pula telah mengubah rentak bicaranya dan penyokong-penyokongnya menuduh bahawa kita menjual negara apabila banyak pelaburan asing masuk ke Malaysia.

Jika betul tuduhan pembangkang bahawa kita jual negara melalui pelaburan, adakah mereka sedar rakyat dan syarikat Malaysia melabur hampir RM569.4 bilion di luar negara? Mengikut logik yang diguna pakai pembangkang, saya tertanya-tanya negara mana yang telah jual maruah dan kedaulatan mereka kepada Malaysia?

Wujud juga segelintir pihak yang kerap mengatakan Malaysia ini sebuah negara gagal dan seingat saya mereka telah mencanang fitnah ini berpuluh tahun dahulu.

Saya ingin nasihatkan semua agar menggunakan logik akal dan lihatlah keyakinan pemimpin luar negara terhadap Malaysia. Dalam tempoh 2 tahun ini, kita telah menerima kunjungan daripada pelbagai ketua negara, antaranya Presiden Perancis, Raja Salman Arab Saudi, Presiden Filipina, Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri Singapura.

Kita juga telah diterima baik di China, Jepun, Indonesia, German dan banyak negara lain. Malah hasil lawatan-lawatan ini, kita telah mencapai hasil kerjasama yang bakal menguntungkan Malaysia, contohnya perjanjian bersama Aramco yang bernilai RM31 bilion dan MOU bersama China yang bernilai RM144 bilion.

Berdasarkan fakta-fakta yang diberikan, wajarkah Malaysia digelar sebagai negara gagal seperti yang dicanang oleh pembangkang?

Hakikatnya, perjuangan kita masih belum selesai. Masih banyak yang kita boleh lakukan dalam merealisasikan potensi Malaysia dan fokus saya buat masa ini, adalah mengeratkan hubungan bilateral antara India dan Malaysia.

Saya percaya delegasi negara, baik pimpinan tertinggi hingga ke pegawai muda akan bekerja keras dalam memastikan lawatan ini berjaya bukan sahaja dari segi hubungan baik tetapi dalam membawa hasil yang boleh memberi manfaat kepada rakyat negara kita.

Marilah kita bersama-sama mendoakan kejayaan lawatan kerja ke India ini dan usaha-usaha kita untuk terus membangunkan Malaysiaku, yang tercinta ini. Insya-Allah.

Shares Share Kategori : Blog, Featured Articles